Skip to main content

Singapura

Kaedah baru kiraan kuota COE - Bagaimana ia jejas anda yang mahu beli kereta baru

Harga rekod COE bagi Kategori Terbuka dan harga yang sering turun naik menjadi punca keprihatinan dalam kalangan pembeli kereta baru.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada Jumaat (22 Jul) kaedah kiraan kuota yang disemak semula bagi bidaan Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) bertujuan mengurangkan turun naik dari segi peruntukan bekalan.

Bermula Ogos, peruntukan bekalan akan berdasarkan purata kereta yang ditarik balik dalam enam bulan sebelum ini berbanding mengambil pendaftaran yang ditarik balik daripada tiga bulan sahaja, sebelum ini.

Di bawah kaedah baru kiraan, bekalan kuota COE bagi tempoh tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober akan berkurangan sebanyak 11.5 peratus kepada 10,581 berbanding 11,951 COE bagi tempoh Mei hingga Julai.

Dengan kenaikan premium COE sejak beberapa bulan lalu, dan harga Kategori Terbuka mencecah harga rekod sebanyak S$114,001 dalam bidaan terakhir, ramai yang meluahkan keprihatinan bahawa sistem kuota baru akan menyebabkan harga naik lebih lagi.

BAGAIMANA KAEDAH KIRAAN BARU JEJAS HARGA?

Di bawah peraturan baru, COE yang disediakan akan berdasarkan purata kenderaan yang ditarik balik dalam enam bulan sebelum ini (dua suku)berbanding mengambil pendaftaran yang ditarik balik daripada tiga bulan sahaja, sebelum ini, jelas Dr Bryan Tan, ketua saintis di ruang pasaran kereta online Carro.

Justeru, peraturan baru tersebut adalah bagi mengurangkan keadaaan tidak menentu dan "turun naik" harga COE, kata Dr Tan.

"Dalam jangka masa pendek, harga COE akan menjadi lebih rendah di bawah sistem baru berbanding sistem sebelum ini. Di bawah kaedah yang disesuaikan, kuota COE dari Ogos hingga Oktober ditetapkan sebanyak 10,581 berbanding 9,394 bagi sistem sedia ada.

Harga COE dijangka akan tetap naik bagi tempoh Mei hingga Julai dengan kuota COE sebanyak 11,951, yang juga menyebabkan premium COE melambung kepada S$114,001 bagi Kategori E baru-baru ini, jelas Dr Tan.

"Kenaikan kuota COE di bawah peraturan baru akan menjadi sederhana. Pendek kata, harga akan tetap naik tetapi pada tahap lebih rendah berbanding peraturan sedia ada."

Dalam jangka panjang, Dr Tan menarik perhatian peraturan baru itu bermakna harga tertinggi COE tidak akan menjadi lebih tinggi daripada kaedah kiraan sedia ada.

Begitu juga, harga COE tidak akan menjadi serendah sekarang ini.

Secara keseluruhan, ini mengurangkan turun naik harga COE, kata beliau.

SEBAB KAEDAH KIRAAN DITUKAR

Prof Madya Terence Fan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata kaedah kiraan baru mungkin diperkenalkan berikutan keprihatinan berhubung keadaan tidak menentu dalam bekalan COE dan reaksi mendadak dari pembida - dan mereka mungkin bukan pemandu sama yang akhirnya akan memiliki kereta itu.

"(Pengenalan kaedah baru itu) adalah contoh penyesuaian operasi lebih kecil yang mungkin membantu menyelaraskan harga COE dengan jumlah permintaan. Jika misalnya, selepas beberapa pusingan bidaan COE, harga COE menjadi sederhana, maka tidak begitu perlu untuk melakukan semakan semula lebih serius ke atas sistem dan dasar sedia ada," jelasnya.

"Langkah itu menunjukkan Penguasa Pengangkutan Darat amat maklum tentang apa yang berlaku kepada harga COE, dan berusaha memastikan ia mencerminkan permintaan."

Dengan kenaikan harga pada khidmat kereta sewa dan penghantaran makanan, Dr Tan menambah COE "semakin menjadi faktor pengeluaran" di mana kenaikan harga COE juga akan menyebabkan tekanan inflasi.

Lantaran itu, kaedah kiraan baru tersebut juga satu cara bagi mengurangkan inflasi.

Sekurang-kurangnya dua syarikat besar kereta sewa, Tribecar dan Lion City Rentals, sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak membuat bidaan agresif bagi mendapatkan COE untuk menambah jumlah kenderaan sejak beberapa bulan lalu, sekali gus menolak cadangan mereka punca harga COE mencecah paras rekod.

SAYA MAHU BELI KERETA BARU. BAGAIMANA IA MENJEJAS SAYA?

Mengambil kira pendapatan bulanan median penduduk Singapura sebanyak S$4,680 pada 2021, Dr Tan dari Carro menarik perhatian bahawa membeli kereta baru boleh "menjejas keadaan kewangan mereka dengan teruk".

Beliau mengesyorkan membeli kereta terpakai.

Bagaimanapun, apabila harga kereta baru meningkat, kos kereta terpakai juga akan turut naik, kata Encik Arthur Wong, pengarah urusan ACM Automibiles.

Pun begitu, kadar kenaikan bagi kereta terpakai lebih rendah berbanding kereta baru, yang akan menjejas keputusan orang ramai untuk membeli kereta, katanya.

Ini, jelas Encik Wong, akan menjejas jumlah kereta terpakai dalam pasaran, kerana pemandu akan "mahu menyimpan kereta mereka lebih lama".

Bagi mereka yang mahu menjual mereka mereka pula, Encik Wong mencadangkan ini masa yang baik untuk menjualnya.

“Bagaimanapun bagi mereka yang ingin menukar kereta, mungkin ada sedikit dilema. Kerana anda menjual tinggi, anda membeli lebih tinggi."

Sebaliknya, Prof Madya Fan menasihatkan mereka yang ingin membeli kereta supaya "mempetimbangkan dahulu menggunakan sistem pengangkutan awam kami yang bertaraf dunia".

"Para penumpang kini boleh menaiki kerusi roda atau membawa kereta sorong ke dalam bas dan kereta api. Mereka yang menunggang basikal juga boleh membawa basikal lipat mereka bersama," kata beliau.

Jika perlu untuk melakukan banyak perjalanan pada kebanyakan hari selepas alternatif-alternatif itu dicadangkan, hanya selepas itu Prof Madya Fan menyarankan seseorang itu mempertimbangkan untuk membeli kereta.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita