Kadar tambang tahan teksi ComfortDelGro naik S$0.50; surcaj baharu waktu sibuk hujung minggu mulai 13 Dis
SINGAPURA: Syarikat pengendali teksi ComfortDelGro menyatakan pada Rabu (6 Dis) ia akan menaikkan tambang menahan teksi dan surcaj lain bagi membantu para pemandu teksi membiayai kos operasi yang melambung tinggi disebabkan oleh harga minyak yang meningkat, kadar inflasi yang tinggi dan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan datang.
Kesemua teksi ComfortDelGro, kecuali teksi limousin akan menyaksikan kenaikan tambang tahan teksi sebanyak S$0.50.
Ini di samping kenaikan S$0.01 bagi tambang jarak dan masa menunggu kepada S$0.26.
"Dengan penyesuaian tambang itu, tambang bagi perjalanan sejauh 10 kilometer pada waktu kurang sibuk dianggarkan naik sebanyak 6.8 peratus atau S$0.94, iaitu daripada S$13.80 kepada S$14.74," nyata syarikat pengendali teksi terbesar di Singapura itu.
Tambang menahan teksi bagi teksi-teksi limousin akan kekal tidak berubah.
Namun, tambang jarak dan masa menunggu akan naik daripada S$0.35 kepada S$0.36.
Tambang baharu itu akan berkuat kuasa mulai 13 Dis pada pukul 6.00 pagi.
Sementara itu, ComfortDelGro turut menyatakan ia akan melanjutkan tempoh surcaj semasa waktu sibuk pada lewat petang bagi kesemua teksi selama sejam untuk merangkumi tempoh antara pukul 5.00 petang hingga 11.59 malam.
Ia akan berkuat kuasa pada hari Isnin sehingga Ahad, termasuk cuti umum.
Surcaj bagi waktu sibuk akan dikuatkuasakan dari 10.00 pagi hingga 1.59 petang pada setiap Sabtu, Ahad dan semasa cuti umum.
ComfortDelGro sebelum ini menaikkan tambang menahan teksinya pada Mac tahun lalu, sekali gus merupakan penyesuaian tambang yang pertama dalam tempoh 10 tahun.
Awal tahun ini, syarikat tersebut turut memperkenalkan tambang baharu bagi platform tersebut bagi perjalanan yang ditempah menerusi aplikasi CDG Zig, sambil memastikan ia sejajar dengan bayaran yang dikenakan oleh platform pengendali sewa kereta yang lain di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.