Skip to main content

Singapura

Kajian RIMA: Belia Islam SG hargai bimbingan agama tempatan, mahu kupasan isu semasa lebih mendalam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Jul 2026 09:15PM Dikemas Kini : 18 Aug 2026 09:43AM
SINGAPURA: Hampir separuh belia Islam Singapura merasakan kandungan Islam tempatan masih belum cukup mengupas dengan lebih mendalam isu-isu kontemporari.

Oleh itu, ramai yang mendapatkan kandungan sedemikian daripada pencipta kandungan di luar Singapura.

Demikian antara dapatan kajian oleh Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) yang dikeluarkan pada Selasa (14 Julai).

RIMA, yang merupakan cabang kajian AMP Singapura, menjalankan kajian tersebut dengan tujuan meneliti sejauh mana kandungan Islam tempatan dalam talian kekal relevan bagi golongan belia dalam landskap digital global.

Kajian yang melibatkan 166 belia Islam Singapura berusia dari 15 hingga 35 tahun itu mendapati belia Islam secara umumnya menghargai asatizah dan pencipta kandungan Islam tempatan.

Ia kerana golongan tersebut dilihat lebih berwibawa, mudah didekati serta memahami konteks masyarakat Singapura.

KANDUNGAN TEMPATAN YANG MENYENTUH ISU KONTEMPORARI MASIH BERKURANGAN

Sebanyak 41.2 peratus responden berpandangan kandungan Islam tempatan sudah cukup menyentuh isu-isu semasa, termasuk isu Israel-Palestin, kesihatan mental dan identiti jantina.

Namun, hampir separuh responden, iaitu 46.7 peratus, bertanggapan bahawa masih terdapat ruang untuk membincangkan isu-isu tersebut dengan lebih mendalam dan relevan kepada kehidupan golongan muda.

Secara umumnya, 90.1 peratus responden berpendapat bahawa kandungan Islam tempatan yang sedia ada boleh diperbaiki.

Menurut RIMA, dapatan ini mencadangkan para pencipta kandungan Islam tempatan wajar meluaskan lingkungan topik yang dibincangkan, sejajar dengan isu-isu yang dianggap penting oleh belia Islam hari ini.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMBERI KESAN KEPADA PENCIPTA KANDUNGAN YANG DIPILIH BELIA

Kajian tersebut juga menyelongkar kecenderungan responden terhadap pencipta kandungan tempatan atau antarabangsa.

56 peratus responden tiada kecenderungan memilih pencipta kandungan tempatan mahupun antarabangsa.

Responden yang lebih cenderung terhadap pencipta kandungan antarabangsa, iaitu sebanyak 23.5 peratus, melaporkan golongan itu membincangkan topik-topik kompleks dengan lebih mendalam.

Manakala, responden yang lebih cenderung terhadap pencipta kandungan tempatan pula, iaitu sebanyak 20.5 peratus, mendapati golongan tersebut lebih relevan kepada mereka berdasarkan konteks sosial dan berbilang kaum Singapura.

BELIA ISLAM SG BIJAK MENILAI KANDUNGAN DALAM TALIAN

Kajian itu turut mendapati bahawa belia Islam Singapura ialah pengguna yang bijak menilai kandungan dan tidak menerima kandungan secara pasif semata-mata.

Misalnya, mereka kurang cenderung untuk mengikuti kandungan yang tidak selari dengan pegangan mereka, termasuk pandangan yang dianggap bermasalah atau tidak mencerminkan ajaran Islam.

Dapatan kajian itu turut menggariskan kepentingan berterusan suara agama tempatan dalam membantu belia Islam mengharungi landskap digital yang semakin global dan tanpa sempadan.

Dalam keadaan kandungan agama dalam talian semakin pelbagai dan mudah diakses, keupayaan untuk menjelaskan ajaran Islam mengikut konteks sosial dan budaya Singapura kekal penting, baik bagi para pendidik agama mahupun golongan belia Islam sendiri.

Kajian tersebut dijalankan dari Oktober 2024 hingga Mac 2025 dalam bentuk tinjauan dan temu bual.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita