Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar penggunaan TraceTogether 'lebih 60%', semakin dekat dengan sasaran Pemerintah

SNDGG menarik perhatian satu sebab TraceTogether tidak digunakan mungkin adalah "kepercayaan umum bahawa SafeEntry mencukupi".

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar penggunaan TraceTogether 'lebih 60%', semakin dekat dengan sasaran Pemerintah

Token TraceTogether berfungsi dengan saling bertukar isyarat Bluetooth dengan token berhampiran (Gambar: Gov.sg)

Diterbitkan : 11 Dec 2020 09:22AM Dikemas Kini : 11 Dec 2020 09:23AM

SINGAPURA: Lebih tujuh minggu selepas sasaran 70 peratus penggunaan TraceTogether ditetapkan sebagai antara keperluan sebelum Singapura memasuki Fasa Tiga pembukaan semula, perangkaan itu kini mencecah "lebih 60 peratus".

Mendedahkan kemas kini mengenai kaedah jejak kontak digital itu, Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) menyatakan pada Khamis (10 Dis) dalam jawapan kepada soalan diajukan Mediacorp bahawa ia menjangkakan pengambilan alat TraceTogether akan "berterusan pada kadar stabil".

Ini kerana pusat pengagihan akan dibuka di lebih banyak kelab masyarakat pada minggu-minggu akan datang.

Pada 20 Oktober, Menteri Pendidikan Lawrence Wong, yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak pemerintah bagi COVID-19, berkata buat pertama kali bahawa sasaran 70 peratus adalah antara keperluan sebelum Singapura memasuki fasa ketiga pembukaan semula ekonomi, yang mungkin boleh dilakukan menjelang hujung tahun ini.

Pada masa itu, kadar pengambilan adalah sekitar 45 peratus. Keperluan yang lain termasuk mempunyai kemampuan ujian yang mencukupi dan pematuhan langkah jarak selamat.

SNDGG - yang terdiri daripada Pejabat Negara Bijak dan Pemerintah Digital serta Agensi Teknologi Pemerintah - kini menjelaskan kadar pengambilan terkini adalah lebih 60 peratus daripada penduduk.

Perangkaan itu melepasi paras 50 peratus pada bulan lalu.

Jumlah keseluruhan penduduk Singapura sekarang adalah sekitar 5.7 juta.

Bagi mencapai 70 peratus, lagi 500,000 penduduk perlu menggunakan TraceTogether.

Walaupun tiada siapa yang dapat mengagak jika sasaran 70 peratus dapat dicapai dalam masa tiga minggu ini sebelum tahun 2020 berakhir, SNDGG menarik perhatian satu sebab TraceTogether tidak digunakan mungkin adalah "kepercayaan umum bahawa SafeEntry mencukupi". 

Sumber : Today/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan