Kadar pengambilan cuti bapa meningkat kepada 56% namun cabaran masih wujud
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Kadar pengambilan cuti bapa dibayar pemerintah (GPPL) terus meningkat dengan lebih banyak skim baharu dan yang dikemas kini bagi menyokong ibu bapa yang baru menimang cahaya mata baharu.
Menurut laporan trend keluarga Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) baru-baru ini, 56 peratus bapa yang anaknya lahir pada 2023 mengambil GPPL.
Jumlah itu 9 peratusan mata lebih tinggi berbanding kadar yang dicatatkan pada 2016.
Antara kemas kini termasuk GPPL yang dipertingkat pada April lalu.
Jumlah cuti ditambah seganda dari dua hingga empat minggu yang diwajibkan.
Namun, budaya tempat kerja, tanggapan dan sokongan orang sekeliling serta kurang kesedaran terhadap peranan yang boleh dimainkan golongan itu masih menjadi antara halangan bagi sesetengah bapa untuk memanfaatkan cuti itu.
CUTI BAPA BANTU ERATKAN HUBUNGAN BAPA DAN BAYI
Bagi bapa seperti Encik Muhammad Khair Sami'an, masa-masa awal bersama anak yang baru lahir adalah penting.
Lantas, cuti bapa dibayar pemerintah (GPPL) amat membantu dirinya bagi menjalankan tanggungjawab.
Daripada mengurus anak, memberi susu serta menjaga mereka semasa waktu sakit.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu mengambil cuti itu bagi dua anak pertamanya.
Pada ketika itu GPPL hanya dua minggu bagi setiap anak berbanding sehingga 10 minggu kini.
"Tetapi dalam masa cuti bapa ini, kita boleh mengeratkan hubungan itu dan perasaan itu akan lebih ketara kerana kita membantu untuk memandikannya,membuatkan dan memberi susu, menukar baju. Bayi itu juga akan mengenal kita sebagai seorang bapa. Jadi, dari situ kita membina perasaan sayang itu kepada bayi itu. Jadi itu adalah sangat penting," tambah beliau.
Meskipun tidak dapat mengambil cuti yang sama untuk anak ketiga kerana masih dalam tempoh peralihan kerja, Encik Khair sudah pun membuat perancangan sendiri agar dapat meluangkan masa bersama isteri untuk sama-sama menjaga anak yang baru lahir itu.
"Untuk anak ketiga, sejak saya tahu bahawa isteri saya mengandung, saya sudah merancang bahawa saya akan mengambil masa untuk melakukan dua perkara, iaitu pertama untuk meningkatkan taraf ilmu saya. Jadi saya mengambil kursus pada masa itu dan saya juga menyusun masa supaya saya dapat bermula kerja setelah meluangkan masa bersama bayi yang baru ini. Saya sengaja tidak bekerja pada masa itu untuk memberi masa bersama bayi dan isteri saya," ujar Encik Khair.
WUJUDKAN SUASANA STABIL DI RUMAH
Masa yang diluangkan bersama anak dan isteri juga kata Encik Khair, dapat membantu untuk wujudkan suasana yang stabil di rumah.
"Apabila kita ada suasana yang stabil di rumah, bila saya balik untuk bekerja, saya sudah tidak risau sangat tentang apa yang berlaku di rumah atau anak-anak saya tahu apa yang mereka boleh lakukan. Isteri saya juga mempunyai emosi yang stabil," ujar Encik Khair.
"Masa bersama anak dan isteri adalah amat penting dan apabila masa itu berlepas, ia tidak boleh kembali. Jadi setiap detik yang kita salurkan untuk bersama anak dan isteri, ia mengeratkan lagi perhubungan di rumah."
SIKAP, SOKONGAN, BUDAYA TEMPAT KERJA ANTARA CABARAN
Walaupun lebih ramai bapa seperti Encik Khair yang memanfaatkan GPPL, masih wujud beberapa cabaran yang perlu diatasi.
Menurut Pengerusi Majlis Keluarga Sepanjang Hayat (FFL), Ishak Ismail, cabaran-cabaran yang dimaksudkan adalah seperti tanggapan serta sokongan orang sekeliling dan budaya di tempat kerja.
"Satu masalah yang kita sering dengar ialah di budaya tempat kerja. Sesetengah bapa bimbang jika mereka mengambil cuti, mereka akan dianggap sebagai kurang komited atau ia juga menjejas penilaian prestasi dan kemajuan kerjaya mereka. Ada juga yang tidak pasti akan peranan mereka, atau tempat kerja mereka tidak memberikan sokongan yang cukup, dan keyakinan untuk mengambil cuti bapa itu," kongsi Encik Ishak kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Ada juga yang tidak tahu kepentingan penglibatan mereka sebagai seorang bapa pada tahap awal atau bagaimana cuti ini dapat membantu bayi dan isteri mereka," tambah beliau.
PENGAMBILAN CUTI BAPA BERI MANFAAT KEPADA KELUARGA DAN MASYARAKAT SECARA UMUM
Lantaran itu, bagi menggalak lebih ramai bapa memanfaatkan cuti itu, FFL antara lain bekerja rapat dengan para majikan dan rakan masyarakat untuk memupuk budaya mesra keluarga.
"Kami menggalakkan majikan untuk menerima dasar-dasar mesra keluarga dan membina tempat kerja di mana pengambilan cuti bapa itu dilihat sebagai perkara yang yang biasa. Apabila majikan mencontohkan semangat ini, ia memberi mesej yang kuat kepada pekerja-pekerja yang lain," kongsi Encik Ishak.
Pengambilan cuti bapa itu juga bukan hanya dapat memberi manfaat kepada keluarga, bahkan kesan positifnya juga dapat dirasakan di tahap masyarakat juga.
"Apabila bapa mengambil cuti, lebih mudah untuk mereka menyokong isteri, berkongsi tanggungjawab dan membina hubungan yang kuat dengan anak-anak mereka. Ini mengukuhkan seluruh unit keluarga dan membina perkongsian tanggungjawab yang lebih seimbang di rumah. Apabila keluarga disokong dengan baik, semua meraih manfaatnya," ujar Encik Ishak.
"Majikan yang menghargai cuti bapa itu akan menghasilkan kakitangan yang lebih setia dan produktif. Dan apabila anak-anak itu membesar dalam persekitaran stabil dengan ibu bapa yang aktif dalam kehidupan mereka, ada kesan positif untuk seluruh masyarakat," tambah beliau.
PELBAGAI PROGRAM DISEDIAKAN FFL UNTUK SOKONG PARA IBU BAPA
Untuk menyokong para ibu bapa pula, program keibubapaan ditawarkan oleh Majlis Keluarga Sepanjang Hayat @ Masyarakat (FFLC) serta rakan masyarakat lain untuk membantu mereka membina keyakinan dan kemahiran.
Bimbingan praktikal juga disediakan bagi membina ikatan dengan bayi mereka.
Untuk ibu bapa yang sibuk pula, kursus-kursus online juga disediakan.
Selain itu, badan itu juga bekerja rapat dengan syarikat-syarikat bagi memperkukuh kesedaran dan minda tentang kepentingan talian keluarga menerusi sesi-sesi perkongsian.
Para pakar turut dijemput untuk berkongsi cara-cara para pekerja boleh melibatkan diri untuk menjaga anak mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.