Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan Scoot santuni warga senja Lions Befrienders, bertanya khabar menerusi telefon

Dengan perjalanan udara terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, Scoot bekerjasama dengan agensi khidmat sosial Lions Befrienders untuk memanfaatkan masa anak kapalnya dengan mendampingi golongan memerlukan dan warga senja yang hidup sebatang kara.

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan Scoot santuni warga senja Lions Befrienders, bertanya khabar menerusi telefon

Gambar: AFP

Diterbitkan : 09 Jul 2021 08:37AM Dikemas Kini : 09 Jul 2021 08:41AM

SINGAPURA: Dengan perjalanan udara terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, Scoot bekerjasama dengan agensi khidmat sosial Lions Befrienders untuk memanfaatkan masa anak kapalnya dengan mendampingi golongan memerlukan dan warga senja yang hidup sebatang kara.

Di bawah kerjasama yang disokong oleh Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) dan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), anak kapal Scoot, anak syarikat Singapore Airlines, boleh mendampingi warga senja melalui panggilan telefon semasa bekerja dari rumah sewaktu tempoh pengasingan diri selepas pulang ke Singapura setelah melakukan penerbangan ke luar negara.

Dalam satu kenyataan media bersama, Lions Befrienders dan Scoot menyatakan sejak April tahun ini, 15 anak kapal Scoot sudahpun menyantuni sekitar 900 warga senja pada hari-hari mereka tidak bertugas dengan setiap seorang daripada mereka mendampingi 60 warga senja.

Kerjasama itu akan diteruskan sehingga September tetapi mungkin dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.

Warga senja itu adalah antara 7,600 orang di bawah jagaan Lions Befrienders dan sebahagian besar daripada mereka tinggal seorang diri di flat sewa dan bergantung kepada bantuan kewangan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, para pendamping dari Scoot akan membuat panggilan telefon untuk bertanya khabar dan memberi kemas kini tentang warga tua yang dihubungi kepada kakitangan Lions Befrienders yang kemudian akan bertemu muka dengan mereka.

Salah seorang warga tua, Cik Doreen Ng, 63 tahun berkata beliau menanti-nantikan panggilan telefon daripada anak kapal Scoot dan bersyukur ada orang yang bertanya khabar tentang dirinya.

"Apabila seseorang bertanya khabar, anda pasti akan rasa gembira kan? Saya rasa gembira kerana ada seseorang yang saya boleh berbual-bual bersama dan tidak rasa terlalu kesepian apabila mengetahui bahawa ada orang yang prihatin tentang saya."

Cik Jessica Chua, 50 tahun, salah seorang kakitangan Scoot yang menyertai program itu pula berkata peluang tersebut membuatnya menghargai "perkara-perkara yang dianggap remeh dalam kehidupannya".

"Saya kini lebih memahami kesepian yang dialami warga tua kita terutamanya di tengah-tengah tempoh penjarakan sosial dan saya berbesar hati dapat menyantuni mereka menerusi panggilan telefon," ujar beliau.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan