Skip to main content

Singapura

Kajian MSF tentang kesan perceraian bukan untuk tuding jari atau cari 'sebab dan kesan'

Tujuan satu kajian yang dijalankan Pemerintah mengenai kesan perceraian terhadap kanak-kanak bukan untuk menimbulkan rasa bersalah dalam pasangan yang bercerai atau menentukan "sebab dan kesannya", kata Cik Sun Xueling.

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian MSF tentang kesan perceraian bukan untuk tuding jari atau cari 'sebab dan kesan'

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 05 Jan 2021 10:59PM Dikemas Kini : 05 Jan 2021 11:00PM

SINGAPURA: Tujuan satu kajian yang dijalankan Pemerintah mengenai kesan perceraian terhadap kanak-kanak bukan untuk menimbulkan rasa bersalah dalam pasangan yang bercerai atau menentukan "sebab dan kesannya", kata Cik Sun Xueling.

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) itu berkata di Parlimen pada Selasa (5 Jan) bahawa kajian itu diterbitkan kerana kementerian itu merasakan bahawa data yang terkumpul menunjukkan memberi penilaian penting yang harus dikongsi bersama para pengamal perkhidmatan sosial dan keluarga.

Beliau menjawab soalan yang diajukan oleh Cik Carrie Tan, Anggota Parlimen GRC Nee Soon, yang bertanya tentang niat disebalik menerbitkan kajian itu.

Kajian tersebut mendapati bahawa rakyat Singapura yang ibu bapa mereka bercerai berdepan dengan "kesan perceraian" jangka panjang - kurang kemungkinan memperolehi ijazah sarjana muda dan meraih pendapatan lebih rendah.

Mereka juga mempunyai simpanan lebih rendah dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka, kurang kemungkinan mendirikan rumah tangga dan lebih kemungkinan melalui perceraian setelah berkahwin kelak, berbanding anak dalam keluarga yang tidak bercerai.

Cik Tan berkata kajian itu menambah stigma terhadap pasangan yang bercerai, dan kesannya meskipun tidak disengajakan,menimbulkan rasa bersalah terhadap mereka.

Beliau berkata kajian itu juga boleh menyebabkan kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa bercerai dilabel secara negatif.

Cik Tan juga bertanya sama ada MSF dapat membaiki usaha penerangan mereka di masa hadapan.

"Saya faham semangat di sebalik berkongsi data dan dapatan. Namun, masa ia diterbitkan dan skop terhad atau ulasan yang diberikan... malangnya menimbulkan kesan tertentu terhadap pasangan yang bercerai. Saya sendiri melalui perceraian sebelum ini dan saya rasa agak sedih apabila melihat laporan kajian ini," katanya.

Cik Tan juga bertanya sama ada kajian itu mungkin akan menyukarkan pasangan yang menghadapi masalah dalam rumahtangga mereka dan sedang mempertimbangkan untuk bercerai.

Selepas kajian MSF itu diterbitkan pada 8 Dis tahun lalu, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE), sebuah kumpulan hak wanita mempersoalkan cara kajian dijalankan dan memberi amaran tentang kemungkinan ia akan membuat proses perceraian lebih sukar berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi.

Apabila disoal lagi oleh Cik Tan, Cik Sun menekankan sekali lagi bahawa kajian itu tidak bertujuan untuk menetapkan bahawa perceraian adalah punca kanak-kanak menerima nasib yang kurang diingini berbanding rakan-rakan mereka yang ibu bapa mereka tidak bercerai.

Jika niatnya adalah untuk menentukan sebab keadaan itu, pendekatan yang diambil pastinya berbeza daripada apa yang dilakukan, katanya.

Bagaimanapun Cik Sun akur bahawa dalam segelintir kes dan bagi keluarga dengan dinamik tertentu, perceraian "mungkin adalah jalan keluar terbaik untuk semua orang".

"Sekiranya itu berlaku, dan jika terdapat kanak-kanak kecil bawah umur terlibat, bagaimana kita dapat mengurangkan kesan perceraian terhadap kanak-kanak sedemikian? Inilah niat dan tujuan disebalik kajian ini," kata Cik Sun. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita