Skip to main content

Singapura

'Kaedah sistematik' diperlukan untuk teliti maklum balas dan laporan mengenai pekerjaan platform secara haram

Walaupun laporan mengenai kerja-kerja platform dilakukan secara haram pernah dibuat sebelum ini, satu kaedah sistematik dan lebih rasmi diperlukan untuk mengumpul dan menangani maklum balas sedemikian, kata pengerusi bersama kumpulan perikatan tiga pihak yang meneliti isu-isu berkaitan pekerja platform pada Khamis (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
'Kaedah sistematik' diperlukan untuk teliti maklum balas dan laporan mengenai pekerjaan platform secara haram

Seorang penghantar makanan di Singapura. (Gambar fail: CNA/Calvin Oh)

SINGAPURA: Walaupun laporan mengenai kerja-kerja platform dilakukan secara haram pernah dibuat sebelum ini, satu kaedah sistematik dan lebih rasmi diperlukan untuk mengumpul dan menangani maklum balas sedemikian, kata pengerusi bersama kumpulan perikatan tiga pihak yang meneliti isu-isu berkaitan pekerja platform pada Khamis (11 Sep).

"Sebelum ini, laporan-laporan sedemikian sama ada dibuat oleh pekerja secara rawak atau oleh orang awam.

"Kami tidak mempunyai cara sistematik untuk melakukannya," kata Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Manusia merangkap Kesihatan, Koh Poh Koon.

"Sebelum Akta Pekerja Platform diperkenalkan, sebenarnya tiada sebarang bentuk pendampingan rasmi antara pekerja platform dengan pengendali platform itu sendiri," katanya.

“Mereka juga tidak berada pada kedudukan yang setara untuk mengadakan sebarang rundingan. Memang ada persatuan yang wujud, tetapi mereka tidak diberi hak undang-undang untuk benar-benar mewakili para pekerja yang boleh menyertai mereka sebagai ahli.”

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Ng Chee Meng berkata kes-kes perseorangan kerja platform secara haram kadangkala “terlepas daripada pandangan”.

“Apabila terdapat kesedaran kolektif (dan) pemahaman tentang isu-isu ini serta kemungkinan kolektif untuk bertindak secara adil, kita boleh bekerjasama dengan majikan – dalam kes ini para pengendali platform – untuk benar-benar mencari kemungkinan yang memanfaatkan kedua-dua pihak, supaya perniagaan boleh berkembang di Singapura dan para pekerja mempunyai cara yang adil untuk meraih pendapatan.

"Dalam hal ini, isu-isu itu tertunggak selepas sekian lama. Dan apabila ia dibangkitkan, kami mengambil tindakan segera," katanya kepada wartawan.

Ketua buruh itu juga menggesa pekerja platform menyertai persatuan kerja platform supaya kumpulan tersebut boleh mewakili kepentingan para pekerja secara kolektif.

Mereka berkata demikian dalam jawapan kepada soalan Mediacorp semasa sidang media oleh sebuah kumpulan perikatan tiga pihak tentang mengapa langkah-langkah bersepadu bagi menangani kerja platform secara haram tidak dilaksanakan lebih awal, memandangkan isu-isu itu bukan baharu lagi.

Pada 2023, Mediacorp pertama kali melaporkan mengenai akaun-akaun pekerja penghantaran yang dijual menerusi online, berkemungkinan membolehkan warga asing bekerja secara haram.

Kumpulan sembang yang menawarkan khidmat tumpang kereta tanpa lesen atau 'carpool' juga sudah mula aktif sejak sekurang-kurangnya 2019.

Komen-komen itu dibuat selepas kumpulan perikatan tiga pihak itu menerbitkan 10 saranan untuk melindungi pekerja platform tempatan dengan lebih baik.

Ini termasuk langkah-langkah pengesanan, pencegahan dan pengkuatkuasaan lebih ketat terhadap kerja platform secara haram.

Antara saranannya, semua pengendali platform utama akan mengenakan larangan selama sekurang-kurangnya dua tahun terhadap sebarang pekerja platform yang membenarkan warga asing menggunakan akaunnya secara haram.

Pemerintah juga akan menggesa bagi hukuman lebih berat dikenakan bagi perjalanan dari satu ke satu tempat secara haram dan menurunkan aplikasi, saluran dan iklan yang memudahkan padanan perjalanan secara haram.

Dr Koh berkata saranan oleh kumpulan perikatan tiga pihak itu adalah sambungan kepada usaha menjelang Akta Pekerja Platform yang diluluskan pada September 2024 dan berkuat kuasa pada Januari lalu.

Sejak Akta itu diluluskan, Persatuan Pejuang Pekerja Penghantaran Kebangsaan (NDCA) yang berkaitan dengan NTUC, Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional sudah diberikan kuasa undang-undang untuk mewakili para pekerja platform secara kolektif.

Persatuan-persatuan tersebut diiktiraf oleh sekurang-kurangnya enam pengendali platform: Grab, ComfortDelGro Zig, Lalamove, GoGoX, Tada dan Smile Ride oleh Trans-Cab.

"Sebahagian isu yang kita cuba tangani sebenarnya, sudah pun ditangani di sebalik tabir," kata Dr Koh, sambil merujuk kepada 50 kes berpotensi melibatkan aktiviti platform haram bagi setiap tahun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menjalankan siasatan iaitu antara Januari 2023 dengan pertengahan tahun 2025.

Kumpulan perikatan tiga pihak itu menggabungkan "persatuan pekerja platform yang rasmi dan komitmen oleh pengendali platform untuk meneliti isu itu dengan cara yang lebih sistematik", katanya.

Dr Koh menarik perhatian kepada komitmen pengendali platform untuk memaklumkan MOM apabila mereka mengesan atau mengesyaki sesebuah akaun digunakan secara haram, supaya pihak kementerian boleh mengambil "tindakan bersepadu" untuk menjalankan siasatan lanjut.

Para pengendali platform juga bersetuju untuk mengharamkan para pesalah dari platform-paltform lain daripada membuka akaun baharu pada platform mereka, justeru tidak membenarkan kelemahan terbentuk, katanya.

"Selain itu, kami kini dapat bekerjasama lebih rapat, secara operasi dengan NDCA, supaya kini terdapat mekanisme rasmi untuk mengumpul maklum balas dari para pekerja, mewujudkan saluran rasmi untuk maklum balas dari orang awam atau pekerja sendiri yang akan disalurkan secara langsung kepada MOM atau LTA.

"Dan dengan itu, kami boleh merancang tindakan penguatkuasaan lebih bersasar apabila perlu," katanya.

PERBINCANGAN TENTANG KHIDMAT RENTAS SEMPADAN, PENDAPATAN ADIL

Saranan oleh kumpulan perikatan tiga pihak itu diumumkan di satu sidang media oleh Dr Koh, Encik Ng, Menteri Negara Kanan Pengangkutan Sun Xueling dan Pengarah Urusan Kumpulan (Operasi) Grab, Yee Wee Tang.

Selain saranan-saranan kumpulan tersebut, Cik Sun berkata pemerintah juga sedang menimbangkan untuk mengharamkan mereka yang disyaki menyediakan perkhidmatan dari satu tempat ke satu tempat, daripada memasuki Singapura.

Di tengah-tengah pendirian lebih tegas itu, beliau akur wujudnya "permintaan terpendam" bagi perkhidmatan rentas sempadan yang sah dan berkata pemerintah sedang menyemak penambahbaikan terhadap skim teksi rentas sempadan sedia ada.

Singapura mempunyai beberapa konsensus dengan rakan sejawatannya dari Malaysia mengenai keinginan penumpang untuk mempunyai lebih banyak tempat mengambil dan menurunkan penumpang, dan antara muka aplikasi yang lebih mesra pengguna demi memudahkan penggunaannya, katanya.

Namun jika lebih banyak kenderaan menyertai skim teksi rentas sempadan, apabila mereka berada di Singapura, "kita perlu benar-benar pasti bahawa mereka hanya menyediakan khidmat teksi rentas sempadan yang sah dan tidak terlibat dalam sebarang khidmat penghantaran (dari satu tempat ke satu tempat) yang haram", katanya.

Cik Sun berkata keutamaan utama pemerintah dalam perbincangannya dengan Malaysia adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih baik di samping melindungi kepentingan pemandu teksi Singapura dan pemandu khidmat kereta sewa privet.

"Ini sebab mengapa perbincangan itu juga melibatkan pemasangan OBU, atau ERP 2.0 untuk memastikan perjalanannya benar-benar sah."

Satu lagi saranan adalah supaya pengendali platform dan persatuan pekerja platform membangunkan prinsip industri yang meluas berhubung skim pembayaran dan insentif.

Apabila ditanya mengenai hasil konkrit yang boleh dicapai, Dr Koh berkata struktur pembayaran dan skim insentif berbeza dari satu platform ke satu platform.

"Ini salah satu ciri-ciri ruang platform, supaya setiap pekerja boleh memilih untuk beralih daripada satu platform ke satu platform untuk mencari platform yang paling sesuai dengan keperluan mereka," katanya.

"Dan kerana ia sebenarnya dinamik dan ia sebenarnya berbeza antara setiap platform, kita perlu membenarkan sedikit fleksibiliti dalam pendampingan ini."

"Kami percaya itulah sebab mengapa ia lebih baik dijalankan secara dua hala antara persatuan pekerja yang mewakili kepentingan pekerja dengan pengendali tertentu," katanya, sambil merujuk kepada perbincangan mengenai gaji dan skim-skim insentif.

"Jika perlu, MOM sebagai pihak ketiga yang neutral akan memberi campur tangan dan memudahkan perbincangan itu, supaya pada satu masa diharapkan ia dapat mencapai sesuatu yang mewujudkan keseimbangan antara apa yang diperlukan oleh pengendali dan apa yang diinginkan oleh para pekerja."

Dalam sidang media itu, Encik Yee dari Grab menghuraikan bagaimana pengendali platform akan melaksanakan prinsip utama yang dibangunkan bersama persatuan pekerja platform untuk menjadikan kerja platform lebih adil dan selamat.

Beliau berkata Grab sedang meneliti cara untuk menjelaskan pendapatan pekerja platform dengan lebih baik melalui aplikasinya.

Grab juga akan berhubung secara proaktif dengan persatuan pekerja platform mengenai perubahan besar dalam skim insentifnya.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita