Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kaedah alternatif agih COE, kenaikan pantas harga antara keprihatinan para AP

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cadangan-cadangan berkaitan kaedah alternatif untuk mengagihkan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan kenaikan pantas harga COE adalah antara keprihatinan yang dikemukakan para Anggota Parlimen (AP) pada Isnin (8 Mei). 

Menyusuli kenyataan kementerian mengenai bekalan COE yang dibentangkan oleh Menteri Pengangkutan S Iswaran, beberapa AP menawarkan keadah alternatif untuk mengagihkan sijil tersebut. 

Dalam ucapannya, Encik Iswaran berkata premium COE dijangka naik dengan adanya dasar sifar pertumbuhan jumlah kereta dan sedang pendapatan seisi rumah semakin meningkat. 

"Secara asasnya, harga COE mencerminkan permintaan bagi bekalan COE yang terhad dan semakin merosot," kata Encik Iswaran dalam satu kenyataan untuk menjawab lebih 20 soalan parlimen yang difailkan mengenai topik tersebut. 

Permintaan bagi kenderaan kekal "kukuh", khususnya sedang ekonomi pulih selepas COVID-19. Pendapatan juga meningkat dalam jangka panjang dan nisbah harga COE dengan median pendapatan bulanan isi rumah sudah merosot, jelas menteri itu. 

"Sedang pendapatan isi rumah terus meningkat pada tahun-tahun akan datang, seiring dengan dasar sifar pertumbuhan bagi jumlah kereta di Singapura, kami harus menjangkakan harga COE meningkat dalam jangka panjang," kata Encik Iswaran lagi.

KAEDAH ALTERNATIF UNTUK AGIHKAN COE

Dalam penjelasan menyusuli ucapan Encik Iswaran, Encik Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) menyarankan "cara peruntukan" menerusi undian, serupa dengan proses penjualan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), boleh dirintis. 

Cik Hazel Poa (PSP-NCMP) bertanya sama ada Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mempertimbangkan untuk menetapkan kuota kenderaan berdasarkan faktor lain selain harga. 

"Misalnya, mungkin sistem berdasarkan mata, di mana selain daripada harga bidaan, kami juga mengambil kira faktor-faktor lain seperti kerakyatan dan faktor-faktor berdasarkan keperluan seperti keluarga dengan anak-anak kecil atau individu berkeperluan khas," tambah Cik Poa. 

Serupa dengan pelaksanaan Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD) kepada individu-individu yang membeli beberapa hartanah kediaman, Cik Poa turut mencadangkan kementerian itu untuk mempertimbangkan tambahan cukai kepada golongan yang membeli beberapa kenderaan. 

Menjawab saranan tentang kaedah-kaedah lain untuk memperuntukkan kuota, Encik Iswaran berkata, Pemerintah kemudian harus memutuskan cara untuk memperuntukkan sistem mata yang disarankan Cik Poa dan apa yang akan dipertimbangkan dalam peruntukan COE terakhir. 

Sistem undian tidak menyelesaikan semua masalah dan mungkin memburukkan lagi masalah sekiranya keprihatinan adalah berkaitan harga dan ketidaksamarataan dalam pasaran, tekan Encik Iswaran. 

Ketua pembangkang Pritam Singh (WP-Aljunied) dan Cik Mariam Jaafar (PAP-Sembawang) bertanya sama ada Pemerintah sedang mengkaji sekatan terhadap pinjaman wang untuk membeli kereta untuk memastikan jurang-jurang yang ada boleh diperketatkan lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan