Kakitangan Pusat Mata Nasional S'pura terima 5 dos vaksin COVID-19 akibat kesilapan manusia
Seorang kakitangan Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) diberikan secara salah lima dos vaksin Pfizer-BioNTech akibat kesilapan manusia.
Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC). (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang kakitangan Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) diberikan secara salah lima dos vaksin Pfizer-BioNTech akibat kesilapan manusia.
Demikian didedahkan institusi jagaan kesihatan awam itu hari ini (6 Feb).
Kesilapan itu berlaku pada 14 Januari semasa vaksinasi dijalankan di SNEC bagi kakitangannya.
"Kesilapan itu disedari dalam masa beberapa minit selepas vaksinasi itu dimulakan, apabila kakitangan tersebut sedang berehat di kawasan yang disediakan selepas itu," menurut SNEC dalam kenyataan medianya.
"Para doktor kanan segera dimaklumkan dan kakitangan berkenaan diperiksa dan didapati sihat, tanpa sebarang tindak balas atau kesan sampingan."
Program vaksinasi di pusat mata itu dihentikan serta merta dan baki kakitangan diberi suntikan di Hospital Besar Singapura (SGH), menurut SNEC.
"SNEC tidak terlibat dalam program vaksinasi Singapura bagi kumpulan-kumpulan lain," tambah pusat itu.
Menurut SNEC, siasatan menunjukkan ia adalah kesilapan manusia akibat kelemahan dalam dalam komunikasi antara pasukan-pasukan vaksinasi pada waktu itu.
"Kakitangan yang bertanggungjawab
mencairkan vaksin dipanggil untuk mengendalikan perkara lain semasa mempersiapkan vaksin dan kakitangan kedua tersilap anggap dos yang belum dicairkan itu sudah siap untuk digunakan," menurut SNEC.
Pusat mata itu sudah menjalankan "semakan teliti" ke atas proses-proses dalamannya dan sudah mengambil langkah bagi memastikan kesilapan sedemikian tidak berlaku lagi, kata Pengarah Perubatan SNEC, Profesor Wong Tien Yin, sambil meminta maaf atas insiden itu.
"SNEC memandang serius insiden itu. Keselamatan mereka yang menerima vaksin semasa program vaksinasi ke atas kakitangan kami adalah keutamaan kami. Kami amat kesal insiden ini berlaku," kata beliau.
"Kami sudah meminta maaf kepada kakitangan tersebut dan juga keluarganya. Kami akan terus memantau kesihatan kakitangan itu dan menyediakan sokongan yang diperlukan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.