Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kakitangan MOE tidak akan dikenakan cukai melebihi taksiran

Anggaran Waktu Membaca:
Kakitangan MOE tidak akan dikenakan cukai melebihi taksiran

Bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) (Gambar: Alvin Chong)

SINGAPURA: Kakitangan Kementerian Pendidikan (MOE) yang menyedari pendapatan boleh dicukai mereka dilaporkan berlebihan kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) tidak akan dikenakan cukai melebihi taksiran, menurut kementerian itu pada Rabu (16 Mac).

Ini tercetus setelah beberapa akaun muncul di laman Salary.com pada hujung minggu lalu daripada para pegawai MOE yang menyedari bahawa mereka dikenakan cukai lebih daripada yang ditaksirkan.

Salah satu akaun mengaitkan isu tersebut kepada anugerah CONNECT Plan, yang sudah diterima oleh beberapa pekerja pada Disember lalu.

Di bawah CONNECT Plan, kakitangan MOE menerima bayaran pada mata yang ditetapkan pada setiap tiga hingga lima tahun sepanjang kerjaya mereka. Pelan itu dilaksanakan pada tahun 2002.

Kementerian Pendidikan menyedari tentang jumlah anugerah CONNECT Plan yang dilaporkan secara berlebihan kepada IRAS, menurutnya dalam satu kenyataan semasa menjawab pertanyaan oleh Mediacorp.

"Tanpa mengambil kira perkara itu, bayaran yang dibuat kepada pegawai yang layak adalah betul," menurut kenyataan tersebut.

Pendapatan yang boleh dicukai bagi pegawai-pegawai MOE itu akan dibetulkan pada masanya bagi penilaian cukai tahun ini dan mereka tidak akan dikenakan cukai berlebihan menjangkaui taksiran, tambah kementerian itu dalam responsnya.

Bryan (bukan nama sebenar), yang merupakan seorang guru, menyemak pendapatannya yang boleh cukai pada hari Sabtu (12 Mac) dan mendapati rekod IRAS menunjukkan bahawa dia sudah menerima S$40,000 di dalam kategori pendapatan pekerjaan tambahan.

Ini adalah dua kali ganda daripada apa yang diterimanya dan menyebabkan pendapatannya boleh dicukai melebihi S$100,000, dengan dikenakan cukai pendapatan kira-kira S$5,000, katanya.

"Jumlah itu, saya tidak pernah melihatnya dan saya tidak rasa bahawa saya akan dapat melihat jumlah yang begitu tinggi," katanya kepada Mediacorp.

"Jadi dengan segera saya sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Saya kemudian tanya rakan-rakan, tetapi kami masih belum dapat mengaitkan bahawa penyataan itu datang daripada CONNECT Plan."

Bryan tidak menemui sesiapa yang mempunyai masalah yang sama semasa bertanya dengan teman sekerjanya.

Tetapi selepas berhubung dengan rakan-rakan lain yang berdepan masalah yang sama, beliau menyedari bahawa satu-satunya yang mereka semua hadapi adalah mereka menerima anugerah CONNECT Plan mereka pada bulan Disember.

"Tidak kira bagaimana kami membuat kiraan, walaupun kami menambah pembayaran pertama dan kedua kami, ia masih tidak mencecah S$40,000," kata Bryan, sambil menambah bahawa beliau kemudian menghubungi jabatan sumber manusia MOE untuk mendapatkan bantuan.

Pada Isnin (14 Mac), apabila beliau menyemak akaunnya di portal IRAS, beliau mendapati isu itu sudah diperbetulkan dan menunjukkan jumlah yang betul.

Keesokan harinya, kakitangan MOE menerima emel daripada Kementerian Pendidikan mengenai kesilapan tersebut, memberitahu mereka bahawa masalah itu sedang diperbetulkan dan mereka tidak perlu mengambil sebarang tindakan, kata Bryan.

"Bekerja dengan MOE, kami hanya mengambil mudah, sama ada ia sesuatu yang baik atau tidak, bahawa tidak ada kesilapan dengan pendapatan kami yang difailkan," katanya.

"Dan siapa tahu jika ia tidak dibangkitkan atau tidak disedari, kami akan dikenakan cukai dan kemudian kami akan berkata, 'Wah, ada yang tak kena.'"

Menurut satu kenyataan pada Rabu, Kementerian Pendidikan menyatakan bahawa laporan pendapatan boleh dicukai yang mempunyai kesilapan adalah disebabkan oleh "masalah sistem", yang menjejas kakitangan MOE yang menerima anugerah CONNECT Plan pada Disember.

"Langkah-langkah yang perlu sudah diambil untuk membetulkan masalah sistem dan jumlah yang betul sudah diserahkan kepada IRAS," tambah kementerian itu.

"MOE sudah memaklumkan kepada kakitangan yang terlibat mengenai isu tersebut dan usaha untuk memperbetulkannya."

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan