Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar purata pulangan Bon Simpanan SG catat rekod baru 3.47% bagi 10 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pulangan Bon Simpanan Singapura (SSB) mencatat rekod tertinggi buat bulan kedua berturut-turut, dengan bon terkini pada bulan Disember menawarkan kadar purata pulangan sebanyak 3.47% bagi tempoh 10 tahun.

Kadar faedah tahun pertama, iaitu 3.26 peratus, juga yang tertinggi, memecah rekod yang ditetapkan sebelum ini, menurut maklumat yang dikeluarkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Selasa (1 Nov). 

SSB merupakan sejenis Sekuriti Pemerintah Singapura (SGS), yang dikeluarkan dan disokong sepenuhnya oleh Pemerintah Singapura. 

Ia ditawarkan buat pertama kali pada 2015 untuk menawarkan pelabur runcit dengan pilihan pelaburan yang fleksibel tanpa risiko. 

Sekitar 120,000 individu memegang lebih S$5.7 juta bon simpanan setakat awal 2022. 

SSB terbaru ditawarkan pada permulaan setiap bulan, dengan kadar faedah tetap yang ditingkatkan setiap tahun bagi tempoh 10 tahun. 

Kadar faedah bagi setiap SSB yang dikeluarkan adalah berdasarkan hasil purata SGS pada bulan sebelum permohonan dibuka. 

Hasil tersebut semakin meningkat, seperti hasil bon ekonomi-ekonomi utama lain, sedang bank pusat sejagat meningkatkan kadar faedah. 

Kali terakhir SSB mencatat kadar pulangan rekod tertinggi adalah bulan lalu apabila kadar pulangan purata bagi tempoh 10 tahun mencecah 3.21 peratus dan kadar faedah tahun pertama pula mencecah 3.08 peratus. 

Tawaran itu menerima permohonan bernilai S$2.2 bilion, jauh melebihi bon bernilai S$900 juta yang ditawarkan. 

Permhonan bagi tawaran Disember dibuka pada pukul 6.00 petang Selasa (1 Nov) dan ditutup pada 9.00 malam pada 25 November. 

Jumlah pelaburan bagi SSB bermula pada S$500 dan boleh dilakukan menerusi wang tunai atau dana Skim Persaraan Tambahan. 

Yuran urus niaga sebanyak S$2 dikenakan bagi setiap permohonan.

Pemohon yang berjaya akan menerima faedah setiap enam bulan pada 1 Disember dan 1 Jun sehingga bon simpanan itu menjadi matang pada Disember 2032. 

Selain SSB, bil Tabung Singapura (T-bill) juga menyaksikan pulangan yang semakin meningkat. 

T-bill bagi tempoh enam bulan yang terkini mencatat pulangan 4.19 peratus setiap tahun, iaitu kadar yang tertinggi sejak 1988. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan