Skip to main content

Singapura

Kadar pengangkutan udara SG dijangka terus meningkat di tengah kesesakan pelabuhan dunia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kesesakan di pelabuhan-pelabuhan di seluruh dunia, termasuk Singapura, telah mendorong sejumlah syarikat menukar dari laluan laut ke pengangkutan udara untuk menghantar barangan mereka kepada pelanggan tepat pada masanya.

Para pembekal logistik memberitahu Mediacorp bahawa mereka menyaksikan kira-kira 20 peratus lebih banyak syarikat tempatan membuat pertukaran itu.

Sungguhpun demikian, firma-firma ini terpaksa membayar sehingga 50 peratus lebih tinggi untuk pengangkutan udara berbanding awal tahun ini.

Dengan pesawat-pesawat kargo dijangka padat bagi tempoh dua bulan akan datang, para pemain industri menjangkakan kadar pengangkutan udara akan terus meningkat.

Ini terutamanya apabila musim penghantaran semakin hampir paras kemuncak.

Pada Mei lalu, Mediacorp melaporkan bahawa kelengahan penghantaran di Singapura meningkat lebih dua kali ganda sejak beberapa minggu kebelakangan ini di tengah-tengah kesesakan pelabuhan dan kekurangan kapal kontena.

Ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti lencongan yang disebabkan oleh pergolakan di Laut Merah.

Pada masa itu, pengendali pelabuhan PSA Singapore menyatakan bahawa ketidaktentuan itu mungkin akan berlarutan dan ia akan terus meningkatkan kapasiti dan teknologi bijak di terminal-terminalnya.

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), permintaan kargo udara di rantau Asia Pasifik telah meningkat kepada kira-kira 20 peratus pada bulan Mei berbanding setahun lalu.

Bagaimanapun, bekalan untuk kapasiti udara hanya pada tahap 9 peratus.

Penghantaran melalui laut tertunda selama sekurang-kurangnya sebulan disebabkan oleh pelabuhan-pelabuhan yang sesak. Setahun yang lalu, ia akan mengambil separuh daripada tempoh tersebut untuk kargo tiba di Singapura.

Para penyedia logistik berkata bahawa syarikat-syarikat harus merancang lebih awal dan bekerjasama dengan syarikat penghantaran untuk mengelakkan sebarang kelengahan.

Bagi menghadapi peningkatan permintaan pada pengangkutan udara, para pembekal juga memberitahu Mediacorp bahawa mereka sedang berusaha untuk memperluaskan rangkaian masing-masing.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita