Kadar sewa gerai Bazar Hari Raya Geylang Serai antara $5,000 hingga $21,000; tertinggi sejak 2018
BERITAmediacorp: Kadar sewa bagi sebuah gerai di Bazar Hari Raya Geylang Serai adalah antara $5,000 hingga $21,000 pada tahun ini.
Wisma Geylang Serai (WGS) mendedahkan perangkaan itu kepada BERITAmediacorp pada Selasa (5 Apr) sambil menambah bahawa harga sewa yang ditetapkan pula bergantung kepada jenis kedai serta lokasi gerai tersebut.
WGS memberikan respons tersebut bagi mengulas tentang kadar sewa yang dinukil oleh Mothership dalam laporannya yang menyatakan bahawa harga sewa tertinggi pada tahun ini adalah $25,000.
WGS mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa harga sewa tertinggi bagi tahun ini adalah $21,000, yang tetap merupakan satu peningkatan jika dibandingkan dengan harga rekod yang dicatatkan pada 2018.
Pada ketika itu, harga sewa bagi gerai seluas tiga meter kali tiga meter adalah setinggi $20,000, dengan harga terendah pula sekitar $4,000.
Pada 2017 pula, harga sewa adalah antara $3,000 hingga $18,000 bagi ruang yang serupa saiznya iaitu tiga meter kali tiga meter.
Trend harga sewa meningkat semasa tempoh sebelum COVID-19 melanda, mendorong pihak penganjur untuk mengenakan had sewa sebanyak $14,000 pada tahun 2019.
Langkah itu sekali gus membuat para peniaga secara purata berjaya menjimatkan sehingga 50 peratus kos sewa.
WGS bagaimanapun tidak pula memberikan respons apabila ditanya sama ada langkah yang sama diambil pada tahun ini.
Tinjauan BERITAmediacorp pada tahun ini mendapati harga sewa yang tinggi lazimnya ditanggung gerai-gerai makanan yang memerlukan ruang lebih luas, bekalan api air dan terletak di lokasi-lokasi utama.
Tiga peniaga yang ditemui BERITAmediacorp turut berkongsi kos sewa mereka pada tahun ini adalah antara $20,000 hingga $21,000.
Pengarah T Bob's Corner, Indah Nabielah Zulkarnain memberitahu BERITAmediacorp bahawa harga sewa bagi gerai syarikatnya adalah $20,000.
Ini merupakan kali pertama T Bob's Corner berniaga di Bazar Hari Raya Geylang Serai pada bulan Ramadan ini.
TAMBAHAN LAGI 30 GERAI
Dalam pada itu, Bazar Hari Raya Geylang Serai tahun ini akan diperluaskan dengan lagi 30 gerai bakal dibuka di kawasan antara WGS dengan pusat beli-belah Tanjong Katong Complex (TKC).
Perkembangan itu diumumkan oleh Penasihat Utama WGS Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebooknya hari ini (5 Apr).
Menurut WGS, gerai-gerai baru itu terdiri daripada 20 kedai runcit dan lagi 10 pula menjual makanan.
Menurut Dr Faishal, langkah untuk membuka lagi 30 gerai dibuat selepas menerima maklum balas yang sangat positif daripada masyarakat Melayu/Islam sejauh ini.
"Kelonggaran kepada lebih banyak langkah pengurusan selamat (SMM) juga mewujudkan peluang untuk memanfaatkan sepenuhnya ruang berkenaan.
"Dengan pembukaan gerai di kawasan antara WGS dengan TKC, bazar Ramadan tahun ini dapat mempertingkatkan lagi ketersambungan kawasan Geylang Serai," ujar beliau.
Ini selain menawarkan lebih banyak pilihan makanan serta keperluan hari raya, di samping memeriahkan lagi sambutan bulan Ramadan.
Bazar itu boleh menampung sekitar 600 pengunjung pada satu-satu masa dengan Dr Faishal sebelum ini mengatakan had itu mungkin disesuaikan bergantung kepada keadaan di bazar tersebut dalam masa beberapa hari nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.