Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kain kelambu hitam atau kiswah Kaabah kini dipamer di Masjid Hajjah Fatimah

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bagi yang ingin melihat kain kelambu Kaabah atau kiswah dengan mata kepala anda sendiri – di Singapura - ini berita baik untuk anda.

Ini kerana kiswah yang mungkin terbesar seumpamanya di Singapura sedang bergilir-gilir dipamerkan di masjid-masjid tempatan.

Buat masa ini, kiswah itu dipamerkan di Masjid Hajjah Fatimah di Beach Road dan kemudian akan 'berhijrah' ke Masjid Sultan dari 29 April ini.

Kiswah tersebut berukuran 1 meter kali 2 meter.

Kiswah

Ia merupakan hadiah daripada Duta Arab Saudi ke Singapura kepada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi pihak Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud. Ia juga sebagai mengiktiraf khidmat MUIS kepada umat Islam di sini. Ia dihadiahkan pada Julai 2021.

Sejak itu, MUIS memutuskan untuk menganjurkan pameran bergerak bagi kiswah tersebut di masjid-masjid setempat bagi membolehkan masyarakat Muslim tempatan menghargai dan melihat dari dekat kain yang digunakan untuk menyelubungi Kaabah.

Kiswah 5

Pameran itu dimulakan di masjid-masjid kelompok timur dari 5 Ogos 2021 hingga 16 Mac 2022. Setiap masjid mempamerkannya selama sekitar dua hingga tiga minggu, bergantung kepada jumlah orang yang mengunjungi masjid tersebut.

Kiswah itu kini dalam proses berhijrah dari satu masjid ke satu masjid yang lain dalam kelompok masjid di bahagian selatan negara ini.

Kiswah 3

Sejauh ini, kain selubung Kaabah itu sudah dipamerkan di 20 masjid tempatan, termasuk tiga dalam kelompok masjid selatan.

Para pengunjung ke masjid-masjid yang sebelum ini mempamerkan kiswah tersebut berasa gembira bercampur terharu dapat melihat fabrik yang disifatkan sebagai "sangat bermakna" kepada umat Islam.

Ada juga yang berkata mereka seolah-olah hampir dapat "menyentuh" Kaabah apabila melihat kiswah itu.

Kiswah 4

Malah, ada juga pengunjung bukan Muslim yang melihat kain tersebut dari dekat buat pertama kali dan berkata: "Jadi inilah kain hitam itu."

"Alhamdulillah dengan adanya kain kiswah ini dapat juga para jemaah melepaskan rindu kepada Baitullah. Mungkin peluang untuk melihat kain kiswah ini dari dekat tidak mudah walaupun kita berada di Makkah. Dengan pameran ini, para jemaah dapat melihat dari dekat dan hampir dapat ‘menyentuh’ kiswah ini," kata Pengerusi Masjid Hajjah Fatimah, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff kepada BERITAmediacorp.

kiswah 6

Selepas Masjid Hajjah Fatimah dan Masjid Sultan, kain kelambu Kaabah itu akan ‘berkunjung’ pula ke Masjid Angullia, Masjid Al-Amin dan seterusnya Masjid Jamiyah Ar- Rabitah, menurut seorang jurucakap MUIS.

BERITAmediacorp diberitahu, perancangan selanjutnya adalah untuk kiswah itu dipamerkan di masjid-masjid kelompok utara dan barat.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan