Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan restoran bantu halang penyerang di Beach Road

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan restoran bantu halang penyerang di Beach Road

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

Diterbitkan : 16 Apr 2022 08:27AM Dikemas Kini : 16 Apr 2022 08:59AM

SINGAPURA: Apabila terdengar teriakan di luar restorannya, Encik Wei Chen Xiang memandang ke luar dan terperanjat melihat seorang lelaki sedang menyerang seorang wanita dengan menggunakan pisau cincang. 

Namun, kakitangan dari restoran Zhong Hua Steamboat itu dengan pantas menenangkan dirinya dan terus bertindak. 

Encik Wei memberitahu Mediacorp beliau tidak mempunyai masa untuk berasa takut dan beliau hanya tahu bahawa lelaki itu tidak boleh dibiarkan melarikan diri. 

"Saya capai sahaja kerusi dan membalingkan ke arahnya. Selepas itu, apa sahaja yang saya boleh cari, saya campak ke arahnya," kata Encik Wei dalam bahasa Mandarin. 

Encik Wei merupakan antara beberapa individu yang berada di tempat kejadian pada petang Khamis (14 Apr) apabila seorang lelaki berusia 46 tahun didakwa menyerang seorang wanita dengan menggunakan pisau cincang di kawasan Beach Road. 

Polis menyatakan ia bertindak memberi respons kepada kes tersebut yang berlaku di 75 Beach Road itu sekitar jam 5.30 petang. 

Rakaman insiden tersebut, yang tular di media sosial, menunjukkan seorang lelaki berpakaian hitam dilihat sedang mengelar seorang wanita beberapa kali sedang beliau terbaring di jalan raya di belakang sebuah kereta. 

Papan tanda bangunan mengenal pasti lokasi tersebut terletak bersebelahan restoran Zhong Hua Steamboat dan Hotel Calmo Bugis. 

Seorang lagi pekerja restoran Zhong Hua Steamboat, yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Lin, berkata beliau menolong kerana khuatir lelaki itu akan menyerang lebih ramai lagi orang. 

"Kami ada pelanggan yang sedang duduk makan di sini. Saya takut jika dia menyerbu masuk dan menyerang para pelanggan, ia sudah terlambat. Jadi saya tahu saya harus menghentikannya pada waktu itu juga."

Sedang rakan-rakan sekerjanya dan orang awam membaling benda untuk menghalang penyerang itu, Encik Lin pula bermundar-mandir untuk menghulurkan mereka kerusi dan barang-barang lain. 

PERCUBAAN MEMBUNUH

Lelaki itu diberkas pada petang Khamis (14 Apr) atas tuduhan cuba membunuh menyusuli serangan yang menyebabkan seorang wanita berdarah akibat luka daripada dikelar. 

Mangsa berusia 41 tahun itu dipercayai merupakan isteri kepada lelaki berkenaan, menurut polis dalam satu kenyataan media. Lelaki itu juga dipercayai telah mengelar pergelangan tanggannya sendiri sebelum pihak berkuasa tiba di tempat kejadian. 

Lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (16 Apr). Jika disabit kesalahan, lelaki itu berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup, penjara sehingga 20 tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan