Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pengambilan pekerja di S'pura naik pada suku ke-4 2021 sedang pasaran buruh terus pulih

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kadar keseluruhan pengambilan pekerja di Singapura meningkat "dengan ketara" pada suku akhir 2021 dengan lebih ramai penduduk dan bukan penduduk digajikan.

Demikian menurut Kenyataan Awal mengenai laporan terkini pasaran buruh hari ini (28 Jan). 

Jumlah pengambilan pekerja meningkat 47,400 pada suku keempat, berbanding dengan kemerosotan 2,400 pada suku ketiga. 

Kadar pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk meningkat pada rentak lebih pesat dan manakala dalam kalangan bukan penduduk naik buat pertama kali dalam tempoh dua tahun, menurut laporan tersebut.

Peningkatan itu dicatatkan dalam semua industri dan besar kemungkinan disebabkan pengambilan pekerja mengikut musim untuk perayaan akhir tahun dalam industri-industri seperti khidmat makanan dan minuman (F&B) dan perdagangan runcit.

Pengambilan pekerja dalam sektor-sektor itu meningkat buat pertama kali selepas merosot selama beberapa suku berturut-turut. 

"Kami menjangkakan pasaran tenaga manusia untuk terus pulih pada 2022, dirangsang oleh kelonggaran sekatan COVID-19 tempatan dan juga penyambungan perjalanan antarabangsa," menurut MOM dalam satu kenyataan media. 

"Sekalipun demikian, pemulihan kepada tahap sebelum COVID-19 kekal tidak rata bagi semua industri dan keadaan tidak menentu berkaitan virus tetap berterusan." 

Pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk - merangkumi rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) - semakin berkembang dalam sektor-sektor seperti perhubungan dan penerangan dan khidmat kewangan. 

Bagi penggajian pekerja dalam kalangan bukan penduduk pula, terdapat peningkatan "agak besar" dalam sektor binaan selepas merosot selama hampir setahun. Jumlah pekerja digajikan dalam sektor binaan meningkat 15.8 peratus pada suku keempat tahun lalu, menurut perangkaan awal. 

Jumlah penduduk yang menganggur merosot dari 83,000 pada September ke 75,800 penduduk pada Disember 2021. 

PEMULIHAN SEPANJANG TAHUN 

Sepanjang tahun lalu, kebangkitan sebanyak 40,800 yang disaksikan dalam jumlah keseluruhan pekerja yang diambil bekerja sudah dijangkakan untuk tahun 2021, selepas penguncupan ketara pada 2020. 

Meksipun pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk Singapura meningkat bagi kebanyakan sektor, sektor penginapan masih menyaksikan kemerosotan disebabkan sekatan perjalanan luar negara. 

Pada Disember, kadar keseluruhan pengangguran susut 0.1 peratusan mata, dari 2.5 peratus ke 2.4 peratus. Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat pula merosot dari 3.5 peratus kepada 3.4 peratus. Pengangguran dalam kalangan penduduk kekal tidak berubah iaitu pada 3.2 peratus.

Sepanjang tahun lalu, purata kadar pengangguran tahunan merosot dengan ketara namun kekal sekitar 0.4 peratusan mata lebih tinggi berbanding sebelum pandemik, menurut MOM. Secara keseluruhan, kadar pengangguran merosot dari tiga peratus ke 2.6 peratus. 

Bagi penduduk, kadarnya turun dari 4.1 peratus kepada 3.5 peratus; manakala dalam kalangan rakyat Singapura, kadar tersebut merosot dari 4.2 peratus kepada 3.7 peratus. 

MOM menyatakan ia akan terus meneliti "sikap optimistik" dalam kalangan syarikat tentang jangkaan pengambilan pekerja mereka dalam suku akan datang. Kira-kira dua pertiga syarikat pada Disember tahun lalu menyatakan bahawa mereka merancang untuk mengambil pekerja. 

"Namun, mereka lebih berhati-hati tentang isu gaji," menurut MOM lagi. 

Hanya 25 peratus syarikat yang ditinjau pada Disember ingin menaikkan gaji pada suku akan datang. Ini kekal lebih rendah berbanding Jun 2021 dengan 32 peratus, memberi isyarat "terus berwaspada dengan sentimen syarikat tentang kos perniagaan".

Laporan Tenaga Buruh 2021, yang akan dikeluarkan pada pertengahan Mac, akan memberikan lebih banyak makumat, tentang pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk dan bukan penduduk, perincian sektor, jumlah kerja kosong, kadar pusing gati tenaga manusia dan kemasukan semula penduduk yang di berhentikan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan