Kain pelikat dan peribahasa cetus ilham bagi dua seniman tembikar ini dalam Pesta Seni Tembikar 2025
Dari kiri: Hairol Hossain dengan karyanya, "Detik-detik Kenangan Mesra". Dr Suriani Suratman dan suaminya, Heiko Schulze di reruai mereka. (Gambar: Nurfazirah Azman)
SINGAPURA: Sempena Pesta Seni Tembikar 2025, para pengunjung boleh melihat sendiri dan beli karya-karya seni tembikar daripada lebih 100 studio seni di 'Clay Makers’ Market'.
Antara penggiat seni tembikar yang mengambil bahagian kali ini ialah anak didik Dr Iskandar Jalil sendiri iaitu Dr Suriani Suratman.
"Saya rasa setiap orang ada keterikatan dengan masa dahulu. Saya gunakan simbol-simbol warisan budaya untuk membolehkan kita memulakan titik perjalanan kita atau permulaan kita untuk mengingat, merenung, mendapat idea dan membangkitkan perasaan," kongsi Dr Suriani.
Beliau yang juga merupakan seorang ahli antropologi, sering mengangkat unsur warisan budaya Melayu dalam karyanya.
Tahun ini, beliau dan suaminya, Heiko Schulze bergabung idea dan tenaga untuk menghasilkan karya-karya kinetik yang unik menggunakan tanah liat dan kayu.
"Saya yang membuat arca tembikar manakala suami saya membuat kepingan kayu-kayu yang dihasilkan dan dihiasi dengan menggunakan teknik 'pyrography' dan kemudian menyatukannya. Saya rasa kami memang seronok menghasilkan karya ini dan sudah bercadang untuk terus menghasilkan dan bekerjasama untuk menghasilkan karya-karya kinetik ini," kongsi Dr Suriani.
Beliau juga merupakan anak didik kepada Dr Iskandar Jalil.
"Sesuatu perkara yang saya pelajari daripada Cikgu Iskandar Jalil ialah kepentingan untuk mengenali tanah liat yang kami gunakan sepertimana setiap orang mempunyai perangai ciri-ciri tersendiri, begitu juga tanah liat atau jenis tanah liat yang mempunyai keistimewaan dan keanehan tersendiri.
"Saya rasa bidang antropologi ini sebenarnya pada asasnya ialah kajian tentang hubungan sosial dan budaya dalam masyarakat. Saya sebagai pembuat seni tembikar memberi makna budaya kepada karya- karya saya seperti kain pelikat yang menonjolkan keistimewaan kain pelikat dan juga tradisi pemakaian kain pelikat," kongsi Dr Suriani.
Beliau berharap karyanya dapat mengembalikan nostalgia kepada para pengunjung dan menjadi wadah untuk bertukar pendapat dan kisah silam mereka sambil menyemai nilai-nilai masyarakat.
Ini juga merupakan kali kelima beliau sertai Pesta Seni Tembikar sejak pelancarannya pada 2021.
Selain itu, ada juga pameran 'Shaping Clay' yang menghimpunkan karya seni tembikar inovatif.
Antara karya yang dipamerkan kali ini ialah "Detik-detik Kenangan Mesra" oleh Hairol Hossain.
Dalam karyanya itu, Encik Hairol menggunakan tanah liat sebagai simbol ketabahan dan kebolehsuaian manusia.
Setiap bentuk yang dihasilkannya membawa maksud tersirat tentang bagaimana manusia dapat mengubah cabaran menjadi peluang.
"Inspirasi ini datang daripada peribahasa 'luka sudah hilang, parutnya masih tinggal juga'. Jadi dalam ini, saya ingin menyalurkan mesej dan apa saja kesulitan ke cabaran dalam hidup yang kita hadapi, kita harus bersikap positif dan kita ambil sebagai satu iktibar, muhasabah diri dan mencari langkah-langkah yang sesuai untuk mengatasi segala masalah ini. Inilah mesej yang ingin saya sampaikan dalam seni saya ini," kongsi Encik Hairol.
Beliau menambah bahawa proses berkarya menggunakan tanah liat adalah perjalanan yang penuh makna dan tidak pernah statik.
"Ia beri saya ruang untuk berkreatif, bersabar, mengajar kita untuk menyelesaikan masalah dan juga 'me-time' untuk melakukan kerja-kerja yang berfaedah. Banyak aspek yang boleh kita terokai dan pelajari. Jadi dalam perjalanan ini, ia tidak membosankan kerana ada saja yang kita boleh pelajari dalam proses buat tembikar ini," kongsi Encik Hairol.
Beliau juga menanam harapan agar lebih ramai boleh menghayati dan mengenali seni membuat tembikar dan agar seni tembikar Singapura dikenali di peringkat antarabangsa.
"Saya berminat untuk menggabungkan teknologi yang berbentuk visual dan audio. Saya mahu ada interaksi sebagai satu seni pemasangan. Itu yang saya ingin lakukan dan saya harus banyak belajar dari artis-artis yang lain supaya ia menjadi sebagai satu kerjasama dan gabungan saya dengan artis-artis yang lain," kongsi Encik Hairol.
Beliau juga pernah diberi kepercayaan oleh Lembaga Taman Negara untuk menghasilkan karya khas sempena sambutan SG50.
Karya itu kini kekal dipamerkan di Fort Canning Park.
Orang ramai boleh mengunjungi Pesta Seni Tembikar Singapura 2025 yang berlangsung hingga 9 November ini di Pusat Budaya Cina Singapura (SCCC).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.