Skip to main content

Singapura

Kakitangan sekolah rendah dipenjara kerana lesapkan S$36,000 dikumpul dari murid

Seorang bekas pegawai khidmat pelanggan di sebuah sekolah rendah yang menggelapkan sekitar S$36,000 wang tunai yang dikumpul dari murid-murid, dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Isnin (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan sekolah rendah dipenjara kerana lesapkan S$36,000 dikumpul dari murid

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 02 Apr 2019 12:33AM Dikemas Kini : 02 Apr 2019 12:41AM

SINGAPURA: Seorang bekas pegawai khidmat pelanggan di sebuah sekolah rendah yang menggelapkan sekitar S$36,000 wang tunai yang dikumpul dari murid-murid, dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada Isnin (1 Apr).

Mahkamah diberitahu, Siti Rafeah Abd Hamid, 44, bekerja di Sekolah Rendah Frontier di Jurong West sejak 2012.

Namun dalam tempoh lima tahun bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di sekolah itu, Siti Rafeah melesapkan wang murid-murid sebanyak S$36,265.50.

Antara Januari hingga November 2017, dia diamanahkan dengan wang yang dikumpul para guru daripada murid-murid bagi kegiatan seperti wisata sekolah, kegiatan ko-korikular (CCA) dan perayaan Hari Kanak-Kanak.

Dia ditugaskan merekod wang yang dipungut itu ke dalam sistem sekolah, sebelum menyerahkannya kepada pengurus operasi sekolah yang akan memasukkannya ke dalam akaun bank sekolah itu.

Namun, Siti Rafeah tidak melakukan demikian, sebaliknya mengaku kemudian dia menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan sendiri. Dia juga tidak mencatit jumlah tersebut dalam sistem sekolah untuk mengelakkan daripada dikesan.

Penggelapan dana itu terbongkar pada Julai 2018 apabila pihak sekolah gagal membuat bayaran kepada sebuah penyedia khidmat CCA kerana jumlah dana dalam akaun sekolah itu terlalu rendah.

Siasatan dalaman mendedahkan Siti Rafeah tidak menyerahkan wang S$36,000 kepada pengurus operasi.

Naib pengetua sekolah membuat laporan polis berhubung dana yang lesap dari akaun bank sekolah itu.

Siti Rafeah mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan jenayah pecah amanah oleh seorang kakitangan, dengan satu lagi pertuduhan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Dia boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda kerana kesalahannya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita