Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pesalah bentan Melayu semakin merosot, dedah Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Kadar pesalah bentan dalam kalangan pesalah Melayu terus mencatatkan penurunan yang memberangsangkan.

Kemajuan yang dicapai itu semakin ketara jika dibandingkan dengan kohort pesalah yang dibebaskan pada 2019.

Perangkaan yang memberangsangkan itu dikongsi oleh Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim semasa menghadiri acara Projek Pelita Hati anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) di Masjid Ba'alwie pada petang Sabtu (15 Apr).

"Saya rasa gembira untuk berkongsi bahawa kadar kebentanan dua tahun bagi banduan yang dibebaskan pada tahun 2019, kadarnya ialah 26 peratus dan kadar ini menurun kepada 24.7 peratus bagi kohort 2020. Ini menunjukkan apa yang kita lakarkan bersama, menunjukkan satu keputusan yang baik di mana dengan adanya kerjasama ini kita boleh mengukuhkan proses pemulihan dan integrasi semula," kata Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim.

Beliau turut menarik perhatian kepada sokongan yang dihulurkan oleh kesemua 71 masjid di Singapura dan 26 Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/ Islam (MMO) yang membantu mengurangkan kadar pesalah bentan dalam kalangan masyarakat.

Dr Faishal menekankan bahawa pemulihan bukan mudah namun dengan sokongan yang kukuh, para banduan boleh melangkah ke kehidupan yang lebih sempurna.

PROJEK PELITA HATI ANJURAN DANA PENDIDIKAN HARUN GHANI

Antara kelainan pada acara Pelita Hati tahun ini adalah kad Hari Raya tulisan tangan yang ditujukan khas kepada hampir 20 kanak-kanak yang ditulis sendiri oleh ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan.

Kad-kad Hari Raya itu mencerminkan betapa ibu bapa mereka mahu bersatu semula dengan keluarga masing-masing.

Inisiatif HGEF bersama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Penjara Singapura (SPS) ini juga bermatlamat untuk menyuntik keceriaan dan menghulurkan sokongan emosi kepada anak-anak para banduan.

Acara itu turut disokong oleh kempen Dadah Itu Haram Biro Narkotik Pusat (CNB).


"Tujuan utama Projek Pelita Hati adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara banduan dan anak-anak mereka, ia adalah sebuah pengalaman yang traumatik bagi kanak-kanak ketika ibu bapa mereka dipenjara dan hubungan yang berkekalan sangat penting untuk persiapan banduan sebelum dan ketika mereka dibebaskan. HGEF berpendapat bahawa apabila keluarga banduan kekal berhubung, kadar kebentanan juga semakin berkurangan," kata Setiausaha Kehormat Dana Pendidikan Harun Ghani, Haslinda Putri Harun.

Beliau turut menarik perhatian kepada pertalian erat para banduan bersama dengan anak-anak mereka yang boleh mengurangkan terjadinya hubungan yang rapuh atau semakin luntur.

"Ia memberikan peluang kepada mereka untuk berbual tentang perasaan dan membantu kanak-kanak ini berdepan dengan kesedihan akibat perpisahan," kata Cik Haslinda.

Beliau menambah bahawa sokongan padu yang berkekalan amat penting untuk mempersiapkan para banduan apabila mereka dibebaskan kelak.

HGEF memaklumkan kepada BERITAMediacorp bahawa pihaknya berharap dengan inisiatif ini, anak-anak para banduan dapat diberikan keyakinan bahawa ibu bapa mereka yang ditahan di penjara masih menyayangi mereka, sekali gus berharap semangat positif ini akan mendorong kanak-kanak untuk terus melakukan yang terbaik di sekolah.

Ia juga selaras dengan misi HGEF iaitu "Membina Kehidupan melalui Pembelajaran".

SOKONGAN KUKUH BUAT BANDUAN PENTING DALAM PROSES PEMULIHAN

Pada acara itu, anak-anak para banduan digalak untuk membalas kad yang diterima itu dalam bentuk tulisan atau lukisan sebagai tanda terima kasih.

Projek Pelita Hati amat dialu-alukan oleh Imam Masjid Ba'alwie, Ustaz Habib Hassan Alattas.

"Pada malam ini kita dapat bersama-sama, anak-anak kita dan keluarga kita yang memerlukan kerana di dalam bulan Ramadan, adalah penting kita mengambil berat tentang orang-orang yang perlu dibantu dan saya masih ingat jasa-jasa Allahyarham Encik Harun Ghani pada masa hayatnya beliau banyak mementingkan tentang keluarga-keluarga yang memerlukan, kata Habib Hassan.

Selain menerima kad Hari Raya istimewa daripada ibu bapa mereka, anak-anak para banduan juga menerima duit raya bernilai S$100 setiap seorang. Para penjaga pula menerima baucar NTUC bernilai S$100.

Habuan lain yang disumbangkan termasuk perhiasan rumah yang didermakan oleh Fatimah Mohsin, kuih raya dan senaskah Al-Quran.

HGEF turut berkongsi bahawa spanjang 18 tahun pertubuhan itu ditubuhkan, ia sudah bekerjasama dengan keluarga-keluarga yang terkesan dengan kesalahan dadah dan menyumbang hampir S$700,000 kepada 4,000 pelajar dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti.

Awal tahun ini, HGEF juga menyumbang S$45,225 untuk membantu penerima bantuan membuat persiapan bagi tahun akademik 2023.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan