Skip to main content

Singapura

Kafe The Fabulous Baker Boy milik Cef Juwanda Hashim di lereng Fort Canning terpaksa gulung tikar angkara COVID-19

Kafe The Fabulous Baker Boy, yang diasaskan oleh Cef Juwanda Hashim, mengumumkan ia bakal menghentikan operasinya apabila tempoh pajaknya tamat pada 7 Julai ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kafe The Fabulous Baker Boy milik Cef Juwanda Hashim di lereng Fort Canning terpaksa gulung tikar angkara COVID-19

Cef Juwanda Hashim (dua dari kanan) bersama barisan kakitangannya di kafe The Fabulous Baker Boy. (Gambar: The Fabulous Baker Boy)

SINGAPURA: Kafe The Fabulous Baker Boy, yang diasaskan oleh Cef Juwanda Hashim, mengumumkan ia bakal menghentikan operasinya apabila tempoh pajaknya tamat pada 7 Julai ini.

Pengumuman tersebut dibuat pada 27 Mei lalu di akaun Facebook serta laman webnya. Sedari itu, ia dipetik oleh beberapa cawangan media tempatan.

"Apabila COVID-19 menular, saya bimbang tentang bagaimana untuk memenuhi keperluan... Kakitangan saya menjadi keutamaan nombor satu saya dan apabila taman-taman ditutup, saya terpaksa membuka mulut," tulis Cef Juwanda dalam catatan Facebook kafe itu.

"Ia (keputusan) sukar tetapi saya perlu bersikap jujur dengan mereka dan hanya boleh menyimpan mereka sehingga 7 Julai 2020 sebelum kami memasuki fasa pengembalian semula kerana pajakan kami berakhir pada bulan Julai. Saya ada rancangan dan ini membuatkan saya sedih," luahnya lagi.

Menurut blog makanan Daniel Food Diary, kafe Fabulous Baker Boy pada awalnya melakukan penghantaran semasa tempoh awal pemutus rantaian jangkitan COVID-19. Ia bagaimanapun terpaksa ditutup kerana kedai kek kendiri sepertinya tidak boleh beroperasi mulai 21 April ekoran pelanjutan pada tempoh 'circuit breaker'.

Di laman webnya, kafe tersebut menyatakan ia akan terus ditutup sehingga makluman selanjutnya oleh pihak berkuasa.

"Kami sudah mencuba sedaya upaya untuk menawarkan khidmat kepada anda semasa masa sukar ini tetapi tempoh pajak kami akan berakhir pada Julai 2020 dan masa depan kami tidak menentu," jelasnya.

"Lantaran itu, kami tidak akan membuka semula kedai, mengambil sebarang pesanan-pesanan online, untuk dibungkus atau buat penghantaran."

Blog tersebut turut mendedahkan bahawa Cef Juwanda sedang mencari tempat alternatif untuk memindahkan perniagaannya tetapi dengan keadaan tidak menentu sekarang, pembukaan semula mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Kafe yang terletak di lereng Fort Canning yang dikenali sebagai The Foothills, terkenal dengan pilihan kek beraneka rasa dan rupa dengan menggunakan bahan-bahan halal bermutu daripada seluruh dunia.

Namun, dengan krisis COVID-19 tidak menunjukkan tanda-tanda mereda dalam masa singkat, air tangan Cef Juwanda dan pasukannya pasti akan dirindui ramai setelah kafe popular itu terpaksa gulung tikar.

"Buat masa ini, kami mengucapkan terima kasih dari lubuk hati kami kepada anda semua kerana menjadi sebahagian daripada kehidupan kami." 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita