Skip to main content

Singapura

Kakitangan Mediacorp, pemimpin kesatuan sekerja antara penerima anugerah Hari Buruh NTUC

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Beliau pernah menerima anugerah Comrade of Labour, iaitu anugerah yang diberikan kepada ahli kesatuan sekerja yang telah membuat sumbangan besar dalam menyokong kebajikan pekerja pada 2020.

Pada ketika itu, Sukartini Mohd Mawar diiktiraf atas usahanya menganjurkan lebih banyak kegiatan yang mengukuhkan perpaduan antara pelbagai kaum dalam syarikat, selain gigih memperjuangkan kenaikan gaji dan bonus yang lebih baik bagi semua pekerja.

"Saya percaya syarikat berkembang pekerja juga turut berkembang bersama. Peningkatan produktiviti juga membolehkan syarikat berkongsi keuntungan supaya manfaat dapat kembali kepada pekerja, " kata Cik Sukartini.

Enam tahun kemudian, Cik Sukartini yang merupakan Bendahari Agung bagi Kesatuan Pekerja Industri Elektronik dan Elektrikal (UWEEI) dan Pengerusi Cawangan bagi Energizer Singapore, sekali lagi dianugerahkan Comrade of Labour (Bintang).

Anugerah kategori Comrade Of Labour (Bintang) merupakan antara anugerah tertinggi yang diberikan kepada para ahli kesatuan sekerja.
Related article image
Penerima anugerah Comrade of Labour (Star), Cik Sukartini Mohd Mawar.
Ia dianugerahkan kepada pemimpin kesatuan sekerja yang masih berkhidmat, dan selepas menerima Comrade of Labour selama empat tahun atau lebih, kekal terus menyumbang secara signifikan kepada Pergerakan Buruh.

Cik Sukartini merupakan antara tujuh penerima bagi kategori itu yang disampaikan sempena Anugerah Hari Buruh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) 2026 pada Rabu (13 Mei).

Beliau diiktiraf atas usahanya dalam memperjuangkan kenaikan gaji yang dikaitkan dengan produktiviti.

Berkongsi perasaan beliau terhadap pengiktirafan ini, Cik Sukartini berkata: "Pengiktirafan ini adalah milik semua yang telah menyokong perjuangan saya membela kebajikan pekerja. "

"Saya berharap dapat memastikan kesatuan sekerja terus relevan dalam membawa UWEEI ke tahap yang paling tinggi serta menyokong para pekerja kerana pada akhirnya setiap pekerja itu penting, " tambahnya juga.

NAIB PRESIDEN PERKHIDMATAN PRODUKSI MEDIACORP SOPHIAN YUSI DIIKTIRAF ANUGERAH KATEGORI FRIEND OF LABOUR

Naib Presiden bagi Perkhidmatan Produksi Mediacorp Sophian Yusi pula merupakan antara sembilan penerima kategori Friend of Labour.
Related article image
Penerima anugerah Friend of Labour, Encik Sophian Yusi.
Anugerah itu diberikan kepada individu yang telah menyumbang sekurang-kurangnya lima tahun untuk menyokong misi Pergerakan Buruh dalam berkhidmat kepada pekerja dari semua segmen, melengkapkan mereka supaya kekal bersedia, relevan dan berdaya tahan agar para pekerja menikmati gaji, kebajikan dan prospek pekerjaan yang lebih baik.

"Apa yang mendorong saya, (apabila) saya melihat pekerja-pekerja saya ini bukan sebagai pekerja tetapi lebih sebagai keluarga. Sebagai keluarga kita selalu menjaga satu sama lain dan kita juga beri sokongan kepada mereka untuk maju dalam kerjaya mereka.

Anugerah ini bukanlah untuk meraikan pencapaian peribadi saya sendiri tapi lebih untuk menegaskan nilai-nilai teras kerja di Mediacorp," luah Encik Sophian.

SUMBANGAN 188 INDIVIDU DAN PERTUBUHAN DIIKTIRAF

Majlis Anugerah Hari Buruh NTUC memberi pengiktirafan kepada seramai 188 individu dan pertubuhan atas usaha mereka dalam menjaga kebajikan pekerja, dan menyokong kemajuan berterusan mereka.

Seramai 160 individu yang menerima anugerah tahun ini merangkumi pekerja, rakan pengurusan, pemimpin kesatuan dan perkhidmatan awam dan diiktiraf berdasarkan 11 kategori.

Kategori tertinggi majlis itu secara keseluruhan adalah Pingat Kehormatan, yang dianugerahkan kepada Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan.

Anugerah khas ini mengiktiraf usahanya selama lebih dua dekad berkhidmat antara lain sebagai penasihat kepada pelbagai kesatuan sekerja.
Sumbangan 28 pertubuhan dalam mempertingkat gaji, kebajikan dan prospek kakitangan turut diiktiraf di majlis tersebut.

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Singtel, dan ST Engineering merupakan penerima Plak Pujian (Bintang) tahun ini, anugerah tertinggi bagi pertubuhan.

Syarikat penerbangan CAAS dipuji atas kerjasama kukuh dengan Kelompok Aeroangkasa dan Penerbangan NTUC bagi membangunkan strategi dan inisiatif bagi memajukan sektor penerbangan dan pekerja industri itu, serta menyokong pekerja dalam pembangunan keupayaan.
Sumber : BERITA Mediacorp/SF
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita