Kafe Muslim ini sasar jual 400 bagel sehari demi bantu golongan kurang daya penglihatan
Ingin makan sambil beramal? Bagi setiap bagel 'Signature Fills' yang dibeli di Beigelhaus, S$0.50 akan disalurkan kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) bagi meningkatkan kesedaran terhadap golongan ini.

Antara bagel yang dihidangkan di Beigelhaus++. (Gambar: Diyana Zarki)
BERITAmediacorp: Pengalaman bekerja bersama dengan golongan kurang daya penglihatan di restoran NOX- Dine In The Dark beberapa tahun lalu jelas membuka mata dan minda tiga sekawan ini.
Malah di situlah Cik Diyana Zarki, Cef Shahrom dan Cef Zaki Jauhari melihat bagaimana individu-individu kurang daya penglihatan tetap mampu bertugas sebagai pelayan makanan dan bekerja di restoran yang menghidangkan makanan dalam suasana gelap-gelita.
Yang jelas, pengalaman tersebutlah yang menjadi pembakar semangat untuk mereka membuka kafe sendiri - Beigelhaus++ - bagi berkolaborasi dan membantu golongan itu.

Cik Diyana berkata: "Mereka membuat kami sedar bahawa ketidakupayaan itu tidak wujud sebenarnya.
"Keazaman mereka untuk menjadi 'normal' sangat menakjubkan. Melayan mereka secara sama rata dan dengan cara saling hormat-menghormati adalah sesuatu yang mereka inginkan.
"Oleh itu, kami merebut peluang ini untuk membuka Beigelhaus dan berharap dapat meluaskan perniagaan ini pada masa depan bagi menjana pekerjaan dan mewujudkan kesedaran bagi golongan tersebut dan individu-individu istimewa lain."
SASAR 400 BAGEL SEHARI BAGI BANTU SAVH
Dimiliki bersama oleh empat individu - Cik Diyana, Cef Shahrom, Encik Zahid Jalal dan Encik Dzul Iskandar - Beigelhaus terletak di Robinson Road dan dibuka sejak 18 April lalu.
Bahkan mereka sudah menyumbang kepada Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) sejak hari pertama Beigelhaus dibuka.
"Bagi setiap bagel 'Signature Fills' yang dibeli, S$0.50 akan disalurkan kepada SAVH.
"Kami menyasarkan 400 bagel sehari bagi menyokong kempen jangka panjang dan berterusan ini," jelas Cik Diyana.
"Kami bekerja keras untuk mewujudkan kesedaran di kawasan Daerah Pusat Bandar (CBD). Secara perlahan-lahan, kami mula menerima maklum balas positif dan lebih ramai pelanggan kembali untuk membeli bagel kami," kongsi Cik Diyana.
MAHU TERUS BANTU, SUMBANG KEPADA MASYARAKAT
Cik Diyana menambah sebagai usahawan makanan, mereka juga perlu memiliki minat mendalam untuk gemarkan apa yang mereka lakukan dan juga berkongsi apa yang mereka gemarkan dengan masyarakat.
"Keindahan perniagaan makanan adalah pendedahan yang anda terima itu tidak akan berakhir. Anda berpeluang berjumpa pelbagai jenis pelanggan dan berkongsi makanan yang enak dengan orang ramai.

LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.