Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar sewa lebih rendah bagi peniaga HBB di Bazar Raya Geylang Serai; 80% gerai sudah disewa

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sekitar 80 peratus daripada gerai khas buat syarikat-syarikat pemula atau peniaga kecil-kecilan di Bazar Raya Geylang Serai tahun ini sudah disewakan.

Sekitar 60 gerai di ruang itu disewakan pada harga lebih rendah iaitu serendah S$55 sehari.

Ini bermakna bahawa para peniaga hanya perlu membayar kurang daripada S$2,000 sepanjang tempoh 36 hari bazar itu dijalankan.

Ini berbanding $15,000 bagi gerai-gerai biasa di luar ruangan khas itu.

SUNTIK SEMANGAT BERNIAGA

Dikhususkan bagi para peniaga dari rumah (HBB), Pengasas syarikat Enniche Global Trading, Mohamed Mustaffa Shah Jehan berkata bahawa harga rendah yang ditetapkan itu adalah bagi memberikan mereka lebih semangat untuk berniaga.

Meskipun begitu, Encik Mustaffa menekankan bahawa pihaknya mempertimbangkan keadaan, dan tetap memberi peluang kepada para peniaga yang mungkin terjejas teruk akibat COVID-19.

--

"Kami ingin memberi mereka semangat. Dengan itu, mereka lebih berani menyewa gerai lebih besar pada kelak nanti. Berdasarkan pengalaman kami lebih 10 tahun menganjurkan bazar di Geylang Serai, kami mendapati kebanyakan para peniaga bermula di bazar Geylang Serai.

"Alhamdulillah, ada juga yang memiliki gerai fizikal sendiri mahupun ada yang memiliki beberapa kedai di merata Singapura," kata Encik Mustaffa kepada BERITAmediacorp.

Di samping itu, pengasas syarikat Enniche Global Trading, Mohamed Mustaffa Shah Jehan mendedahkan bahawa 60 peratus daripada gerai-gerai makanan dan minuman (F&B) dan runcit sudah disewakan.

Selain itu, beliau berkata tujuannya itu juga adalah bagi menggalak semangat keusahawanan dalam kalangan golongan muda.

Lantaran itu, beliau berkongsi bahawa terdapat pelbagai kaedah pembayaran sewa, termasuk bayaran secara harian mahupun beransur-ansur.

SUASANA PERNIAGAAN DIJANGKA LEBIH RANCAK

Dengan skala bazar yang lebih besar, para peniaga menjangkakan suasana perniagaan akan kembali rancak seperti keadaan sebelum pandemik.

Antara peniaga HBB yang tidak melepaskan peluang mendapat gerai di Bazar Raya Geylang Serai kali ini ialah Cik Shazarina Zainal.

--

Beliau dan adik iparnya, Cik Gul Shereen Mohamed Zaki menyewa bukan sebuah gerai, tetapi empat buah gerai.

Cik Shazarina Zainal menjual pakaian raya bagi bayi dan kanak-kanak sehingga 12 tahun sementara adik iparnya, menjual baju raya untuk orang dewasa.

Antara faktor utama yang mendorongnya menyewa di Bazar Raya Geylang Serai itu adalah harga sewa yang amat berpatutan.

"Kami cuma perlu menyewa dalam S$4,000, untuk ruang yang ada berhawa dingin. Saya rasa di tempat-tempat lain semua kalau harga untuk ruang yang dilengkapi dengan hawa dingin lagi mahal," ujar Cik Shazarina.

Dengan harga sewa yang lebih berpatutan, beliau berkata akan menawarkan harga-harga yang lebih menarik bagi para pelanggannya.

--

Cik Gul Shereen Mohamed Zaki menambah, "Sebagai penjual dan pembeli, kita mahu baju yang berharga mampu milik. Contohnya, kami tidak perlu menunggu gaji untuk membelinya. Kami juga akan menawarkan jualan lelong dan pada hujung minggu kami akan menurunkan harga."

Bagi mereka berdua, peluang berharga ini tidak akan disia-siakan dan akan dijadikan sebagai rangsangan untuk mereka memperluaskan lagi perniagaan mereka.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan