Skip to main content

Singapura

Kakitangan perpustakaan NUS tidak sedar mahasiswa berminat terhadap lebihan buku Yale-NUS

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan perpustakaan NUS tidak sedar mahasiswa berminat terhadap lebihan buku Yale-NUS

Sekitar 8,500 lebihan buku diselamatkan dari koleksi 45,000 buku di perpustakaan Kolej Yale-NUS dalam gambar yang dipetik pada 21 Mei 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 22 May 2025 09:38AM Dikemas Kini : 22 May 2025 09:40AM
SINGAPURA: Kakitangan perpustakaan di Universiti Nasional Singapura (NUS) "tidak menyedari" bahawa para mahasiswa berminat dengan lebihan buku daripada Kolej Yale-NUS - satu kesilapan, kata pustakawan universiti itu, yang menyebabkan beratus-ratus buku dihantar ke kilang kitar semula.

Kolej itu, yang dijadual ditutup tahun ini, telah membuat persiapan untuk kerja-kerja ubah elok menjelang pemindahan fakulti undang-undang NUS dan perpustakaannya, kata Profesor Madya Natalie Pang kepada para wartawan pada Rabu (21 Mei).

Akibatnya, koleksi 45,000 buku di perpustakaan Kolej Yale-NUS terpaksa dipindahkan. Sekitar 80 peratus - 36,000 buku - telah ditempatkan semula ke pelbagai perpustakaan NUS, universiti lain atau diberikan kepada ahli fakulti.
Beberapa buku dari Kolej Yale-NUS yang dipindahkan ke Perpustakaan Central NUS. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Baki 20 peratus - sekitar 9,000 buku - dijadualkan untuk dikitar semula sebagai "ikhtiar terakhir" sejajar dengan amalan biasa perpustakaan, kata Prof Madya Pang. Lebihan buku ini adalah duplikasi atau mempunyai "kadar penggunaan yang rendah".

Daripada jumlah itu, 500 buku telah dikitar semula, kata Prof Madya Pang. Proses membabitkan baki 8,500 buku itu dihentikan selepas gambar dan video buku yang dimasukkan ke dalam beg sampah dan dipunggah ke dalam trak kitar semula mencetuskan bantahan daripada alumni dan mahasiswa.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (21 Mei), NUS memohon maaf atas "kelemahan operasi" dalam cara buku itu dikendalikan.

Secara berasingan, Provost NUS dan Naib Presiden Ehwal Akademik Profesor Aaron Thean juga memohon maaf, sambil berkata proses penempatan semula telah menimbulkan "begitu banyak keprihatinan".

NUS menempatkan empat juta jilid buku di tujuh perpustakaannya.

"Ini adalah koleksi yang besar, dan oleh itu sebarang kehilangan buku kepada kami sentiasa menyayat hati. Saya ingin menjelaskan bahawa semua buku ini amat bermakna kepada kami," kata Prof Thean.

Prof Madya Pang menambah bahawa kakitangan perpustakaan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan semula 500 buku yang telah dihantar untuk dikitar semula apabila mereka menyedari terdapat minat dalam kalangan mahasiswa.

"Saya sangat terkejut apabila menyedari bahawa buku-buku itu diambil oleh syarikat kitar semula walaupun para mahasiswa telah menyuarakan minat."

Kakitangan perpustakaan cuba menghubungi syarikat itu, memintanya berpatah balik. "Malangnya ... ia tidak dapat berbuat demikian," katanya.

Beg-beg buku yang diletakkan di luar bangunan di kampus Kolej Yale-NUS, dan beg-beg yang dilihat pada trak, pada 20 Mei 2025.

PENDAMPINGAN TIDAK "CUKUP LUAS"

Prof Madya Pang berkata kakitangan perpustakaan tidak menyedari bahawa para mahasiswa berminat dengan buku-buku itu dan "sebenarnya tidak membuat aturan yang mencukupi" untuk memudahkan akses kepada buku-buku tersebut.

"Dalam pengalaman kami menganjurkan pemberian buku ini ... sama ada mahasiswa atau ahli masyarakat NUS - sama ada kakitangan atau fakulti - terdapat permintaan yang agak rendah untuk kebanyakan buku yang kami keluarkan," katanya.

"Tetapi kejadian ini juga telah menunjukkan kepada kami bahawa ada pengajaran yang boleh diambil daripada perkara ini. Memang ada minat."
(Gambar: Mediacorp)
Mengikut amalan perpustakaan sedia ada, lebihan buku biasanya ditawarkan kepada fakulti terlebih dahulu. Bagaimanapun, Prof Madya Pang mengakui bahawa pendampingan dalam kes ini "tidak cukup meluas" dan memohon maaf atas kelemahan itu.

Dengan penutupan kolej itu, "kami juga tidak mempunyai pengetahuan di mana fakulti Yale-NUS mungkin berpindah", menurut pustakawan universiti itu, sambil menambah bahawa mereka dapat mendampingi sejumlah ahli "tetapi bukan semua".

"Kami perlu bersikap bertanggungjawab, dan kami akan melakukan yang lebih baik."

Gambar fail Kolej Yale-NUS pada 21 Mei 2025. (Foto: CNA/Syamil Sapari)

Prof Madya Pang menyatakan bahawa walaupun perpustakaan kerap menempatkan semula buku, skala operasi kali ini adalah "jauh lebih besar" daripada urusan penempatan semula yang lalu, yang biasanya hanya melibatkan beberapa ratus buku.

Pada masa akan datang, beliau berkata NUS akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu - yang akan digunakan di semua perpustakaan universiti - yang akan melibatkan usaha pendampingan yang lebih meluas kepada fakulti dan melibatkan para mahasiswa juga.

Pustakawan universiti itu juga menafikan dakwaan beberapa mahasiswa bahawa sesetengah buku tidak boleh didermakan disebabkan oleh tag RFID, menyifatkannya sebagai sesuatu "sangat tidak benar".

"Jika, katakan, sebuah buku mempunyai tag RFID dan seseorang mahukan buku tersebut, terdapat proses untuk melupuskan tag itu dan meletakkan tanda tertentu supaya orang ramai tahu ia adalah buku yang telah dipesan oleh seseorang."

Dua pameran buku akan diadakan - satu dari 28 Mei hingga 9 Jun dan satu lagi pada 14 Jun. Yang pertama terbuka kepada alumni dan keluarga Yale-NUS. Yang kedua pula terbuka kepada masyarakat NUS yang lebih luas.

Untuk mana-mana buku yang masih belum ditempatkan semula selepas acara itu, NUS akan bekerjasama dengan platform seperti Thryft untuk mencari pembaca yang berminat.

"Pada asasnya, apa yang saya cuba lakukan dengan SOP baharu ini adalah untuk memanjangkan jangka hayat dan kitaran hayat buku," kata Prof Madya Pang.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita