Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar permohonan BTO berkurangan, beransur stabil, menurut HDB

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar permohonan BTO berkurangan, beransur stabil, menurut HDB

Flat-flat HDB dengan pemandangan latar langit Singapura. (Gambar: Calvin Oh/CNA)

SINGAPURA: Terdapat tanda-tanda awal kadar permohonan bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sudah "berkurangan dan semakin stabil".

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (6 Mac), beberapa jam sebelum penjualan bagi flat yang dilancarkan pada bulan Februari berakhir lewat hari ini.

Lebih 4,400 flat baru dilancarkan bagi penjualan kali ini, yang meliputi lima projek di Kallang, Whampoa, Queenstown, Jurong West dan Tengah.

"Pelancaran penjualan bagi Februari 2023 juga menyaksikan jumlah keseluruhan pemohon flat yang paling rendah, terutama sekali pemohon flat kali pertama sejak pelancaran penjualan BTO pada Februari 2020.

"Bilangan ini juga sekitar separuh daripada jumlah pemohon flat yang memohon bagi antara 11 pelancaran penjualan BTO sebelum ini," menurut HDB, merujuk kepada jumlah pemohon setakat sehingga 11.00 pagi pada Isnin.

Sebagai contoh, seramai 12,493 pemohon memohon bagi flat tiga bilik dan flat lebih besar, dengan 7,513 daripada mereka merupakan pemohon kali pertama.

Ini dibandingkan dengan 20,252 pemohon pada Februari 2020, di mana 14,145 adalah pemohon kali pertama, tambah HDB.

Kadar median permohonan bagi pemohon kali pertama untuk flat tiga bilik dan flat lebih besar adalah 1.8, menurut HDB.

Kadar tersebut juga hampir serupa dengan kadar permohonan bagi penjualan BTO pada November 2022. Ketika itu, jumlah bekalan flat seganda lebih tinggi berbanding pelancaran kali ini.

Pemohon kali pertama mempunyai peluang lebih baik untuk memiliki flat kerana mereka mempunyai dua peluang undi dan bukan satu.

Sehingga 95 peratus bekalan flat juga diperuntukkan bagi mereka.

Lembaga Perumahan itu juga terus menggalak pembeli rumah untuk menimbangkan estet bukan matang bagi meningkatkan peluang mereka menempah flat.

Ia menarik perhatian bahawa pemohon kali pertama yang memohon bagi flat Jurong West Crystal dan Brickland Weave di Tengah mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan flat.

Mereka yang memohon flat di Ulu Pandan Glades, sebuah projek Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) di estet matang Queenstown, juga mempunyai peluang yang baik untuk menempah flat.

HDB menyatakan pemohon kali pertama yang tidak berjaya dalam dua percubaan atau lebih bagi mendapatkan flat BTO di estet bukan matang akan diberi peluang undi tambahan.

Peluang undi tambahan itu akan diberikan untuk permohonan mereka yang seterusnya bagi flat BTO di estet-estet bukan matang.

"Berdasarkan rekod kami, hampir semua pemohon flat BTO kali pertama di estet-estet bukan matang mempunyai peluang menempah flat dalam tiga percubaan pertama mereka. Bahkan, kira-kira sembilan daripada 10 pemohon mempunyai peluang menempah flat dalam dua percubaan pertama mereka," tambah HDB.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan