Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kaedah baru mengundi bakal dirintis bagi penghuni rumah jagaan & rakyat S'pura di luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
Kaedah baru mengundi bakal dirintis bagi penghuni rumah jagaan & rakyat S'pura di luar negara

Gambar: Hanidah Amin

Diterbitkan : 26 Jul 2022 07:56PM Dikemas Kini : 26 Jul 2022 08:07PM
SINGAPURA: Rakyat Singapura di luar negara ataupun yang menginap di rumah-rumah jagaan, boleh memanfaatkan kaedah-kaedah baru untuk mengundi.

Ini termasuklah undian menerusi pos dan mengundi menerusi kotak undi mudah alih bagi para penghuni yang perlu mengundi dari katil.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) merancang untuk merintis kaedah-kaedah itu semasa Pilihan Raya Presiden yang perlu dijalankan menjelang September tahun depan.

Sekitar 13,000 rakyat Singapura kini tinggal di lebih 80 rumah jagaan di merata negara.

Bagi memastikan ketelusan dan kerahsiaan undi, para calon atau ejen-ejen pilihan raya akan dibenarkan untuk memerhatikan proses mengundi di rumah-rumah jagaan.

Sebuah kotak undi mudah alih akan disediakan bagi pengundian yang dilakukan dari katil ke katil oleh pasukan pengundian bergerak.

Ia membolehkan para pengundi untuk menandakan kertas undi mereka secara tertutup.

ELD juga akan menyediakan garis panduan jelas mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kakitangan rumah jagaan semasa proses pengundian.

Antaranya, mereka tidak dibenar menandakan kertas undi bagi pihak pengundi atau melakukan apa-apa perbuatan yang akan mempengaruhi pengundi.

Seorang pegawai pilihan raya boleh membantu pengundi untuk menandakan kertas undi mereka, jika mereka tidak berupaya secara fizikal untuk melakukan demikian.

Buat masa ini, sekitar 200,000 rakyat Singapura menetap di luar negara.

Bagaimanapun tidak semuanya dalam usia layak mengundi.

Para pengundi yang layak perlu menggunakan Singpass untuk log masuk ke laman khidmat pengundi online ELD bagi memuat turun sampul surat dan kertas undi.

Setiap sampul surat akan mengandungi kod QR unik agar hanya surat dengan kod yang sah akan diterima.

Ia juga memastikan agar hanya satu kertas undi daripada setiap pengundi di luar negara akan dikira.

Di samping itu, ELD akan menggunakan teknologi untuk mengesahkan tandatangan dakwat basah si pengundi pada sampul surat dengan sampel tanda tangan yang diberikan semasa pendaftaran.

Para pengundi akan menerima kemas kini mengenai sama ada sampul surat mereka diterima oleh ELD, selepas undian yang dibuat dari luar negara dikira.

Menurut ELD, pihaknya akan menyediakan sampul surat berbayar bagi para pengundi di luar negara.

Mereka boleh mula memuat turun sampul surat dan kertas undi sehari selepas Hari Penamaan Calon.

Kertas undi yang sudah dipangkah mesti dihantar menerusi pos sebelum Hari Mengundi di Singapura.

Ia harus diterima oleh ELD tidak lewat daripada sepuluh hari selepas Hari Mengundi bagi memastikan kertas undi dapat dikira tepat pada masanya.
Sumber : CNA/AI/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan