Skip to main content

Singapura

Kakitangan NUS diingatkan supaya jangan langgar undang-undang apabila suarakan pandangan

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan NUS diingatkan supaya jangan langgar undang-undang apabila suarakan pandangan

Petanda Universiti Nasional Singapura dan tangkapan skrin laman East Asia Forum.

Diterbitkan : 22 Sep 2023 05:33PM Dikemas Kini : 22 Sep 2023 05:34PM
SINGAPURA: Universiti Nasional Singapura (NUS) mengingatkan para kakitangannya pada Rabu (20 Sep) supaya jangan melanggar undang-undang apabila menyuarakan pandangan mereka, selepas arahan pembetulan dikeluarkan terhadap East Asia Forum berhubung artikel yang ditulis oleh ahli akademik NUS Dr Chan Ying- kit.

Dalam kiriman emel yang dihantar kepada para kakitangannya, Presiden NUS Tan Eng Chye mengingatkan mereka tentang kedudukan universiti tersebut sebagai sebuah universiti global terkemuka yang dipercayai dan diyakini oleh orang ramai.

"Kepercayaan itu terhakis apabila mana-mana fakulti, kakitangan atau mahasiswa kita terlibat dalam perbuatan menyebarkan maklumat tidak benar atau salah," katanya dalam satu emel tersebut.

Apabila kakitangan berkongsi pendapat mereka dalam kapasiti peribadi mereka, mereka harus memastikan ia "dinyatakan dengan jelas" dan mengambil perhatian bahawa pandangan mereka tidak mewakili pendirian NUS, kata Profesor Tan dalam emelnya.

Mereka juga tidak seharusnya menggunakan sebarang kaitan dan hubungan NUS dalam keadaan sedemikian, tambahnya.

"NUS komited dan menjunjung kebebasan akademik. Para anggota fakulti bebas untuk menyatakan dan berkongsi pandangan dan pendapat mereka tentang apa-apa perkara selagi ia dilakukan secara profesional dan bertanggungjawab tanpa melanggar undang-undang Singapura," kata Prof Tan.

Beliau menegaskan bahawa para anggota fakulti mempunyai kewajipan untuk mendidik para siswa dan "menunjukkan keilmuan sebenar yang berusaha untuk membezakan kebenaran daripada kepalsuan".

Pada 13 Sep, laman web East Asia Forum yang berpangkalan di Australia telah dikenakan arahan pembetulan oleh Pejabat Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA).

Perintah itu berkaitan dengan dakwaan yang dibuat dalam artikel bertajuk "A spate of scandals strikes Singapore", yang ditulis oleh Dr Chan dari NUS.

Rencana itu mengandungi kenyataan palsu mengenai perkara-perkara seperti kebebasan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan pendekatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menangani hubungan sulit dalam kalangan anggota parlimen, tegas Pejabat Perdana Menteri pada 13 Sep.

Tiga hari kemudian, Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) mengumumkan bahawa penyedia perkhidmatan internet di Singapura akan diarahkan supaya menyekat akses kepada East Asia Forum selepas ia gagal mematuhi arahan pembetulan tersebut.

Dr Chan sudahpun memohon maaf atas kesulitan yang disebabkan oleh artikel itu, serta kesilapan, perkara-perkara yang tidak dimasukkan dan kenyataan palsu dalam artikel itu. Menurutnya, artikel itu sudahpun diturunkan daripada laman web tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita