Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengangguran Singapura mungkin naik seganda jika tidak kerana langkah sokongan COVID-19 pada 2021: MOF

Langkah-langkah sokongan COVID-19 berjaya mengurangkan unjuran kadar pengangguran penduduk pada tahun lalu sebanyak 4 peratusan mata, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (17 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Langkah-langkah sokongan COVID-19 berjaya mengurangkan unjuran kadar pengangguran penduduk pada tahun lalu sebanyak 4 peratusan mata, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (17 Feb).

Kadar pengangguran penduduk mungkin mencecah 7.5 peratus tahun lalu jika langkah-langkah sokongan daripada Pemerintah tidak dilaksanakan, menurut MOF dalam satu laporan yang menilai kesan daripada langkah-langkah utama Belanjawan sepanjang dua tahun lalu.

Sebaliknya, ia merosot kepada 3.5 peratus pada 2021, iaitu perbezaan sebanyak 4 peratusan mata, menurut MOF.

Pada 2020, langkah-langkah sokongan mengurangkan 2 peratusan mata daripada unjuran kadar pengangguran, iaitu daripada 6.1 peratus kepada 4.1 peratus.

Langkah-langkah sokongan Pemerintah pada 2020 dan 2021 membantu menyokong pertumbuhan GDP dan pasaran buruh, mengurangkan kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi, menurut laporan itu.

MOF menganggarkan langkah-langkah Belanjawan itu di samping dengan dasar kewangan menyokong pertumbuhan GDP Singapura sebanyak 0.8 peratusan mata pada 2021 kepada 7.6 peratus daripada 6.8 peratus.

Ia menganggarkan bahawa ekonomi Singapura mencatatkan prestasi lebih baik sebanyak 6.6 peratusan mata pada 2020, walaupun mengalami pertumbuhan negatif 4.1 peratus.

Ini bermakna GDP mungkin merosot lebih 10 peratus tanpa langkah-langkah sokongan.

MOF menyatakan bahawa ekonomi Singapura mencecah tahap pengeluaran sebelum pandemik menjelang akhir 2021, namun tahap pemulihan tidak rata bagi keseluruhan sektor.

Sektor-sektor berasaskan pasaran luar menyaksikan pertumbuhan kukuh tahun lalu namun industri seperti penerbangan dan pelancongan beroperasi "jauh di bawah keupayaan" dan diramalkan mencatat pemulihan sederhana pada 2022.

Ia memberi amaran tentang ketidaktentuan dan risiko di masa hadapan, sebahagian besar disebabkan oleh mutasi virus yang boleh mencetuskan kemunculan semula pandemik dan inflasi yang berterusan.

Pasaran buruh juga "berada di laluan mantap ke arah pemulihan". Walaupun kadar pengangguran penduduk lebih tinggi sedikit berbanding 2019, ia dijangka merosot ke tahap sebelum pandemik tahun ini.

Skim seperti Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) bagi sokongan gaji, pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited dan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan untuk menggalakkan pengambilan pekerja tempatan, membantu mengurangkan kehilangan pekerjaan dan membantu penduduk mendapatkan pekerjaan dan peluang kemahiran, menurut MOF.

MOF menganggarkan JSS berjaya membantu menyelamatkan 165,000 pekerjaan tempatan dari Mac hingga Disember 2020 dan bantu menaikkan gaji tempatan.

JURANG PENDAPATAN MENGECIL

MOF menyatakan kesan ketidaksamaan juga dikurangkan, dengan isi rumah rakyat Singapura menerima purata S$2,200 setiap anggota keluarga menerusi skim-skim sokongan COVID-19 pada 2020.

Keluarga berpendapatan rendah juga lazimnya menerima lebih banyak manfaat, tambahnya.

Ini menyumbang kepada kemerosotan koefisien Gini yang jatuh kepada 0.375 pada 2020 dalam kalangan penduduk dalam isi rumah yang bekerja.

Ia kemudian meningkat kepada 0.386 pada tahun lalu, setelah bantuan COVID-19 sekali sahaja dihentikan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan