Skip to main content

Singapura

Kadar pesalah dadah berulang di SG meningkat meskipun kadar residivisme keseluruhan kekal 'rendah dan stabil'

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Feb 2023 07:16PM Dikemas Kini : 09 Feb 2023 11:45PM
SINGAPURA: Kes pesalah dadah berulang di Singapura meningkat meskipun kadar residivisme atau pesalah melakukannya berulang kali, secara keseluruhan kekal "rendah dan stabil".

Demikian menurut Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) pada Khamis (9 Feb).

Menurut statistik tahunan terbarunya, kadar keseluruhan dua tahun kes pesalah dadah berulang yang dibebaskan dari Pusat Pemulihan Dadah (DRC) pada 2020 adalah 26.1 peratus, naik daripada 24.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Kadar sepanjang dua tahun itu merujuk kepada peratusan pesalah tempatan yang dipenjara, ditahan atau dijatuhi hukuman penjara atau perintah laporkan diri, bagi tempoh dua tahun selepas pembebasan mereka.

Sementara itu, kadar pesalah dadah berulang selama lima tahun bagi kohort DRC pada 2017 adalah 45.2 peratus, naik daripada 44.3peratus pada 2016.

Kadar jenayah berulang dua tahun keseluruhan Singapura bagi kohort yang dibebaskan pada 2020 ialah 20.4 peratus, yang menurut SPS kekal antara "terendah di peringkat global".

Ini adalah antara kadar Jepun sebanyak 15.1 peratus dan Hong Kong 20.9 peratus, menurut angka yang disediakan oleh SPS.

Agensi itu bagaimanapun menyatakan bahawa "bekas pesalah mungkin tidak kekal bebas jenayah atau bebas dadah dalam jangka masa yang lebih lama".

Perkembangan tersebut merujuk kepada kadar bagi keseluruhan lima tahun yang kekal sekitar 40 peratus sejak kohortnya pada 2013.

USAHA INTEGRASI SEMULA

SPS menyatakan bahawa bersama Reben Kuning Singapura (YRSG) dan rakan-rakan masyarakat, ia menyokong banduan yang sedang berada di penghujung tempoh hukuman yang dijalani. Antara insiatif-insiatif yang dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha tersebut merangkumi kaunseling, khidmat berkenalan serta pengambilan kerja, perumahan dan bantuan kewangan.

Usaha-usaha tersebut dilengkapi dengan sokongan ribuan sukarelawan dan puluhan pertubuhan agama dan sekular yang menawarkan bantuan kepada keluarga-keluarga banduan.

SPS menyatakan bahawa ia akan membentuk sebuah Rangkaian Pencegahan pada suku kedua 2023, yang terdiri daripada bekas pesalah yang kekal bebas-jenayah untuk satu tempoh masa yang panjang.

Rangkaian tersebut akan menyediakan wadah bagi bekas pesalah untuk berhubung menerusi acara-acara dan kumpulan-kumpulan minat untuk saling menyokong antara satu sama lain.

Statistik lain yang dikeluarkan oleh SPS menunjukkan bahawa jumlah banduan di DRC, setakat 31 Dis 2022, adalah 3,337 - meningkat daripada 3,120 pada 2021 dan 2,984 pada 2020.

Bilangan kemasukan banduan di DRC juga meningkat kepada 1,995 setakat 31 Dis tahun lalu, berbanding 1,714 pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, bilangan pesalah dibebaskan juga meningkat dalam tempoh tiga tahun lepas, daripada 1,212 pada 2020 kepada 1,534 pada tahun berikutnya dan 1,787 pada 2022.

Sehingga 31 Dis 2022, jumlah pesalah di semua penjara dan kemudahan masyarakat berjumlah 7,660, selepas merosot secara berterusan daripada 9,242 pada 2020 dan 8,160 pada 2021.
Sumber : CNA/LL/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita