Skip to main content

Singapura

Kadar yuran rawatan akan didedahkan kepada pesakit untuk pilih rawatan

Tidak lama lagi para pesakit dapat mengetahui pelbagai kadar yuran yang dikenakan bagi sesuatu jenis rawatan, demi membantu mereka memilih tempat untuk menjalaninya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Nov 2017 08:17PM Dikemas Kini : 30 Nov 2017 10:16PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi para pesakit dapat mengetahui pelbagai kadar yuran yang dikenakan bagi sesuatu jenis rawatan, demi membantu mereka memilih tempat untuk menjalaninya.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan melantik sebuah jawatankuasa bagi menyarankan penanda aras yuran prosedur perubatan itu menjelang awal tahun depan.

Langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan MOH untuk mengadakan sistem penjagaan kesihatan yang mampan dalam jangka panjang sedang negara ini berusaha mengimbangi cabaran kekurangan tenaga kerja dan kenaikan kos dalam sektor itu.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata pendekatan baru itu juga menyediakan rujukan kepada pihak penyedia khidmat jagaan kesihatan dalam menetapkan bayaran rawatan yang patut dikenakan.

Penanda aras itu juga akan membolehkan pesakit membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai jenis perkhidmatan yang diingini.

Daripada menetapkan had pada harga yang boleh dikenakan seseorang doktor, Encik Gan berkata langkah mengadakan penanda aras yuran rawatan itu akan mengambil kira pelbagai aspek seperti kerumitan sesuatu kes dan kepakaran doktor.

Penanda aras yuran perubatan itu akan dilancarkan secara bertahap-tahap mulai tahun depan.

PENANDA ARAS BUKAN UNTUK BERSAING

Encik Gan juga berkata langkah itu tidak bersifat anti persaingan kerana penanda arasnya akan ditetapkan oleh sebuah jawatankuasa yang melibatkan institusi-institusi jagaan kesihatan awam dan swasta serta pegawai pemerintah.

Maklumat daripada pelbagai pihak berkepentingan bermakna penanda aras yuran itu kelak akan mencerminkan keadaan yang sebenarnya.

Ia kemudian terpulang kepada pihak jawatankuasa untuk menentukan kadar yang munasabah.

Walaupun selepas penanda aras yuran itu dilaksanakan, doktor-doktor masih boleh mengenakan bayaran lebih tinggi daripada yang disarankan.

Namun sekiranya seseorang doktor itu menghadapi tindakan disiplin, penanda aras itu akan digunakan sebagai rujukan oleh Majlis Perubatan Singapura.

Satu lagi kumpulan yang akan menggunakan rujukan terhadap penanda aras itu adalah syarikat-syarikat insurans.

Encik Gan menekankan setiap orang mempunyai peranan untuk membantu memastikan kos jagaan kesihatan, rendah.

"Jika anda sihat, anda kurang perlu menggunakan khidmat penjagaan kesihatan dan anda tidak perlu banyak menghabiskan wang bagi tujuan itu," kata beliau.

Dalam hal itu rakyat tempatan boleh memanfaatkan pelbagai inisiatif pemerintah untuk membuat pilihan makanan lebih sihat dan kekal aktif. 

Sumber : CNA/NU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita