Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengambilan pekerja wanita S'pura naik dalam sedekad lalu: MOM

Kadar pengambilan pekerja penduduk wanita Singapura meningkat sepanjang dekad lalu dari 54 peratus pada 2010 kepada 57.7 peratus pada 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar pengambilan pekerja wanita S'pura naik dalam sedekad lalu: MOM

Gambar fail: AFP

Diterbitkan : 12 Jan 2022 05:56PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 06:01PM

SINGAPURA: Kadar pengambilan pekerja penduduk wanita Singapura meningkat sepanjang dekad lalu dari 54 peratus pada 2010 kepada 57.7 peratus pada 2020.

Kadar itu lebih baik berbanding negara-negara OECD, kata Menteri Kanan Tenaga Manusia Gan Siow Huang hari ini (12 Jan).

Beliau berkata semasa menjawab soalan parlimen yang diajukan oleh Anggota Parlimen (AP) Cheryl Chan (PAP - East Coast) dan AP Tin Pei Ling (PAP - MacPherson) mengenai trend pekerjaan bagi wanita.

Cik Chan bertanya tentang pemerhatian Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai trend karyawan wanita menyertai industri-industri baru muncul seperti pendigitalan dan kemampanan. Cik Tin pula bertanya sektor perkembangan mana yang buat masa ini menyaksikan kekurangan besar bakat serta kepimpin wanita dan apakah faktor yang mungkin menyumbang kepada ketidakseimbangan jantina itu.

Cik Gan berkata jumlah wanita dalam kalangan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) meningkat sepanjang sedekad lalu, dari 41.1 peratus kepada 45.6 peratus.

"Kami menyaksikan lebih ramai wanita menyertai sektor-sektor yang berkembang maju seperti perhubungan dan penerangan, khidmat kewangan serta khidmat kesihatan dan sosial," kata beliau. "Secara keseluruhannya, wanita membentuk 52.8 peratus daripada pekerja dalam sektor-sektor ini."

Jumlah wanita dalam pekerjaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), meskipun lebih rendah, sudah meningkat dari 29.9 peratus pada 2015 kepada 32.4 peratus pada 2020.

Satu kajian pada 2019 mengenai Jurang Pendapatan Jantina yang Disesuaikan Singapura mendapati perbezaan dalam nisbah jantina merentasi semua pekerjaan mungkin disebabkan oleh perbezaan jantina dari segi personaliti serta sifat psikologi, kemahiran, nilai berbeza yang diletakkan pada kelonggaran di tempat kerja dan norma sosial, jelas Cik Gan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak dan pihak berkepentingan masyarakat untuk menyokong penyertaan wanita dalam tenaga kerja serta membantu mereka memasuki dan kekal dalam pekerjaan pilihan mereka, termasuk dalam sektor-sektor baru muncul."

Cik Gan juga menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh Cik Yeo Wan Ling (AP - Pasir-Ris Punggol) dan Cik Joan Pereira (AP PAP - Tanjong Pagar) mengenai isu-isu yang tidak menggalak wanita mengambil pekerjaan rasmi serta kesan jagaan keluarga ke atas kerjaya, kewangan serta kecukupan persaraan bagi mereka yang memegang peranan sebagai seorang penjaga.

Beliau menyenaraikan pelbagai cara sokongan yang dihulurkan oleh Pemerintah bagi seseorang penjaga serta keluarga-keluarga dengan keperluan jagaan seperti melalui khidmat jagaan bersubsidi dan geran.

"Ini termasuk menyokong keperluan jagaan mereka secara langsung, membolehkan penjaga yang bekerja untuk menguruskan lebih baik kedua-dua tanggungjawab kerja dan jagaan mereka melalui aturan kerja yang longgar, membantu penyertaan semula mereka dalam tenaga kerja menerusi kemudahan pekerjaan dan sokongan latihan serta memperkukuhkan kecukupan persaraan mereka," ujarnya.

Mengenai soalan daripada Cik Yeo tentang pertikaian mengenai aturan kerja yang fleksibel, Cik Gan berkata Pemerintah dan rakan kongsi perikatan tiga pihak sedang memperkukuhkan usaha untuk menggalak amalan bagi aturan sedemikan dengan lebih meluas.

Pada 2021, Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) tidak menerima sebarang kes berhubung pertikaian sedemikian, katanya.

Menurut Cik Gan terdapat jumlah kecil wanita yang tidak dapat menyertai atau melibatkan diri sepenuhnya dalam tenaga kerja dek tanggungjawab penjagaan.

Pada 2010, 15 peratus wanita menyatakan tanggungjawab berkaitan keluarga sebagai sebab utama mereka tidak menyertai tenaga buruh manakala enam peratus bekerja secara sambilan kerana terikat dengan komitmen keluarga mahupun peribadi.

"Mendapatkan pekerjaan dan kekal dalam pekerjaan adalah kunci kepada daya bingkas kewangan serta kecukupan persaraan," kata Cik Gan.

"Dengan penyertaan meningkat dalam tenaga kerja dan pendapatan lebih tinggi, kohort-kohort seterusnya mampu mengumpulkan lebih banyak simpanan CPF bagi persaraan hari ini berbanding sedekad lalu."

Pemerintah juga sudah memperkenalkan dan mempertingkat langkah-langkah sejak beberapa tahun kebelakangan in untuk membantu rakyat Singapura, Ini termasuk para penjaga, untuk menambung simpanan yang mencukupi bagi persaraan, tambah beliau.

Bagi pengasuh yang berpendapatan rendah semasa tahun-tahun yang mana mereka bekerja dan kini mempunyai kurang simpanan bagi persaraan, Skim Ihsan Senja menyediakan bayaran sehingga S$900 pada setiap suku.

"Sekitar dua pertiga penerima Skim Ihsan Senja adalah wanita termasuk ramai penjaga," katanya.

Beliau memberi contoh bantuan lain yang dihulurkan seperti insentif bagi penjaga dan orang tersayang mereka untuk menokok wang tunai ke dalam CPF mereka. Bagi pengasuh lebih berusia pula, menurutnya, mereka boleh memanfaatkan skim menjana kewangan menerusi perumahan seperti Skim Beli Balik Pajakan dan Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB).

"Pemerintah akan terus menyemak usaha pelbagai serampang kami untuk memastikan para pengasuh menerima sokongan yang baik," ujar Cik Gan.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa