Kakitangan ejen pengurusan majlis bandaran SG didakwa atas tuduhan rasuah
Dari kiri: Phua Gim Chuan, Yap Hwee Kang, Ng Lee Peng, Lim Kian Koon tiba di Mahkamah Negara, 21 Ogos 2026. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
- Phua Gim Chuan, pengurus projek kanan EM Services, didakwa menerima rasuah bernilai S$220,000 daripada tiga pengarah syarikat antara Mac 2020 hingga Januari 2023.
- Rasuah tersebut bertujuan memajukan kepentingan syarikat mereka dalam cadangan kontrak dengan Majlis Bandaran Holland-Bukit Panjang, Sembawang dan Sengkang.
- Phua juga dituduh menyembunyikan wang melalui akaun isterinya dan menggunakan sebahagian dana untuk membeli kereta Mercedes-Benz.
- Tiga pengarah syarikat turut didakwa memberi rasuah, dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 18 September, dengan hukuman berat menanti jika disabitkan kesalahan.
Phua Gim Chuan, 63 tahun, bekerja dengan EM Services, iaitu ejen pengurus bagi ketiga-tiga majlis bandaran tersebut. Beliau berdepan enam pertuduhan berkaitan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut lamannya, EM Services kini berkhidmat untuk 10 daripada 19 majlis bandaran di Singapura.
Tinjauan Mediacorp menunjukkan syarikat itu masih menguruskan Majlis Bandaran Holland-Bukit Panjang dan Majlis Bandaran Sembawang.
Dari Mac 2020 hingga Januari 2023, Phua didakwa menerima rasuah daripada tiga pengarah syarikat bagi memajukan kepentingan perniagaan mereka dalam cadangan kontrak yang melibatkan majlis bandaran berkenaan.
Dokumen mahkamah menunjukkan jumlah keseluruhan rasuah itu dianggarkan S$220,000 (AS$173,160).
Phua dituduh menyembunyikan wang tunai S$90,000 yang didakwa diterimanya dengan mengarahkan isterinya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank peribadi sang isteri pada Disember 2022.
Phua juga dituduh menggunakan kira-kira S$105,000 daripada dana berkenaan untuk membuat pembayaran untuk sebuah kereta Mercedes-Benz pada Januari 2023.
Tiga pengarah syarikat tersebut – Yap Hwee Kang, Lim Kian Koon, dan Ng Lee Peng – turut berdepan pertuduhan rasuah kerana didakwa memberikan rasuah kepada Phua.
Yap, 66 tahun, dan Lim, 64 tahun, masing-masing berdepan satu pertuduhan, manakala Ng, 62 tahun, berdepan dua pertuduhan.
Yap, yang ketika itu merupakan pengarah di Paragon Engineering, dituduh memberikan rasuah S$30,000 kepada Phua pada Mac 2020 berhubung cadangan kontrak dengan Majlis Bandaran Holland-Bukit Panjang.
Antara September hingga Oktober 2022, Ng didakwa memberikan S$40,000 kepada Phua bagi memajukan kepentingan MCE Contract Services dalam cadangan kontrak dengan Majlis Bandaran Sembawang.
Ng, yang juga pengarah di J&M Construction, didakwa memberikan lagi S$50,000 kepada Phua pada Januari 2023 berhubung cadangan kontrak yang melibatkan Majlis Bandaran Sengkang.
Lim, yang merupakan pengarah di Seah & Lim Construction, dituduh memberikan rasuah S$100,000 kepada Phua pada Disember 2022 bagi memajukan kepentingan syarikat itu dalam cadangan kontrak dengan Majlis Bandaran Sengkang.
Kesemua lelaki berkenaan dijadualkan menghadiri perbicaraan seterusnya pada 18 September.
Individu yang disabitkan kesalahan sedemikian boleh didenda sehingga S$100,000, dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Hukuman penjara maksimum bagi setiap kesalahan rasuah boleh ditingkatkan sehingga tujuh tahun jika pertuduhan itu berkaitan dengan urusan, kontrak atau subkontrak dengan pemerintah atau badan awam, kata Pejabat Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.