Kajian MENDAKI: 28 peratus ibu bapa Melayu/Islam sasar universiti sebagai pencapaian minimum anak, cerminkan aspirasi pendidikan tinggi
Simposium MENDAKI 2026 membentangkan dua kajian kepada 400 hadirin di Pusat Konvensyen Suntec City pada Khamis (9 Jul) (Gambar: Yayasan MENDAKI)
Ibu bapa pelajar-pelajar di bawah Program Pencapaian MENDAKI (MAP) pula mencatatkan jangkaan yang lebih tinggi tentang pendidikan anak-anak mereka, dengan 37 peratus daripada mereka menetapkan pendidikan universiti sebagai pencapaian minimum bagi anak-anak mereka.
Demikian antara dapatan kajian MENDAKI yang bertujuan meninjau aspirasi dan dorongan ibu bapa Melayu/Islam terhadap pendidikan anak-anak mereka.
Kajian tersebut dibentangkan kepada 400 hadirin di Simposium MENDAKI 2026 pada Khamis (9 Jul).
Kajian yang dijalankan dari 20 Mac hingga 30 April lalu itu melibatkan 1,010 ibu bapa Melayu/Islam dan 410 ibu bapa bukan Melayu/Islam.
LIMA CORAK PEMIKIRAN BERBEZA IBU BAPA TERHADAP PENDIDIKAN ANAK-ANAK
Kajian tersebut turut mendapati bahawa terdapat lima corak pemikiran dalam kalangan responden terhadap pendidikan anak-anak mereka.
Menurut MENDAKI, kelima-lima corak pemikiran itu mencerminkan pengalaman berbeza para ibu bapa tersebut.
Dalam kalangan ibu bapa Melayu/Islam, kategori dengan peratusan tertinggi sebanyak 26 peratus ialah ibu bapa yang berpandangan bahawa pendapatan lebih tinggi adalah keutamaan dalam menentukan laluan pendidikan anak-anak mereka.
20 peratus responden Melayu/Islam pula mengutamakan struktur dan laluan pendidikan yang jelas dan terbukti berkesan untuk mencapai kejayaan. 79 peratus golongan ini pula mementingkan kestabilan kewangan dalam menentukan laluan pendidikan.
Sebanyak 19 peratus ibu bapa Melayu/Islam pula percaya terdapat pelbagai laluan untuk berjaya selain menggenggam ijazah. Menariknya, peratusan ini lebih tinggi berbanding 16 peratus ibu bapa bukan Melayu/Islam yang berpendapat sama.
Bagi golongan ini, 31 peratus sangat gigih ingin mengejar peningkatan kemahiran atau 'upskilling' berbanding pendidikan formal di universiti.
Kategori pembelajaran sepanjang hayat pula melihat hanya 17 peratus responden Melayu/Islam berbanding 21 peratus responden bukan Melayu/Islam yang sedia untuk terus meningkatkan kemahiran setelah mencapai peringkat universiti. 37 peratus daripada jumlah keseluruhan responden juga memasang niat untuk meneruskan pengajian pos-universiti.
Corak pemikiran yang terakhir ialah mereka yang percaya bahawa laluan pendidikan yang selamat wajar diambil yakni yang dipengaruhi ibu bapa. Sebanyak 19 peratus responden Melayu/Islam membentuk golongan tersebut.
"(Kajian ini) membantu MENDAKI membuat keputusan yang berasaskan data bukan andaian. Ini penting supaya program MENDAKI lebih tepat, lebih relevan dan berkesan untuk masyarakat kita," ujar Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Mohamed Feroz Akber.
MENDAKI AKAN MENDEKATI KELIMA-LIMA GOLONGAN TERSEBUT DENGAN PENDEKATAN BERBEZA
Menyedari bahawa pendekatan yang berbeza perlu diambil bagi mendekati golongan ibu bapa dengan corak pemikiran yang berbeza, MENDAKI akan beri tumpuan kepada program-program yang disesuaikan untuk golongan tersebut.
Misalnya, bagi ibu bapa yang mengutamakan pendapatan tinggi, 50 peratus responden meluahkan ketidakpastian tentang langkah seterusnya yang wajar diambil anak-anak mereka untuk mencapai matlamat tersebut.
Oleh itu, MENDAKI akan memberi tumpuan terhadap inisiatif-inisiatif bimbingan kerjaya termasuk program Ready@Work bagi membantu individu terus melangkah lebih jauh dalam kerjaya mereka.
Bagi golongan yang mengutamakan struktur dan laluan pendidikan jelas pula, MENDAKI akan mendekati mereka dengan program-program seperti MAP untuk membekalkan pelajar dengan sokongan yang terbukti berkesan.
Golongan yang lebih fleksibel dengan laluan mereka akan diberikan sokongan latihan kemahiran dan geran pengajian separuh masa.
Pelajar sepanjang hayat pula akan diberikan bimbingan oleh rangkaian profesional MENDAKI, manakala golongan yang lebih memilih laluan pendidikan yang selamat akan diberi sokongan untuk meningkatkan keyakinan mereka melalui program-program seperti Raikan Ilmu dan siri "Siapa Kata Kita Takde" di Instagram.
"Kami akan terus memperkukuhkan sokongan kepada ibu bapa supaya mereka lebih yakin membimbing pembelajaran anak-anak mereka," kata Encik Feroz lagi.
Simposium tersebut juga menampilkan perbincangan panel yang berkait dengan dapatan kajian ini serta dapatan kajian tentang literasi Kecerdasan Buatan (AI) dalam kalangan pekerja Melayu/Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.