Kadar pengangguran di S'pura secara keseluruhannya naik 2.3% pada suku ketiga
Kadar pengangguran di Singapura secara keseluruhannya naik sedikit pada suku ketiga 2019, menurut perangkaan awal yang didedahkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam Laporan Pasaran Buruh pada Khamis (24 Okt).

(Gambar fail: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Kadar pengangguran di Singapura secara keseluruhannya naik sedikit pada suku ketiga 2019, menurut perangkaan awal yang didedahkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam Laporan Pasaran Buruh pada Khamis (24 Okt).
Berdasarkan penyesuaian musiman, kadar pengangguran secara keseluruhannya naik sedikit pada September dari 2.2 peratus hingga 2.3 peratus dan dalam kalangan penduduk pula, ia meningkat dari 3.1 peratus dalam suku sebelumnya kepada 3.2 peratus bagi tempoh antara Julai hingga September.
Kadar pengangguran bagi rakyat Singapura meningkat dari 3.2 peratus dalam suku kedua kepada 3.3 peratus bagi tempoh selama tiga bulan yang berakhir pada September. (Kadar pengangguran suku kedua bagi rakyat tempatan dianggarkan 3.3 peratus sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut MOM, kadar tersebut kemudian disemak semula kepada 3.2 peratus.)
Pada September, jumlah penganggur dalam kalangan rakyat Singapura meningkat dari 64,200 kepada 65,000.
Dalam kalangan penduduk pula, jumlah penganggur meningkat dari 72,600 pada suku kedua kepada 74,700 dalam tempoh tiga bulan yang berakhir pada September.
Secara keseluruhannya, jumlah pekerjaan dalam suku ketiga 2019 (tidak termasuk pembantu rumah asing) meningkat sebanyak 22,400, lebih tinggi berbanding 6,200 dalam suku kedua dan jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu (16,700).
Pertumbuhan pekerjaan juga lebih meluas, merangkumi industri-industri utama.
Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan juga jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu, yang dipacu oleh khidmat masyarakat, sosial dan peribadi, khidmat profesional dan infokom, manakala sektor-sektor seperti perdagangan borong dan runcit mencatat kemerosotan yang lebih kecil dalam suku tersebut.
Pekerjaan dalam sektor pengilangan juga meningkat setelah tiga suku berturut-turut mengalami kemerosotan, meskipun pertumbuhannya lebih rendah berbanding setahun lalu, menurut MOM.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.