Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kajian NUS kesan DNA babi dalam bebola sotong dan udang yang dijual di S'pura

Bahan genetik babi dikesan dalam satu jenama bebola sotong dan udang yang dijual di Singapura, menurut satu kajian oleh Universiti Nasional Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian NUS kesan DNA babi dalam bebola sotong dan udang yang dijual di S'pura

Gambar fail (Gambar: Wikimedia Commons/Wee Keat Chin)

Diterbitkan : 02 Nov 2019 02:43PM Dikemas Kini : 02 Nov 2019 02:45PM

SINGAPURA: Bahan genetik babi dikesan dalam satu jenama bebola sotong dan udang yang dijual di Singapura, menurut satu kajian oleh Universiti Nasional Singapura.

Dalam satu kajian yang diterbikan pada Khamis (31 Okt), para pengkaji dari Jabatan Sains Biologi NUS melaporkan DNA babi dikesan dalam sampel satu jenama makanan laut yang namanya tidak didedahkan.

Meskipun pada awalnya mereka percaya berlaku pencemaran makmal, "jenama makanan laut sama, berulang kali menunjukkan DNA babi dalam lima sampel yang dibeli pada masa dan tempat berlainan," menurut kajian itu lagi.

Ini mungkin "kes salah pelabelan paling serius" bagi sebuah masyarakat berbilang agama seperti Singapura, yang didapati daripada ujian ke atas 105 sampel makanan laut segar dan beku dari enam pasar raya dan dua restoran makanan laut di Singapura.

"Mujur, sampel-sampel itu tidak dilabel sebagai halal atau kosher, tetapi kes-kes sedemikian tetap menekankan perlunya ujian secara tetap bagi sampel-sampel makanan laut diproses dan berbilang spesies." kata para pengkaji.

Mereka juga mendapati kesemua sampel makanan laut diproses yang dilabel sebagai mengandungi krustasia - iaitu ketam, udang dan/atau udang karang - hanya menunjukkan DNA ikan. Sebaliknya, bebola sotong yang diuji benar-benar diperbuat daripada sotong.

"Kami tidak dapat mengesan sebarang DNA krustasia dalam kesemua lapan sampel. DNA ikan terdapat dalam jumlah yang tinggi dan kami percaya secara keseluruhan, banyak produk ini tidak mengandungi atau mempunyai hanya jumlah sedikit tisu krustasia."

"PELABELAN KREATIF"

Bagaimanapun, para pengkaji menambah, tahap kesalahan pelabelan yang ketara di Singapura tidak setinggi negara-negara lain di rantau ini.

Kajian dari Malaysia, Filipina dan Vietnam mendapati tahap salah pelabelan adalah sekitar 60 peratus.

Masalah utama di Singapura adalah "pelabelan kreatif" terutamanya bagi produk-produk yang diproses, jelas para pengkaji.

Ini mungkin disebabkan kurangnya peraturan ketat dalam Akta Penjualan Makanan. Undang-undang menetapkan bahawa label-label perlu menyediakan nama atau penerangan yang "cukup untuk menunjukkan ciri sebenar makanan".

Ikan ditakrifkan sebagai sebarang organisme akuatik yang biasa dimakan oleh manusia, yang tidak termasuk mamalia tetapi termasuk krustasia dan moluska.

"Ini tidak lagi sejajar dengan jangkaan pengguna hari ini yang menjangkakan label-label yang terperinci," kata para pengkaji itu. 

Sumber : Today/EM/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa