Skip to main content

Singapura

Kadar pengambilan pekerja tempatan naik tahun kedua berturut; gaji sebenar tumbuh meski inflasi tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Dec 2022 12:09PM Dikemas Kini : 01 Dec 2022 09:06PM
SINGAPURA: Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura meningkat buat tahun kedua berturut-turut.

Demikian menurut laporan awal Tenaga Buruh di Singapura yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Khamis (1 Dis).

Menurut laporan itu, hasil pendapatan pekerja kian meningkat dan lebih banyak penduduk kini bekerja sebagai profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) pada 2022, sedang negara ini beransur pulih daripada pandemik COVID-19.

Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk berusia 15 tahun dan ke atas mencapai 67.5 peratus tahun ini, iaitu 2.3 peratus lebih tinggi berbanding 2019.

Kadar pengangguran juga merosot bagi pekerja dalam kebanyakan sektor berbanding tahun sebelumnya.

Dalam kalangan PMET, kadar penganggurannya menyusut daripada 3.4 peratus kepada 2.6 peratus.

Bagi golongan bukan PMET pula, kadar pengangguran merosot daripada 5.1 peratus kepada 4.4 peratus.

MOM menyatakan bahawa kadar pengangguran jangka panjang juga merosot kepada sekitar tahap sebelum pandemik untuk kedua-dua PMET dan bukan PMET.

Bagi PMET, kadar pengangguran jatuh daripada 0.8 peratus kepada 0.5 peratus, manakala bagi bukan PMET, ia menyaksikan penyusutan daripada 0.9 peratus kepada 0.7 peratus.

MOM mentakrifkan individu yang menganggur buat jangka masa panjang sebagai mereka yang berusia 15 tahun dan ke atas yang tidak bekerja selama 25 minggu atau lebih.

Pertumbuhan median gaji sebenar juga bertambah baik, daripada 0.9 peratus pada tahun lalu kepada 2.1 peratus tahun ini, mengatasi peningkatan inflasi.

Namun, kadar pertumbuhan itu lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum pandemik.

Pertumbuhan gaji untuk pekerja berpendapatan rendah lebih kukuh pada 2022 berbanding pekerja biasa, dirangsang oleh inisiatif perikatan tiga pihak seperti Model Gaji Progresif (PWM).

Pendapatan sebenar bagi pekerja persentil ke-20 meningkat sebanyak 4.8 peratus pada 2022, lebih pantas berbanding 4.4 peratus pada tahun sebelumnya.

MOM menyatakan bahawa Pemerintah akan terus membuat kemajuan ke atas usaha perikatan tiga pihak untuk memperkasa pekerja bergaji rendah.

"Ini termasuk langkah-langkah baru Gaji Progresif yang diperkenalkan sejak 1 September 2022, iaitu keperluan baru Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan (LQS), dan pengenalan PWM bagi para pekerja runcit serta untuk para pekerja pembersih, pengawal keselamatan serta pekerja landskap dalam syarikat," menurut MOM.

"Lebih ramai pekerja bergaji rendah juga akan meraih manfaat daripada PWM Perkhidmatan Makanan dan PWM Pekerjaan untuk pekerja pentadbiran dan pemandu, yang akan dilaksanakan mulai Mac 2023."

MOM juga menyatakan bahawa Pemerintah membiayai bersama kenaikan gaji yang diberikan kepada pekerja berpendapatan rendah melalui Skim Kredit Gaji Progresif dari 2022 hingga 2026.

Laporan Tenaga Buruh itu menggunakan kajian lapangan daripada Tinjauan Tenaga Buruh Komprehensif pertengahan tahun. Ia menganalisis pelbagai penanda pasaran buruh termasuk kadar pengambilan kerja dan pertumbuhan pendapatan. Data tersebut tidak disertakan dalam laporan pasaran buruh suku tahunan MOM.

Sebanyak 26,183 isi rumah terlibat dalam tinjauan tahun ini, dengan kajian lapangan dijalankan dari 25 April hingga 31 Julai.
 
Sumber : CNA/ZM/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita