Kadar pengambilan pekerja di SG naik 6 suku berturut-turut
SINGAPURA: Jumlah keseluruhan bagi pengambilan pekerja di Singapura meningkat pada suku pertama 2023 - kenaikan bagi enam suku berturut-turut - meskipun Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menarik perhatian kepada sebilangan tanda permintaan pasaran buruh yang kian reda.
Dalam laporan pasaran buruh terbaru MOM pada Khamis (15 Jun), jumlah pengambilan kerja secara keseluruhannya - tidak termasuk pembantu rumah hijrahan - meningkat sebanyak 33,000 pada suku pertama tahun ini, berbanding 43,500 pada suku keempat 2022.
Jumlah pengambilan pekerja secara keseluruhannya adalah 3.8 peratus melebihi paras sebelum pandemik pada Disember 2019, menurut kementerian tersebut. Pihaknya menambah bahawa pengambilan pekerja dalam kalangan bukan penduduk pula menjangkaui paras tersebut untuk pertama kalinya - 1.7 peratus lebih tinggi - setakat Mac 2023.
Menurut MOM, kenaikan bagi pengambilan pekerja bukan penduduk sebilangan besarnya adalah dari sektor binaan dan pengilangan.
Pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk juga melonjak sepanjang suku tersebut, iaitu 4.9 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik.
Ia bagaimanapun mencatat kemerosotan dalam sektor-sektor seperti perdagangan runcit dan khidmat makanan dan minuman sedang pengambilan pekerja bagi musim perayaan sudahpun berakhir.
PENGANGGURAN, PEMBERHENTIAN PEKERJA
Kadar pengangguran kekal rendah pada 1.8 peratus, dedah MOM.
Jumlah pemberhentian pekerja terus meningkat pada suku pertama kepada 3,820, berbanding 2,990 pada suku keempat 2022.
Kenaikan bagi jumlah pemberhentian pekerja untuk tiga suku berturut-turut, dipacu oleh sektor pengilangan elektronik, maklumat dan perhubungan serta khidmat kewangan.
Namun demikian, kira-kira 72 peratus pekerja yang diberhentikan pada suku ketiga 2022 berjaya mendapat pekerjaan baru dalam tempoh enam bulan, sebelum berakhirnya suku pertama 2023.
Kadar pengambilan semula pekerja pula berada pada tahap memberangsangkan berbanding paras sebelum pandemik, iaitu pada 65.9 peratus.
MOM menyatakan bahawa ketegangan pasaran buruh sudah mula reda sedang bilangan kerja kosong menjunam untuk empat suku berturut-turut kepada 99,600, pada Mac 2023.
PROGRAM-PROGRAM PEMERINTAH
MOM menasihati para majikan serta pekerja supaya meneruskan perubahan perniagaan serta tenaga pekerja, dan memanfaatkan sepenuhnya program-program pemerintah untuk menyesuaikan diri dengan sekitaran yang kian berubah-ubah.
Program-program pemerintah tersebut termasuk Peta Transformasi Pekerjaan dan Program Penukaran Kerjaya Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.