Skip to main content

Singapura

Kajian dapati program aLIVE beri kesan positif dalam diri kanak-kanak, belia

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian dapati program aLIVE beri kesan positif dalam diri kanak-kanak, belia

Program aLIVE yang telah ditubuhkan pada 2004, telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 penuntut setiap tahun di 36 pusat di seluruh negara. (Gambar: Instagram/Dr Faishal Ibrahim)

SINGAPURA: Program pembelajaran agama 'aLIVE' (Learning Islamic Values Everyday) meninggalkan kesan positif dalam peserta kanak-kanak dan belia.

Hasil kajian bagi menilai kesan Program aLIVE oleh Profesor Mohamad Johdi Salleh dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu didedahkan di Festival LearnIslam 2025.

Antara dapatannya ialah:

Untuk Kanak-Kanak dan Remaja Awal (umur 5 – 12 tahun):
a. Nilai agama yang lebih kukuh
b. Pendekatan lebih disiplin dalam solat harian
c. Peningkatan keyakinan dalam menyatakan keimanan mereka
d. Amalan nilai Islam yang konsisten dalam kehidupan seharian

Untuk Remaja dan Belia (umur 13 – 20 tahun):
a. Kemampuan yang lebih baik untuk menangani isu-isu kontemporari menerusi perspektif Islam
b. Kejayaan dalam penerapan prinsip Islam dalam membuat keputusan harian
c. Menggalas peranan kepimpinan aktif dalam keluarga dan komuniti

Dalam ucapannya di acara itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata ia memberangsangkan dan menunjukkan hasil usaha para asatizah.

"Dapatan ini membuktikan bahawa benih yang kita tanam melalui aLIVE sedang membuahkan hasil. Seperti anak pokok muda yang meneguhkan akarnya, para pelajar kita sedang membina asas yang kukuh dalam iman mereka. Pencapaian ini tidak akan berjaya tanpa dedikasi para asatizah kita," kata Dr Faishal.

"Daripada dapatan positif ini, saya menggalak MUIS untuk terus mempertingkatkan kurikulum aLIVE dengan maklum balas daripada asatizah dan pelajar dan memperdalam kerjasama dengan IECP (Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam) untuk meluaskan jangkauan. Gabungan usaha ini akan memastikan benih agama yang kita tanam hari ini akan terus menghasilkan buah untuk generasi akan datang," tambahnya.

Ditubuhkan pada tahun 2004, program aLIVE telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 penuntut setiap tahun di 36 pusat di seluruh negara.

Ia juga telah memberikan impak yang signifikan dalam membentuk kerohanian golongan muda dari umur 5 hingga 20 tahun.
Melalui pembangunan Peta Pelajar dan Pendidik Pendidikan Islam (ILEM) yang dibangunkan pada tahun 2023 serta kerjasama antara MUIS dan IECP, ia telah mengukuhkan ekosistem pendidikan Islam di Singapura. (Gambar: Instagram/Dr Faishal Ibrahim)
KERJASAMA LEBIH LUAS DI FESTIVAL LEARNINGISLAM 2025

Festival tahun ini juga menandakan satu pencapaian penting dengan penyertaan daripada sepuluh Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) utama termasuk Andalus, PERGAS dan PERDAUS.

Setiap daripada mereka mempamerkan pendekatan mereka yang pelbagai dalam pembelajaran Islam.

Dr Faishal menekankan bagaimana kerjasama antara MUIS dan IECP telah mengukuhkan ekosistem pendidikan Islam di Singapura, terutamanya melalui pembangunan Peta Pelajar dan Pendidik Pendidikan Islam (ILEM) yang dibangunkan tahun 2023.

Pengarah Eksekutif Andalus dan Pengarah Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Ustaz Fathurrahman Dawoed berkata, "Kerjasama rapat antara MUIS dan IECP bukan sahaja mengukuhkan usaha kolektif kita tetapi juga berperanan memastikan setiap keluarga Muslim di Singapura mempunyai akses kepada pendidikan agama yang berkualiti."

Festival yang bertemakan “Menanam Benih Keimanan” ini telah menarik lebih 13,000 pengunjung sepanjang dua hari (26, 27 Jul).

Para hadirin juga diberi kesempatan untuk meneroka pelbagai platform pembelajaran Islam yang tersedia secara tempatan.

“Respon memberangsangkan terhadap Festival LearnIslam 2025 menunjukkan keinginan kuat masyarakat kita untuk memperdalam pemahaman mereka tentang Islam,” kata Ketua Pembangunan Sumber Manusia dan Sektor, Pendidikan, Ustazah Zanaria Jusary.

Antara tarikan utama acara itu termasuk pertandingan Quran aLIVE yang mempamerkan bakat-bakat muda serta sesi Retreat Ilmu ADIL bersama Profesor Klinikal dan Psikiatri Universiti Stanford, Dr Rania Awaad.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita