Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kajian MSF: Anak mangsa perceraian alami 'kesan jangka panjang' hingga ke dewasa

Lantaran itulah, MSF menyatakan ia akan memperkenalkan portal online baru pada akhir tahun depan bagi membantu ibu bapa dengan anak kecil yang ingin bercerai. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Anak mangsa perceraian lebih kemungkinan tidak akan meraih ijazah universiti, dan tidak akan berkahwin.

Malah mereka yang berumahtangga pula mungkin akan melalui perceraian.

Demikian antara "kesan jangka panjang" atau "divorce penalties" yang dialami kanak-kanak dari keluarga yang bercerai di Singapura.

Dapatan itu hasil kajian pertama yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan dikeluarkan hari ini (8 Dis).

Kajian MSF itu meninjau sama ada anak dari ibu bapa yang bercerai mengalami fenomena "kurang bernasib baik untuk jangka panjang".

Seramai 9,000 rakyat Singapura yang ibu bapa mereka bercerai dikaji untuk tujuan itu dengan keadaan
ekonomi serta perkahwinan golongan tersebut diselidik ketika berusia 35 tahun antara 2014 dengan 2016.

MSF menyatakan hasilnya kemudian dibandingkan dengan kanak-kanak dari kohort kelahiran yang sama, yang ibu bapa mereka tidak bercerai.

Kajian itu mendapati anak mangsa perceraian mengalami kesan negatif dalam lima aspek.

TIDAK MERAIH IJAZAH UNIVERSITI, SUMBER PENDAPATAN LEBIH RENDAH

Mereka lebih berkemungkinan tidak meraih ijazah universiti.

Berbanding 37 peratus kanak-kanak dari keluarga utuh yang meraih ijazah, hanya 27.8 peratus anak dari keluarga yang bercerai berai berjaya menggenggam segulung ijazah universiti.

Disebabkan faktor ini, mereka juga meraih pendapatan yang lebih rendah.

Misalnya, kajian itu menunjukkan purata pendapatan bagi anak dari keluarga utuh adalah dalam persentil 46.7, sementara bagi anak yang ibu bapanya bercerai adalah 41.8.

Selain purata pendapatan yang lebih rendah, kanak-kanak dari keluarga yang becerai juga mempunyai baki di Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang lebih rendah berbanding golongan dewasa lain yang seusia mereka.

BERKEMUNGKINAN TAK KAHWIN, ATAU BERCERAI LEPAS KAHWIN

Kesan jangka panjang disebabkan perceraian ibu bapa juga mengakibatkan mereka berkemungkinan tidak berkahwin.

75.9 peratus anak dari keluarga yang utuh sudah berumahtangga ketika berusia 35 tahun berbanding 73.6 peratus dari keluarga bercerai.

Kajian tersebut juga menunjukkan juga golongan yang ibu bapa bercerai berkemungkinan besar akan bercerai apabila mereka mendirikan rumahtangga.

Dalam kalangan anak dari keluarga utuh, 13.8 peratus melalui perceraian ketika capai usia 35 tahun berbanding 21.7 peratus dari golongan seusia mereka dari keluarga yang bercerai berai.

KAUNSELOR: TIDAK SEMESTINYA AKAN BERCERAI..

Kaunselor dari PPIS Cik Marjianah Abu Bakar berkata trend serupa juga dilihat dalam keluarga Melayu/Islam.

Namun menurutnya penting juga untuk ditekankan tidak semua anak hasil rumahtangga yang gagal akan mengikuti jejak langkah ibu bapa mereka.

"Daripada pengamatan kami di PPIS As-Salam, pengalaman kami dalam sokongan kepada keluarga-keluarga yang sedang dalam proses perceraian ataupun yang melalui proses perceraian di makamah," kata Cik Marjianah.

"Kami lihat seperti ada sedikit sebanyak trend ataupun persamaan kepada trend yang diketengahkan dalam kajian tersebut. Ada yang di antara mereka mengatakan…rasakan bahawa dalam perkahwinan mereka ada sedikit sebanyak sejarah daripada ibubapa mereka yang melalui perceraian yang mana sedikit sebanyak menjejas perkahwinan mereka yang sediakala ini."

Menurutnya lagi ada pelbagai faktor yang menyebabkan kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga sedemikian akan bercerai, dan tidak semestinya disebabkan faktor ibu bapa mereka sahaja.

"Sukar untuk kami mengatakan bahawa bila ibu dan ayah bercerai, ia bermaksud perkahwinan anak mereka tidak akan kekal di masa hadapan, ini kerana faktor perceraian itu sendiri agak banyak," kongsinya dengan pihak kami.

MSF AKAN PERKENAL PORTAL BARU MENJELANG AKHIR 2021

Bagi mengekang "kesan-kesan jangka panjang" terhadap kanak-kanak, MSF menyatakan langkah-langkah pencegahan atau intervensi bagi membantu kanak-kanak sedemikian menyesuaikan diri dengan kehidupan setelah perceraian ibu bapa perlu disediakan.

Pendekatan menerusi dasar-dasar bagi membantu golongan dewasa yang ingin mendirikan rumahtangga juga genting dalam memecahkan lingkaran tersebut.

Lantaran itulah, MSF menyatakan ia akan memperkenalkan portal online baru pada akhir tahun depan bagi membantu ibu bapa dengan anak kecil yang ingin bercerai.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan