Kajian HELIOS-SG100K perlu lebih ramai peserta Melayu, usaha kukuhkan kesihatan generasi akan datang
Tujuan kajian HELIOS-SG100K ialah untuk lebih memahami faktor-faktor utama bagi risiko penyakit kronik dalam kalangan penduduk Asia.
Dapatan kajian itu antaranya boleh digunakan untuk memikirkan pendekatan yang lebih sesuai dan berkesan bagi menjangka, mengelak dan mengawal penyakit kronik.
Oleh itu, kajian oleh Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu memerlukan perwakilan yang memadai dari setiap kaum.
Setakat ini, kajian HELIOS telah mengumpulkan data daripada 54,080 peserta sejak ia dilancarkan pada 2018 hingga tamat fasa kedua pada April 2025.
Namun, hanya sekitar lapan peratus daripadanya merupakan peserta Melayu.
Ini berbanding 80.1 peratus daripada masyarakat Cina dan 11.9 peratus daripada masyarakat India.
Menurut Laporan Trend Penduduk Singapura 2024, masyarakat Melayu membentuk 13.5 peratus penduduk di negara ini.
PENYERTAAN MASYARAKAT MELAYU PENTING, BANTU KESAN RISIKO KESIHATAN LEBIH AWAL
Menurut Eksekutif Kanan Perekrutan Peserta kajian HELIOS-SG100K, Nurfaiezah Kamat, penyertaan masyarakat Melayu amat penting bagi memastikan hasil kajian benar-benar mencerminkan realiti kesihatan masyarakat tersebut.
“Penyertaan masyarakat Melayu amat penting untuk memastikan perwakilan yang tepat bagi masyarakat
kami dalam penyelidikan kesihatan memandangkan gaya hidup, tabiat pemakanan dan amalan budaya yang unik masyarakat Melayu di Singapura.
“Dengan menyumbangkan data mereka, masyarakat Melayu membantu para penyelidik kita untuk membangunkan huraian bagi penjagaan kesihatan yang lebih tepat dan sesuai dengan budaya," kata Cik Nurfaiezah.
Ia juga katanya akan membantu dalam penemuan kajian serta rawatan perubatan yang lebih berkesan buat masyarakat kelak.
Kajian HELIOS-SG100K merupakan sebahagian daripada program SG100K yang menggabungkan beberapa kajian kesihatan utama di Singapura.
Ia merangkumi penyelidikan terhadap pelbagai penyakit kronik dan akut seperti penyakit jantung, kencing manis, barah, demensia, masalah penglihatan, masalah kesihatan mental, penyakit pernafasan dan masalah sendi.
Antara penemuan penting sejauh ini yang melibatkan masyarakat Melayu ialah penyakit osteoporosis.
“Penemuan kajian ini akan membantu mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal seperti osteoporosis yang kurang berlaku secara keseluruhan tetapi kerap tidak dikesan dalam masyarakat Melayu kita.
“Dengan pemahaman yang lebih lanjut, kajian ini akan memandu dasar kesihatan agar generasi Melayu masa depan menerima ramalan penyakit yang tepat, pencegahan awal dan penjagaan yang lebih baik,” jelas Cik Nurfaiezah.
KAJIAN SASAR LIBATKAN LEBIH 10 RIBU PESERTA
Dalam fasa seterusnya, kajian HELIOS-SG100K menyasarkan pengambilan 10,000 peserta dan berharap sebahagian besar merupakan peserta berbangsa Melayu.
“Buat masa ini, kami perlu mendapatkan lagi 10,000 peserta seeloknya, satu per tiga dari jumlah itu adalah dari kalangan masyarakat Melayu kita,” kata Cik Nurfaiezah.
Proses kajian melibatkan satu sesi lawatan selama kira-kira lima jam yang merangkumi pelbagai pemeriksaan kesihatan.
“Peserta akan menghadiri satu sesi lawatan yang akan mengambil masa dalam lebih kurang lima jam. Sebelum mereka datang untuk sesi itu, mereka diperlukan untuk berpuasa untuk lapan jam.
"Sesi ini akan merangkumi pendaftaran, pengambilan sampel biologi, pengukuran fizikal, ujian khusus seperti saringan penglihatan, fungsi paru-paru, ECG, imbasan ketumpatan tulang, imbasan ultrasound dan lain-lain lagi,” jelas beliau.
Kesemua peserta akan menerima laporan kesihatan peribadi dan diberi hadiah dalam bentuk wang sebagai tanda penghargaan.
INGIN FAHAMI TAHAP KESIHATAN DENGAN LEBIH MENDALAM
Antara peserta yang sudah menyertai kajian tersebut ialah Mohammad Fitri Zakaria, 38 tahun.
Beliau terdorong untuk menyertai kajian tersebut kerana ingin memahami lebih lanjut tentang tahap kesihatannya.
Ini lebih-lebih lagi kerana ada sejarah penyakit kronik di dalam keluarganya.
“Saya melihat kajian ini sebagai satu peluang bermakna untuk menyumbang kepada penyelidikan perubatan yang boleh memberi manfaat kepada generasi yang akan datang," kata Encik Fitri.
Menurutnya, kesedaran tentang risiko genetik adalah penting untuk perancangan kesihatan jangka panjang.
“Saya rasa penting untuk saya tahu apa-apa masalah dari segi genetik kerana ia boleh membantu saya memahami risiko kesihatan saya. Jika saya dapat tahu lebih awal, saya boleh mengambil langkah-langkah pencegahan atau cuba mengubah gaya hidup saya," kongsi Encik Fitri.
Mengulas pengalamannya sebagai peserta, beliau menyifatkan proses kajian sebagai lancar dan teratur.
“Pada saya prosesnya sangat mudah. Dari proses pendaftaran sehingga selesai kesemua ujiannya, ia mengambil masa beberapa jam sahaja.
“Di setiap stesen ujian, ada kakitangan yang membimbing saya di dalam proses ujian tersebut. Pada pendapat saya, aliran prosesnya telah diatur dengan baik dan secara keseluruhannya, ia merupakan pengalaman yang lancar," kata Encik Fitri.
HARAP KAJIAN DAPAT BANTU MASYARAKAT DENGAN LEBIH MELUAS
Beliau berharap dapatan kajian itu dapat memberi impak besar kepada dasar kesihatan negara.
"Saya berharap dengan maklumat yang diperoleh terutama pemahaman yang lebih mendalam tentang risiko kesihatan kita, dapatan kajian boleh merangka dasar-dasar kesihatan yang lebih baik untuk masyarakat kita," ujar Encik Fitri.
Dia turut menggalakkan masyarakat Melayu/Islam untuk tampil menyertai kajian ini.
“Saya percaya penglibatan masyarakat Melayu/Islam di dalam kajian ini bukan sahaja penting tetapi juga berfaedah untuk kita semua.
“Jika lebih ramai yang dapat sertai kajian ini, data atau maklumat yang dikumpulkan boleh mencerminkan keperluan kesihatan yang lebih relevan untuk masyarakat kita.”
Dengan perwakilan daripada setiap kaum yang lebih sejajar, para penyelidik berharap kajian HELIOS-SG100K dapat membantu membentuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil, tepat dan sesuai dengan keperluan budaya semua penduduk di negara ini.
Orang ramai boleh menyertai kajian melalui lelaman ini: https://www.healthforlife.sg/
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.