Skip to main content

Singapura

Kajian MENDAKI: 87 peratus pekerja Melayu/Islam celik AI, pekerja lebih berusia muncul pengguna AI paling aktif

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian MENDAKI: 87 peratus pekerja Melayu/Islam celik AI, pekerja lebih berusia muncul pengguna AI paling aktif

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber membentangkan kajian kepada para hadirin (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)

Diterbitkan : 09 Jul 2026 10:49PM
SINGAPURA: Sebanyak 87 peratus pekerja Melayu/Islam di Singapura menunjukkan asas literasi kecerdasan buatan (AI) yang kukuh, menurut satu kajian terbaharu Yayasan MENDAKI.

Malah, kajian berkenaan turut menemukan bahawa pekerja berusia antara 46 hingga 60 tahun merupakan kumpulan paling aktif menggunakan AI dan paling bersemangat mempelajari teknologi tersebut.

Sebaliknya, golongan pekerja muda berusia 18 hingga 30 tahun didapati kurang merasakan keperluan mendesak untuk mempelajari AI dan mencatat penyertaan paling rendah dalam latihan berkaitan teknologi itu.

Dapatan tersebut dibentangkan menerusi Kajian Literasi dan Sentimen AI sempena Simposium MENDAKI pada Khamis (9 Jul).

Mengulas dapatan itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad, yang juga Pengerusi MENDAKI berkata kajian tersebut mencabar tanggapan umum bahawa golongan muda lebih pantas menerima teknologi baharu berbanding mereka yang lebih berusia.

"Selalu kita sangka golongan muda mudah menerima teknologi, dan yang lebih berusia bergelut mengejarnya. Kami menemui yang sebaliknya.

"Golongan pekerja yang lebih berusia, dalam lingkungan usia empat puluhan dan lima puluhan, yang merasakan desakan paling kuat untuk belajar. Mereka bertanya bagaimana AI akan menyentuh pekerjaan mereka," kongsi Encik Zaqy.

Beliau menegaskan bahawa AI tidak harus dilihat sebagai ancaman, sebaliknya peluang untuk terus maju.

DAPATAN KAJIAN

Kajian yang dijalankan antara 29 April hingga 18 Jun lalu melibatkan 1,133 pekerja, termasuk 615 pekerja Melayu/Islam dan 518 pekerja bukan Melayu/Islam.

Peserta kajian Melayu/Islam memperoleh purata 6.4 daripada 10 markah dalam ujian literasi AI, sedikit mengatasi purata 6.2 markah yang dicatatkan pekerja bukan Melayu/Islam.

Dapatan itu menunjukkan ramai pekerja Melayu/Islam telah mencapai peringkat "Kenal" di bawah inisiatif M³+ Langkah Digital, iaitu memahami asas AI sebelum menggunakannya dalam kehidupan harian dan di tempat kerja.

Bagaimanapun, kajian mendapati tahap literasi AI yang tinggi tidak semestinya disertai rasa mendesak untuk meningkatkan kemahiran.

Walaupun 57 peratus pekerja di Singapura percaya AI boleh menjejaskan pekerjaan di negara ini, hanya 41 peratus berpendapat pekerjaan mereka sendiri berisiko digantikan oleh AI.

Kajian itu turut mengenal pasti kumpulan juruteknik dan profesional bersekutu Melayu/Islam sebagai antara golongan yang memerlukan sokongan lebih khusus.

Mereka melaporkan kebimbangan paling tinggi terhadap kemungkinan pekerjaan digantikan AI, namun pada masa sama mencatat tahap literasi AI dan kesediaan untuk mempelajari AI yang paling rendah.

MENDAKI KENALPASTI TIGA BIDANG TINDAKAN UNTUK PERKASA KESIAPSIAGAAN AI MASYARAKAT

Sehubungan itu, MENDAKI menggariskan tiga bidang tindakan bagi fasa seterusnya inisiatif M³+ Langkah Digital.

Pertama, usaha akan dipertingkat untuk meningkatkan kesedaran, keyakinan dan semangat pekerja mempelajari AI.

Ini memandangkan tahap literasi AI yang tinggi tidak semestinya bermakna seorang individu bersedia untuk terus meningkatkan kemahiran.

Kedua, latihan AI akan disesuaikan mengikut jenis pekerjaan, terutama bagi golongan juruteknik dan profesional bersekutu, supaya kemahiran yang dipelajari lebih relevan dengan tugas harian mereka.

Ketiga, pendekatan berbeza akan digunakan mengikut peringkat usia.

Bagi golongan muda pula, lebih banyak program berasaskan masyarakat seperti hackathon AI akan diperkenalkan bagi memaparkan manfaat AI dalam kehidupan seharian, bukan sekadar di tempat kerja.

DAPATAN KAJIAN AKAN DIJADIKAN PANDUAN MENDAKI, LAKAR PROGRAM LEBIH RELEVAN

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber, menekankan bahawa dapatan kajian itu akan dijadikan panduan dalam merangka program dan latihan AI yang lebih relevan, khususnya bagi memenuhi keperluan masyarakat mengikut usia dan pekerjaan.

"87 peratus pekerja Melayu/Islam lulus Ujian Literasi AI. Namun, kita masih perlu meningkatkan keyakinan dan kesediaan untuk menggunakan AI secara meluas. Melalui M³+ Langkah Digital, MENDAKI akan terus membantu masyarakat kita menggunakan AI dengan yakin," kata Encik Feroz.

Beliau menambah, MENDAKI akan memperluaskan usaha latihan dan pembangunan kemahiran AI.

"Kami akan memperluaskan pendedahan, latihan dan pembangunan kemahiran bagi meningkatkan keyakinan masyarakat menggunakan AI. Kami juga akan berkongsi dapatan kajian ini dengan rakan strategik agar usaha membangunkan masyarakat dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan berimpak," ujar Encik Feroz.

Usaha memperkasa kemahiran AI dalam masyarakat turut diperkukuh menerusi kerjasama antara MENDAKI dengan AI Singapore.

Sebagai sebahagian daripada usaha itu, MENDAKI mencalonkan dua profesional untuk menyertai Program Master Trainer AI Singapore bagi membina kepakaran dalaman dan melahirkan lebih ramai penyokong AI dalam masyarakat.

MENDAKI dan AI Singapore juga saling mempromosikan inisiatif masing-masing.

Sebagai contoh, MENDAKI menggalakkan golongan belia menyertai Program AI Apprenticeship AI Singapore bagi membangunkan kemahiran AI dan meneroka kerjaya dalam ekonomi digital.

GESA MASYARAKAT BERSEDIA HADAPAI ERA AI

Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat, turut menghadiri simposium itu sebagai tetamu terhormat.

Dalam ucapannya, Encik Chee menyifatkan AI sebagai teknologi yang bakal membentuk masa depan serta mengubah landskap pekerjaan.


"Hari ini, komputer dan internet telah menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan kita.

"Teknologi ini bukan sahaja tidak menghapuskan semua pekerjaan kita, malah menjadikan pekerjaan sedia ada lebih produktif serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor ekonomi," kata Encik Chee.

Justeru, beliau menekankan bahawa masyarakat perlu bersedia menghadapi perubahan itu dengan sikap yang positif dan terbuka.

"Bagi mempersiapkan diri, saya mencadangkan agar kita memberi tumpuan kepada tiga perkara: Pertama, merebut peluang baharu yang dibawa oleh AI. Kedua, memperkasa setiap rakyat Singapura agar dapat memanfaatkan AI sebagai satu alat.

"Ketiga, terus memupuk nilai dan keupayaan unik sebagai manusia yang tidak dapat digantikan oleh AI," kata Encik Chee.

Simposium MENDAKI menghimpunkan kira-kira 400 ahli akademik, penggubal dasar dan pengamal industri bagi membincangkan peranan keluarga, sistem dan teknologi dalam menghadapi cabaran masa depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita