Kakitangan awam dapat bonus hujung tahun 1 bulan; S$1,800 bagi pekerja awam gaji rendah
Kakitangan awam di Singapura akan menerima bonus Komponen Berubah-ubah (AVC) sebanyak satu bulan gaji pada Disember ini, dedah Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) hari ini (27 Nov).
SINGAPURA: Kakitangan awam di Singapura akan menerima bonus Komponen Berubah-ubah (AVC) sebanyak satu bulan gaji pada Disember ini, dedah Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD) hari ini (27 Nov).
Kakitangan yang bergaji rendah pula akan mendapat AVC minimum hujung tahun sebanyak S$1,800, menurut PSD.
Ia menyatakan, ini mencerminkan komitmen berterusan Pemerintah untuk membantu par apekerja bergaji rendah.
Sekitar 1,490 kakitangan awam akan meraih manfaat daripada AVC minimum sebanyak $1,800 itu. Contohnya, seorang pekerja yang bergaji bulanan sebanyak $1,500, akan mendapat AVC hujung tahun sebanyak $1,800.
Ini merupakan tambahan $300 berbanding gaji sebulannya (yang sepatutnya $1,500).
BONUS 1.5 BULAN KESELURUHANNYA
PSD menambah, bagi keseluruhan tahun 2017 ini, para pekerja awam menerima AVC 1.5 bulan, apabila AVC pertengahan tahun sebanyak 0.5 bulan pada Julai 2017, diambil kira.
Bayaran AVC ini sejajar dengan pandangan ekonomi yang lebih baik bagi 2017 berbanding 2016, menurut jabatan tersebut.
"Ekonomi Singapura tumbuh 5.2% tahun ke tahun pada suku ketiga 2017, lebih tinggi berbanding 2.9% pada suku sebelumnya. Ekonomi Singapura tumbuh pada kadar yang lebih pesat iaitu 3.5% pada tiga suku pertama 2017, berbanding 1.7% bagi tempoh yang sama setahun yang lalu.
"Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global dan domestik, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian meramalkan bahawa ekonomi akan tumbuh antara 3.0% peratus hingga 3.5% bagi keseluruhan 2017," menurut kenyataan PSD itu.
Berlatarbelakangkan perkembangan tersebut, jelasnya, para kakitangan awam akan diberi Bonus Komponen Berubah-Ubah (AVC) hujung tahun sebanyak satu bulan.
Bayaran itu (termasuk bayaran minimum) diputuskan setelah berunding dengan kesatuan-kesatuan sektor awam.
Semua kakitangan perkhidmatan awam juga akan menerima Elaun Tahunan Bukan Pencen (NPAA) sebanyak sebulan, yang akan diberikan pada bulan Disember, bersama-sama dengan AVC.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.