Kamera pengawasan boleh tingkatkan keselamatan namun timbul isu privasi: Teo Chee Hean
SINGAPURA: Meskipun penggunaan kamera pengawasan dan teknologi pengecaman wajah boleh meningkatkan keselamatan negara, ia juga menimbulkan kebimbangan mengenai isu privasi, kata Menteri Kanan Teo Chee Hean pada Selasa (5 Apr).
"Kita perlu menetapkan garis panduan dan piawaian yang betul bagi penggunaan teknologi untuk menyediakan cukup perlindungan dan memelihara kepercayaan dan keyakinan," kata Encik Teo sambil menekankan bahawa teknologi bukan sesuatu "kebaikan lengkap, tanpa syarat".
"Dengan memastikan garis panduan ini disediakan, boleh kita meraih faedah daripada teknologi dan meningkatkan keupayaan untuk melindungi masyarakat daripada bahaya baru."
Encik Teo yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara berkata demikian di sidang puncak teknologi pertama yang dianjurkan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).
Sidang puncak TechX, yang diadakan di kampus Mediacorp itu, mempamerkan inovasi teknologi terkini dalam memerangi jenayah.
"Rangkaian kamera polis atau Polcam di Singapura membolehkan pihak polis memahami dan mengambil tindakan dengan lebih pantas terhadap kejadian yang berlaku dalam masa nyata, lantas mencegah jenayah dan mengurangkan masa yang diambil untuk menyelesaikan kes jenayah,” kata Encik Teo.
Teknologi pengecaman wajah dan algoritma yang membolehkan gambar serta proses video dilakukan dalam masa nyata "sangat membantu" dalam menapis rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV), tambah beliau.
Polis akan meluaskan rangkaian kamera kepada lebih 200,000 menjelang 2030 di lebih banyak kawasan awam dan kejiranan.
Setakat ini, kamera polis sudah membantu polis menyelesaikan lebih daripada 6,000 kes, kata Encik Teo.
Selain membawa faedah dengan membantu Singapura menangani pelbagai ancaman merangkumi pengganasan antarabangsa hingga kepada penipuan online, teknologi tegas Encik Teo membolehkan beberapa jenayah baru wujud di alam siber.
“Sebagai mana teknologi boleh membantu meningkatkan keselamatan di dalam negeri dan agensi penguatkuasaan undang-undang, ia juga boleh dieksploitasi oleh pesalah, penjenayah dan pertubuhan jenayah,” katanya.
Untuk mengatasi masalah ini, Encik Teo berkata agensi Singapura harus mengambil pendekatan baru untuk memerangi jenayah fisikal dan siber.
Dalam negeri, dasar, doktrin, undang-undang dan teknik Singapura harus sejajar dengan bahaya baru, kata beliau.
Dunia juga kata Encik Teo perlukan peraturan global, norma, prinsip tadbir urus serta rangka kerja dan piawaian baru, tambah beliau. Ini memandangkan jenayah siber tidak lagi terbatas oleh sempadan geografi.
Sehubungan itu, Encik Teo menggesa lebih banyak kerjasama antarabangsa dengan mengatakan bahawa acara teknologi TechX merupakan contoh yang baik untuk mengongsi pengalaman dan amalan baik.
"Lebih penting lagi, kita perlukan kerjasama antarabangsa untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan siber, memandangkan ia semakin meningkat," katanya.
Encik Teo berkata Singapura memainkan peranannya dengan menempatkan Kompleks Inovasi Global Interpol di negara ini. Ia menyelaraskan beberapa operasi besar-besaran yang berjaya membanteras sindiket jenayah siber antarabangsa.
Beliau menambah bahawa tahun lalu, polis Singapura bekerjasama rapat dengan Interpol dan beberapa agensi penguatkuasa undang-undang dalam operasi membanteras jenayah kewangan online.
585 orang ditangkap semasa operasi itu dan sejumlah AS$83 juta (S$112 juta) dirampas dalam siasatan di Asia-Pasifik selama enam bulan, kata Encik Teo.
"Agensi keselamatan dalam negeri di merata dunia harus menggunakan pendekatan dan keupayaan baru serta meningkatkan kerjasama untuk memanfaatkan teknologi dan bukan sekadar menangani ancaman hari ini, tetapi juga bersedia untuk menjangkakan dan menangani cabaran akan datang,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.