Kakitangan Perkhidmatan Awam sambut baik perubahan CEP; penilaian lebih holistik & telus
Para kakitangan Perkhidmatan Awam yang ditemui Mediacorp mengalu-alukan semakan terhadap sistem yang digunakan untuk meninjau potensi kepimpinan mereka kerana mereka berharap ia akan menghasilkan penilaian yang lebih menyeluruh dan telus bagi membantu perkembangan kerjaya mereka.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Para kakitangan Perkhidmatan Awam yang ditemui Mediacorp mengalu-alukan semakan terhadap sistem yang digunakan untuk meninjau potensi kepimpinan mereka kerana mereka berharap ia akan menghasilkan penilaian yang lebih menyeluruh dan telus bagi membantu perkembangan kerjaya mereka.
Sistem Anggaran Potensi Semasa (CEP) - yang menjadi punca pertelingkahan dalam kalangan sesetengah pegawai awam sepanjang beberapa tahun lalu - dinyatakan dari segi tugas terbesar pada tahap tanggungjawab seseorang pegawai yang dinilai mampu dipikul sepanjang kerjaya mereka dalam Perkhidmatan Awam.
Sistem itu diibaratkan seperti "kotak hitam" oleh para pegawai awam yang ditemui Mediacorp yang berkata demikian dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan kerana klausa-klausa dalam pekerjaan mereka melarang para pekerja daripada bercakap kepada media tanpa izin.
Mereka menambah bahawa mereka berharap dengan perubahan-perubahan itu ia akan membawa lebih banyak insentif untuk para pegawai awam membuktikan kebolehan masing-masing dan meratakan jurang antara para penerima biasiswa dan bukan penerima biasiswa.
Seorang penolong pengarah dalam Perkhidmatan Awam yang berusia dalam lingkungan 30an tahun berkata, sebagai contoh, mereka yang mempunyai CEP lebih tinggi - seperti para penerima biasiswa - akan diberikan lebih banyak peluang untuk menyerlah.
"Saya pernah ternampak insiden-insiden di mana para penerima biasa yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tetap diberikan peluang yang hebat semata-mata kerana mereka mempunyai CEP lebih tinggi, berbanding golongan bukan penerima biasiswa yang mempamerkan prestasi yang lebih baik," katanya lagi.
Meskipun CEP "bukan sesuatu yang muktamad", beliau menegaskan bahawa ia "sebenarnya sukar untuk mengubah CEP".
Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, sistem itu menjadi topik beberapa soalan parlimen yang diajukan oleh para Anggota Parlimen (AP).
Pada Selasa (6 Okt), Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing mendedahkan bahawa sistem CEP akan diperhalusi menyusuli semakan yang dijalankan pada tahun lalu. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan yang diajukan oleh AP GRC Nee Soon Louis Ng.
"Kami akan memberikan lebih banyak penekanan kepada usaha menilai kemahiran dan keupayaan yang ditonjolkan oleh para pegawai sebagai sebahagian daripada pengurusan prestasi, perkembangan, serta pencungkilan dan pengurusan bakat." kata Encik Chan.
Langkah itu dialu-alukan oleh para pegawai awam yang ditemui Mediacorp, termasuk seorang guru kanan di sebuah sekolah menengah, yang sudah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 20 tahun. Beliau memberitahu Mediacorp bahawa beliau sudah mencecah "siling kaca" dalam kerjayanya, seperti dinyatakan oleh CEP.
"Ramai pelajar memberitahu saya: 'Cikgu, anda boleh menjadi seorang pengetua pada satu hari nanti'," katanya yang berusia 50 tahun. "Namun dengan CEP, saya tahu ia tidak mungkin berlaku... ia seperti sistem kasta."
Dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan parlimen, Encik Chan berkata ciri-ciri kepimpinan yang akan dinilai oleh Perkhidmatan Awam termasuk keupayaan untuk membangunkan sistem hari muka, memimpin orang ramai dengan baik dan mempunyai pemahaman yang baik di peringkat akar umbi. Ciri-ciri tersebut mungkin akan dipantau melalui putaran kerja dan wadah baru seperti "maklum balas 360" - iaitu proses maklum balas menyeluruh yang melibatkan para penyelia dan rakan sekerja.
Mediacorp difahamkan bahawa sistem CEP buat masa ini diamalkan dalam Perkhidmatan Awam namun tidak secara menyeluruh dalam Perkhidmatan Awam yang meliputi lembaga berkanun pemerintah. Sungguhpun demikian, lembaga-lembaga berkanun mungkin mempunyai konsep serupa untuk menilai potensi para pegawai bagi tujuan perancangan kerjaya dan pengurusan bakat.
Para pegawai awam yang ditemui berkata bahawa mereka berharap perubahan itu dapat dilaksanakan dalam Perkhidmatan Awam tidak lama lagi.
Seorang Penolong Pengarah dalam lingkungan usia 30an tahun berkata bahawa ini mungkin dapat dicapai dalam tempoh setahun dua ini namun beliau akur bahawa Pemeirntah mempunyai isu-isu lebih mustahak untuk ditangani seperti mewujudkan pekerjaan di tengah-tengah krisis COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.