Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar pembiakan COVID-19 S'pura lebih daripada 1. Perlukah kita rasa bimbang?

Pada 6 September, pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian Lawrence Wong menyebut tentang angka yang jarang sekali kedengaran sejauh ini dalam perjuangan Singapura membasmi koronavirus.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar pembiakan COVID-19 S'pura lebih daripada 1. Perlukah kita rasa bimbang?

Orang ramai di sebuah tempat awam di Singapura pada 7 Julai 2021. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 17 Sep 2021 08:19AM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 08:21AM

SINGAPURA: Pada 6 September, pengerusi bersama pasukan bertindak berbilang kementerian Lawrence Wong menyebut tentang angka yang jarang sekali kedengaran sejauh ini dalam perjuangan Singapura membasmi koronavirus.

"Apa yang menjadi keprihatinan kepada kami bukan sahaja jumlah mutlak kes, namun kadar virus itu merebak. Dan itu adalah kadar pembiakan, atau R," katanya sambil memberi amaran tentang kemungkinan ada "kenaikan mendadak" dalam jumlah kes.

"Pada masa ini, R kini lebih daripada 1. Kes bertambah seganda setiap minggu. Dan jika trajektori jangkitan itu berterusan, ini bermakna kita mungkin mempunyai 1,000 kes (harian) dalam dua minggu, atau kemungkinan 2,000 kes (harian) dalam sebulan."

Encik Wong berkata ia penting untuk mengurangkan angka R dan mengelakkan berlaku jumlah kes yang tinggi, kerana ini bermakna "sejumlah besar" individu mengalami sakit teruk dan kemudian meninggal dunia.

"Kami akan cuba berbuat demkian tanpa perlu kembali ke satu lagi langkah kewaspadaan dipertingkat. Dan khususnya, kami akan melakukan pengesanan kontak secara agresif dan mengawal kes dan kelompok, serta menggalak lebih banyak ujian di merata negara," katanya.

APAKAH ITU KADAR PEMBIAKAN?

Dalam epidemiologi, R merujuk kepada bilangan individu yang secara purata, akan dijangkiti oleh individu yang berjangkit.

Terdapat dua jenis nombor R: R0 dan Rt.

R0 (disebut R-nought) merujuk kepada jumlah pembiakan asas COVID-19 di mana tiada daya imun atau campur tangan untuk menghalangnya.

"Ia mengukur kadar penularan asas virus dan sejauh mana virus itu akan bertambah buruk jika kita hentikan sebarang langkah kawalan," kata Profesor Madya Alex Cook, yang bekerja dalam bidang permodelan penyakit berjangkit dan statistik di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di NUS.

Menurut dokumen terkini daripada Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, kadar R0 bagi varian Delta adalah antara 5 dengan 9. Kadar R0 bagi penyakit campak dalam penduduk tanpa daya imun adalah 15.

Namun apabila ahli politik dan saintis berbincang tentang R, mereka lazimnya merujuk kepada Rt, iaitu kadar pembiakan COVID-19 yang berkesan dan bertukar mengikut masa.

"Ia turun naik sedang daya imun bertambah, sedang langkah kawalan berubah dan sedang kegiatan sosial penduduk berubah. Ia menggambarkan betapa banyak penularan yang berlaku hari ini. Oleh kerana epidemik semakin bertambah, Rt adalah lebih daripada satu," kata Profesor Madya Cook.

Para pakar memberitahu Mediacorp bahawa kadar Rt Singapura kini hampir mencecah 1.5, yang bermakna bahawa dua orang sedang menjangkiti tiga lagi individu, sekali gus menjelaskan kenaikan tinggi yang disuarakan oleh Encik Wong.

Semasa tempoh kewaspadaan dipertingkat sebelum ini apabila kes-kes merosot, Profesor Madya Cook berkata kadar Rt berada di bawah 1. Ini merupakan situasi terbaik dalam sebuah pandemik kerana jumlah kes baru lebih rendah daripada kadar yang diperlukan untuk mengekalkan penularan.

PERLUKAH KITA PRIHATIN TENTANG R?

Sementara R memberi sedikit petunjuk tentang bagaimana virus itu menular, ia "tidak mempunyai kesan ketara" sebaik sahaja ia diterima bahawa COVID-19 akan menjadi endemik di Singapura, kata Profesor Paul Tambyah, Presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan bagi Asia Pasifik.

"Misalnya, kadar R0 bagi penyakit selesema bermusim dianggarkan sekitar 1.4, namun ia tidak begitu menjejas kita," katanya.

"Kami tahu semasa musim selesema, jika seseorang di pejabat mula bersin dan batuk, tidak lama lagi lebih ramai orang akan dijangkiti."

Profesor Dale Fisher, perunding kanan di jabatan penyakit berjangkit Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata bahawa R lambat laun menjadi "tidak relevan" jika Singapura berhenti melakukan ujian besar-besaran dan menghitung jumlah kes.

MENGAPA KADAR R MENINGKAT?

Profesor Madya Cook menyatakan bahawa varian Delta yang lebih mudah berjangkit "mungkin menggandakan" kedua-dua kadar R0 dan Rt.

"Tanpa penggandaan itu, dengan langkah-langkah sedia ada dan tahap perlindungan daripada vaksinasi, epidemik ini seharusnya semakin reda," katanya.

"Saya secara peribadi mengesyaki bahawa aktiviti pergaulan yang meningkat setelah ia dibenarkan semula adalah (salah satu) penyebab utama mengapa kadar Rt naik, meskipun ia dihujahkan bahawa perlindungan terhadap virus daripada vaksinasi semakin berkurangan."

Profesor Tambyah berkata data sedia ada tentang vaksin-vaksin mRNA, termasuk vaksin Pfizer-BioNTech yang digunakan di negara-negara seperti Singapura, Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa ia lebih berkesan dalam mencegah jangkitan teruk dan kemasukan ke hospital berbanding penularan virus.

BAGAIMANA KADAR R TINGGI AKAN MENJEJAS SEKATAN COVID-19?

Jika kadar Rt meningkat hingga mencecah 2, Profesor Madya Cook meramalkan bahawa sebahagian besar penduduk Singapura akan dijangkiti walaupun dengan kadar vaksinasi yang tinggi, meskipun kes-kes tersebut adalah sederhana.

"Jika kes meningkat, sedang 10 peratus penduduk warga emas masih belum divaksin, jumlah individu yang sakit teruk akan mula meningkat," katanya.

"Pada satu-satu masa, Pemerintah mungkin tidak mahu membiarkan jumlah kes terus meningkat, yang mana lebih banyak langkah-langkah perlu diambil untuk mengurangkan jumlah kes itu."

Profesor Tambyah menyatakan bahawa kadar R yang tinggi boleh menyakinkan pihak berkuasa "bahawa mereka betul beberapa minggu lalu apabila mereka katakan bahawa kita harus belajar untuk teruskan kehidupan dengan virus ini".

"Kita kemudian boleh menarik balik semua sekatan ini secara beransur-ansur dan tumpukan perhatian kepada perlindungan bagi golongan mudah terjejas, memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksin dan memastikan sistem jagaan kesihatan berfungsi dengan baik meskipun dengan kenaikan dalam kes," katanya.

BOLEHKAH KADAR R DITURUNKAN?

Langkah-langkah untuk menurunkan kadar Rt tanpa kembali ke tahap kewaspadaan dipertingkat termasuk menjalankan vaksinasi dos perangsang, kata Profesor Madya Cook.

"Terdapat perbahasan tentang etika berbuat demikian meskipun ramai orang di seluruh dunia belum lagi divaksin. Namun jika melakukannya, ia sepatutnya dapat mengatasi sebarang kemerosotan dalam keberkesanan vaksin," katanya.

Satu lagi langkah yang dicadangkan adalah menjalani ujian sendiri COVID-19.

"Model kami menyarankan bahawa ia agak berkesan dalam mengurangkan kadar Rt jika kes-kes positif diasingkan, dan pengalaman di dormitori dalam mengawal penularan selama setahun menggunakan ujian rutin berjadual menyediakan sokongan empirik bagi dasar itu," kata Profesor Madya Cook.

"Langkah-langkah lain untuk mengurangkan kadar Rt adalah dengan memakai pelitup, mengurangkan pergaulan sosial dan seterusnya - langkah-langkah yang kita harap dapat ditinggalkan."

Profesor Tambyah juga merasakan bahawa orang ramai tidak perlu melakukan apa-apa lagi untuk mengurangkan kadar R selain daripada mematuhi nasihat dan peraturan yang sedia ada.

"Kita perlu lakukan apa yang sedang kita lakukan sekarang ini - belajar untuk teruskan kehidupan dengan virus ini, galakkan warga emas mendapatkan vaksin, pastikan mereka yang kurang sihat mendapatkan rawatan perubatan dan patuhi peraturan supaya ia dapat ditarik balik secara berperingkat," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan