Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengangguran jatuh hampir ke paras sebelum COVID-19, pasaran kerja semakin pulih pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 14 Mar 2022 01:08PM Dikemas Kini : 14 Mar 2022 10:18PM

SINGAPURA: Kadar keseluruhan  pengambilan pekerja di Singapura kembali meningkat pada 2021, dengan kadar pengangguran pula merosot ke hampir paras sebelum COVID-19. 

Demikian menurut Laporan Pasaran Buruh 2021 yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (14 Mac). 

Pasaran buruh dijangka terus mencatatkan pemulihan  tahun ini, dengan pertumbuhan ekonomi semakin pesat dan pengambilan pekerja serta pekerjaan kosong semakin bertambah, menurut MOM. 

Namun, MOM memberi amaran peningkatan risiko dalam ekonomi global risiko boleh menjejas rentak pemulihan. 

"Kami menjangkakan pasaran buruh akan terus pulih pada 2022, tetapi sudah pasti, perkembangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini meningkatkan risiko dengan ketara. Justeru ia akan menjejas rentak pemulihan," kata setiausaha tetap MOM Aubeck Kam dalam satu taklimat pada pagi Isnin (14 Mac). 

Purata kadar pengangguran tahunan turun daripada 3 peratus kepada 2.7 peratus, dengan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk jatuh daripada 4.1 peratus kepada 3.5 peratus. 

Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat pula berada pada 3.7 peratus, turun berbanding 4.2 peratus. Pada Januari 2022, kadar pengangguran merosot ke sekitar paras Disember 2019, menurut MOM. 

Kadar pengambilan pekerja naik semula pada 2021, bertambah sebanyak 41,400, selepas menguncup dengan mendadak pada 2020 apabila 166,600 kehilangan pekerjaan. 

Pengambilan pekerja lebih tinggi dicatatkan dalam perusahaan perhubungan dan penerangan, khidmat kesihatan dan sosial, khidmat profesional, khidmat sokongan pentadbiran dan khidmat kewangan.

Namun, pengambilan pekerja merosot dalam perusahaan penginapan, pengangkutan udara dan khidmat berkaitan, kesenian, hiburan dan rekreasi akibat sekatan sempadan yang ketat. 

JUMLAH PEMBERHENTIAN KERJA MEROSOT KE PARAS SEBELUM PANDEMIK

Dengan sekatan sempadan yang dilonggarkan, pengambilan pekerja bukan penduduk naik pada suku keempat 2021 buat kali pertama dalam dua tahun.

Pada suku terakhir 2021,  pekerjaan penduduk naik sebanyak 23,700 berbanding suku ketiga, manakala pekerjaan bukan penduduk naik sebanyak 24,200. Ini bermakna keseluruhan pengambilan pekerja naik sebanyak  47,900 setelah merosot selama dua suku. 

Bagi keseluruhan  2021, kadar pertumbuhan pekerjaan  penduduk yang naik sebanyak 71,300, melebihi kemerosotan dalam pekerjaan bukan penduduk sebanyak 30,000. 

Antara pekerja bukan penduduk, jumlah pemegang Pas Pekerjaan jatuh sebanyak 15,300, manakala bagi pemegang Pas S pula berkurangan sebanyak 12,200. Pemegang Permit Kerja dan pas kerja lain mencatatkan kemerosotan lebih kecil sebanyak  2,400. 

Bredasarkan jenis perusahaan, kadar pengambilan pekerja bukan penduduk merosot bagi semua sektor, melainkan binaan, yang meningkat pada suku terakhir 2021 apabila sekatan sempadan dilonggarkan, menurut MOM. 

Pemberhentian pekerja menjunam daripada paras tinggi 26,110 pada 2020, kepada 8,020 pada 2021.

Ia adalah di  bawah paras yang dicatat pada tahun-tahun sebelum COVID-19. 

Jumlah pekerja yang diletakkan bagi aturan kerja minggu lebih pendek atau diberhentikan sementara merosot menjelangsuku keemapt 2021 meskipun jumlahnya sebanyak 1,200 kekal di atas tahap sebelum pandemik.

Kadar kemasukan semula tahunan antara penduduk yang sudah diberhentikan kerja naik daripada 62 peratus pada 2020 kepada 66 peratus pada 2021, kadar tertinggi dalam enam tahun. 

Kadar pengambilan pekerja berdasarkan penyesuaian musiman mencerminkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan sekitar 2.5 peratus dicatatkan pada suku keempat 2021, kadar tertinggi sejak 2014. 

Kadar peletakan jawatan berdasarkan penyesuaian musiman kekal pada 1.7 peratus, lebih rendah daripada kadar biasa sebelum COVID-19. 

RAMALAN BAGI 2022

Pada Februari, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengekalkan ramalan pertumbuhan hasil dalam negeri kasar (GDP) Singapura bagi 2022 antara 3 peratus hingga 5 peratus.

Sejak itu, risiko dalam ekonomi global meningkat di tengah-tengah krisis Rusia-Ukraine, menurut MOM. 

Ramalan untuk pelbagai sektor kekal tidak sama rata, dengan pertumbuhan yang positif dijangkakan untuk sektor-sektor seperti penerangan dan perhubungan  serta khidmat kewangan dan insurans. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan