Kaedah saringan autisme bantu pengesanan awal dalam kanak-kanak, diperkenal di 7 poliklinik SG
SINGAPURA: Sebuah kaedah saringan bagi autisme dirintis di tujuh poliklinik bagi membolehkan pengesanan awal.
Kaedah itu terbukti hampir 90 peratus tepat dan membolehkan intervensi awal bagi meningkatkan lagi keberkesanan terapi dan mencatatkan kemajuan dalam kalangan kanak-kanak yang didiagnos.
Buat masa ini, sekitar satu peratus kanak-kanak di Singapura didapati mempunyai spektrum autisme.
Antaranya ialah anak Cik Suhaila Nor Osman, 34 tahun yang didiagnos empat tahun lalu.
Anaknya, Qaiser Fikri didapati mengalami beberapa masalah sewaktu pemeriksaan rutin perkembangan kanak-kanak di poliklinik. Dia kemudian didiagnos pada usianya satu tahun setengah.
NAMPAK KEMAJUAN DALAM ANAK, KINI SETARA DENGAN KEMAJUAN RAKAN SEBAYA
Dengan pengesanan awal, doktor dapat melakukan intervensi awal dan mengesyorkan Qaiser Fikri untuk jalani sesi terapi di Unit Pembangunan Kanak-Kanak (CDU) NUH.
Selain itu, dia juga didaftar dalam program-program intervensi nasional seperti Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-kanak (EIPIC) dan Sokongan Pembangunan (DS) Plus.
Di sini, Qaiser Fikri dapat perbaiki kemahiran berkomunikasi.
Setelah empat tahun kini, Cik Suhaila bersyukur melihat kemajuan dalam diri anaknya.
"Dahulu bila mereka memberitahu saya dia ada autisme, saya asyik berfikir bahawa autisme ini (keadaan) yang sangat ketara. Jadi saya rasa khuatir dan tidak pasti akan masa depan. Jadi selepas terapi ini, mereka banyak menolong anak saya," kongsi Cik Suhaila.
"Saya boleh lihat banyak kemajuan. Saya boleh lihat dia sudah boleh berbual dah berkomunikasi dengan lebih baik bersama kawan-kawan sebaya dengannya, orang dewasa dan guru-guru semua. Jadi sekarang, dia pun boleh mengawal emosinya sebab sebelum ini dia pun tidak tahu macam mana untuk meluahkan perasaannya dengan baik, kongsi Cik Suhaila kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
NASIHAT IBU BAPA SUPAYA LAKUKAN PEMERIKSAAN AWAL
Itu antara manfaat besar yang diraih apabila pengesanan dan intervensi awal dapat dilakukan.
Menurut para doktor dan guru anak Cik Suhaila, pembangunan dan kelakuan anaknya kini sudah setara dengan rakan-rakan sebayanya.
"Saya nasihatkan (ibu bapa) jangan tunggu terlalu lama sebab kalau tunggu lama nanti kita terlepas jangka waktu yang sewajarnya sebab kita pun sebagai ibu bapa ingin yang terbaik untuk anak kita. Jadi kita anggaplah terapi dan berjumpa dengan doktor ini seperti sesuatu yang menolong mereka untuk masa hadapan," ujar Cik Suhaila.
KAEDAH SARINGAN AUTISME BAHARU DIPERKENAL DALAM KAJIAN RINTIS
Malah, bagi memudahkan lagi pengesanan awal itu, sebuah pasukan pakar yang diketuai Hospital Universiti Nasional merintis satu kaedah saringan autisme iaitu Senarai Soalan M-Chat-R/F.
Dalam peringkat permulaannya, ia sudah diperkenalkan kepada lebih 5,000 kanak-kanak.
Para ibu bapa atau penjaga hanya perlu menjawab senarai soalan itu semasa pemeriksaan rutin perkembangan 18 bulan bagi anak mereka.
Sebelum itu, para pakar perubatan akan mengenal pasti 'red flags' atau tanda-tanda menerusi pemeriksaan-pemeriksaan rutin mereka.
Namun, ini mungkin memerlukan lebih banyak pusingan pemeriksaan.
Dengan kaedah baharu itu, masa saringan dapat dikurangkan dengan senarai soalan yang mudah dan cepat diisi - sekitar lima hingga 10 minit sahaja untuk dilengkapkan.
Antara soalan yang ditujukan termasuk sama ada seorang kanak-kanak itu menyahut apabila namanya dipanggil.
Untuk mereka yang dikesan ada tanda-tanda itu, mereka akan dirujuk ke CDU NUH untuk penilaian lebih lanjut dan terapi.
"Berdasarkan data sejarah, usia purata untuk diagnosis dan permulaan terapi adalah antara tiga hingga 3.5 tahun dan ini tidak seperti yang kita idamkan," menurut Konsultan Unit CDU, Khoo Teck Puat-Institut Perubatan Kanak-Kanak Universiti Nasional (KTP-NUCMI), Dr Aishworiya Ramkumar.
"Dengan menggunakan borang soal selidik dan mendapatkan kanak-kanak berisiko datang kepada kami lebih awal lagi, kami boleh dapatkan mereka memulakan rawatan pada usia di bawah dua tahun, berbanding yang biasanya dilakukan iaitu tiga hingga tiga setengah tahun," tambahnya.
LEBIH MUDA DAPATKAN TERAPI UNTUK AUTISME, KEMAJUAN LEBIH BAIK
"Ia merupakan kaedah yang disahkan dengan sistem penskoran yang sangat jelas bagi membimbing karyawan kesihatan berhubung apa langkah terbaik seterusnya," kongsi Penasihat Kanan, Pakar Perubatan Keluarga di Poliklinik Universiti Nasional (NUP), Dr Ruth Zheng.
"Lebih muda anda semasa mendapatkan sebarang terapi, lebih baik peluang untuk terapi itu akan berkesan. Jadi kami sangat menggalakkan supaya rawatan bermula dari usia muda, lebih muda lebih baik," tambah Dr Ramkumar juga.
Kaedah saringan tersebut sudah diperkenalkan di tujuh poliklinik di bawah NUP sebagai sebahagian daripada saringan rutin untuk kanak-kanak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.