Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar penggunaan katil ICU naik kepada 53% susuli 'lonjakan mendadak' kes COVID-19

Kadar penggunaan katil di unit jagaan rapi (ICU) di hospital-hospital awam meningkat dari 26 peratus kepada 53 peratus sepanjang tiga bulan lalu, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 04 Oct 2021 04:56PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 09:20PM

SINGAPURA: Kadar penggunaan katil di unit jagaan rapi (ICU) di hospital-hospital awam meningkat dari 26 peratus kepada 53 peratus sepanjang tiga bulan lalu, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary di Parlimen pada Isnin (4 Okt).

Ia merupakan salah satu cara "kenaikan mendadak" dalam jumlah kes COVID-19 sejak kebelakangan ini menjejas kapasiti jagaan kesihatan Singapura, katanya.

Singapura melaporkan lebih 2,000 kes harian COVID-19 sejak kebelakangan ini, dengan jumlah kes harian mencecah jumlah rekod sebanyak 2,909 kes pada Jumaat lalu (1 Okt).

Selain jumlah kes yang meningkat, lebih ramai pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital. Setakat tengah hari Ahad (3 Okt), 1,337 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital dengan 250 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 35 kes dalam keadaan kritikal di ICU.

BEBAN TERHADAP JAGAAN KESIHATAN

Dr Puthucheary juga menarik perhatian bahawa secara keseluruhan, sekitar 15 peratus katil hospital di hospital akut sektor awam digunakan bagi sekitar 10 peratus kes COVID-19.

Mereka yang memerlukan bantuan oksigen atau dimasukkan ke ICU membentuk dua peratus daripada jumlah kes keseluruhan - kebanyakannya pesakit yang belum divaksin atau warga tua.

Selain kadar pesakit yang dimasukkan ke ICU, penggunaan katil di wad pengasingan juga meningkat dari 58 peratus kepada 86 peratus sepanjang tiga bulan lalu.

Di kemudahan jagaan masyarakat (CCF), kadar penggunaan katil meningkat lebih daripada tiga kali ganda dari 10 peratus kepada 35 peratus, kata Dr Puthucheary.

"Jabatan kecemasan hospital awam menyaksikan kenaikan sehingga lapan kali ganda jumlah pesakit yang diuji positif melalui ujian ART (ujian pantas antigen) atau PCR (ujian tindak balas berantai polimerase) yang ingin mendapatkan rawatan perubatan," kata Dr Puthucheary.

Beliau menambah bahawa sebelum dua minggu lalu, pihak berkuasa mengambil masa sehingga 12 jam dari waktu ujian positif PCR diperolehi untuk membawa pesakit COVID-19 yang berusia 70 tahun ke atas ke hospital.

Namun dengan jumlah kes yang tinggi sekarang, masa yang ambil meningkat kepada 48 hingga 72 jam.

APA YANG SEDANG DILAKUKAN PIHAK BERKUASA

Memandangkan ambulans Pasukan Pertahanan Awam Singapura dikhaskan bagi pesakit dalam keadaan kecemasan, MOH memperuntukkan 95 lagi ambulans khas untuk membawa pesakit COVID-19 ke pelbagai kemudahan jagaan kesihatan, katanya.

Berhubung kes ICU, Dr Puthucheary menarik menekankan bahawa pihak berkuasa sedang "memantau trend dengan teliti".

Selain itu, pihak hospital telah menambah 74 katil ICU, sekali gus menambah kapasiti kepada 187 katil secara keseluruhan bagi pesakit COVID-19 yang teruk.

"Lebih banyak katil ICU boleh disediakan dengan segera, jika perlu," katanya.

Dr Puthucheary menambah bahawa situasi kakitangan di hospital sedang dipantau dengan rapi, memandangkan hampir 400 petugas jagaan kesihatan dijangkiti COVID-19.

"Hospital-hospital kami akan terus mengerahkan sumber mereka secara dinamik bagi memastikan keperluan tenaga kerja dipenuhi.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan penyedia khidmat jagaan kesihatan privet untuk menyokong tenaga kerja kami."

Bagi mengekalkan keupayaan jagaan kesihatan sekiranya berlaku satu lagi gelombang jangkitan di masa hadapan, protokol kesihatan lebih mampan juga diperlukan - ini sebabnya pemulihan di rumah dijadikan sebagai protokol pilihan bagi ramai pesakit, katanya.

Menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Xie Yao Quan (PAP-Jurong) tentang berapa banyak katil yang akan diperuntukkan bagi COVID-19 "dalam menangani bilangan kes harian yang meningkat", Dr Puthucheary berkata strategi sedemikian mungkin tidak lagi dapat dilaksanakan di masa hadapan.

Beliau berkata ruang katil buat masa ini dipisahkan untuk mengasingkan pesakit COVID-19 daripada kemudahan jagaan kesihatan yang lain. Namun apabila COVID-19 menjadi endemik, ia perlu dianggap seperti penyakit berjangkit yang lain, katanya.

"Dalam situasi endemik, kami tidak mempunyai katil khusus untuk pesakit selesema atau pesakit demam denggi atau pesakit cacar."

"Apa yang kita ada ialah katil berdasarkan keperluan pesakit, dan semakin ramai pesakit COVID-19 di hospital mempunyai jenis keperluan yang lain.

"Mereka akan mempunyai masalah buah pinggang dan masalah jantung serta masalah saraf, jadi agak sukar untuk menggambarkan dengan tepat dalam keadaan stabil - apabila kita sudah selesai berdepan dengan lonjakan kes dan strategi sedia ada."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan