Skip to main content

Singapura

Kakitangan awam dapat bonus hujung tahun 1.3 bulan; pegawai gred rendah terima bayaran tambahan sekali sahaja

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Nov 2025 06:45PM Dikemas Kini : 01 Dec 2025 10:36PM
  • Semua kakitangan perkhidmatan awam di Singapura akan menerima bonus 1.3 bulan pada akhir tahun, dengan pegawai gred rendah menerima bayaran tambahan sekali sahaja, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Isnin (24 Nov).
  • Pegawai gred rendah bersamaan dengan MX15 dan MX16, serta mereka dalam Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak S$600.
  • Bonus hujung tahun itu mengambil kira Hasil Dalam Negeri Kasar Singapura (GDP) yang dijangka berkembang sekitar 4 peratus pada 2025, serta garis panduan terkini Majlis Gaji Kebangsaan (NWC).
  • Selepas digabungkan dengan bayaran pertengahan tahun sebanyak 0.4 bulan, kakitangan awam akan menerima komponen berubah-ubah tahunan (AVC) 1.7 bulan secara keseluruhan bagi tahun ini, dengan pegawai gred lebih rendah menerima bayaran tambahan sekali sehingga S$1,000 tahun ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Semua kakitangan perkhidmatan awam di Singapura akan menerima bonus 1.3 bulan pada akhir tahun, dengan pegawai gred rendah menerima bayaran tambahan sekali sahaja, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada Isnin (24 Nov).

Pegawai gred rendah bersamaan dengan MX15 dan MX16, serta mereka dalam Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak S$600.

Bonus hujung tahun itu mengambil kira Hasil Dalam Negeri Kasar Singapura (GDP) yang dijangka berkembang sekitar 4 peratus pada 2025, serta garis panduan terkini Majlis Gaji Kebangsaan (NWC).

"Penilaian itu mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada dijangkakan dalam tiga suku pertama tahun ini, serta situasi ekonomi global dan domestik terkini," menurut PSD.

Ia juga menyusuli rundingan rapat dengan kesatuan sektor awam.

Pemerintah akan tetap membayar elaun tahunan tidak berpencen sebanyak sebulan, juga dikenali sebagai bonus bulan ke-13.

Bonus 1.3 bulan hujung tahun lebih tinggi berbanding bonus 1.05 bulan yang diberikan pada 2024.

Selepas digabungkan dengan bayaran pertengahan tahun sebanyak 0.4 bulan, kakitangan awam akan menerima komponen berubah-ubah tahunan (AVC) 1.7 bulan secara keseluruhan bagi tahun ini, dengan pegawai gred lebih rendah menerima bayaran tambahan sekali sehingga S$1,000 tahun ini.

PSD menyatakan bayaran bagi pegawai gred lebih rendah adalah selaras dengan saranan NWC untuk meningkatkan gaji pekerja bergaji lebih rendah.

"Pemerintah akan terus mengambil pendekatan progresif bagi menentukan AVC bagi kakitangan perkhidmatan awam," ia menambah.

Anggaran awal pasaran buruh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menunjukkan keadaan pasaran buruh lebih kukuh daripada dijangkakan.

Jumlah pekerjaan meningkat pada kadar lebih cepat berbanding suku sebelumnya, manakala kadar pengangguran dan pemberhentian kerja kekal rendah dan stabil, menurut PSD.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita